Sunday, March 01, 2015

Rumitnya Mengurus Anwar dan Keluarga

1 Mac 2015 : FITNAH!! Penerangan UMNO & Shafee Abdullah hanya putar belit.” Begitu bunyi promosi di muka depan Suara Keadilan, akhbar rasmi PKR edisi minggu ini yang edarannya juga dilonggokkan di pasaran umum. Tajuk itu merujuk penerangan termasuk oleh peguam kanan pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi menjawab siri kempen parti pembangkang yang menyelar pendakwaan ke atas Anwar bersifat konspirasi dan fitnah.

Sehingga sekarang dan sejauh ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan, ahli keluarga dan penyokong tegar Anwar serta kumpulan antikerajaan yang tak pernah alpa untuk mengambil kesempatan, tetap tidak mahu mengakui realiti. Kumpulan ini atas kepentingan-kepentingan tertentu tidak mahu mengakui betapa bobroknya perilaku pemimpin mereka. Ini pun bukan pertama kali perbuatan liwat itu dapat dibuktikan di mahkamah. Tak sudah-sudah kita terpaksa mengurus kerenah Anwar yang satu ini.

Sudah 17 tahun kita, rakyat Malaysia diheret dalam kes liwat Anwar yang terus-terusan dibela dengan alasan satu konspirasi politik dan fitnah. Nampaknya, walau sambutan dan semangat reformasi semakin mengendur tetapi mereka tetap mempertahankan perilaku keji itu. Dulu semasa Anwar dalam kerajaan, politikus DAP yang juga peguam Karpal Singh meminta Anwar bertaubat. Dulu dalam ceramah-ceramah politikus Pas, Mohamad Sabu jugalah yang memomokkan Anwar dengan gelaran Aljuburi. Semasa itu Anwar kata semua itu fitnah.

Tetapi setelah kali pertama dijatuhkan hukuman kerana meliwat pada 1999 dan sekali lagi dimuktamadkan oleh Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari lalu, hujahnya sama – fitnah. Bezanya kali ini ditujukan kepada kerajaan kerana Anwar sudah bersama mereka. Semua hujah dan fakta boleh diubah asal memihak kepada kepentingan mereka. Menukar hujah semudah membalikkan tangan.

Bilakah mereka akan berhenti? Jangan harapkan itu akan berlaku. Anwar sudah menjadi aset bahkan alat untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu bagi mencapai agenda tersirat. Mereka tahu agenda itu hanya akan tercapai dengan adanya orang berperilaku seperti Anwar.

Lihatlah pada 1999, Anwar tidak mahu memohon pengam­punan diraja kerana menganggap beliau tidak bersalah. Begitu juga dalam kes liwat kali ini, peguamnya tidak membayangkan akan merayu pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Peguamnya yang juga pemimpin kanan PKR me­li­hat pengampunan bakal men­jadi liabiliti kepada Anwar dan pakatan pem­bang­kang. Orang tidak ber­ salah mengapa perlu merayu pengampunan, Mereka ma­hu Anwar kekal sebagai orang yang tidak bersalah.

Permohonan

Tetapi yang berlaku se­baliknya. Semasa para pe­guam dan pimpinan PKR ma­hu Anwar kekal sebagai orang tidak bersalah, keluar­ganya mengemukakan per­mohonan pengampunan.
Apa reaksi PKR dan pe­mimpin pakatan pembang­kang? Hujah mereka ber­tukar 180 darjah. Mereka ber­hujah itu adalah hak Anwar. Perlembagaan mem­be­nar­kannya. Mereka tiba-tiba berdalih permohonan pengampunan bukan ber­mak­na mengaku salah.

Setiausaha Agung, Rafi­zi Ramli berkata; “PKR mema­hami ini adalah keputusan peribadi keluarga Anwar yang perlu dipisahkan daripada pertimbangan politik atas dasar kasih sayang anak-anak dan isteri kepada seorang bapa dan suami”

Si pemuka Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan berdalih: “Ini juga tidak bermakna mereka telah mengaku kalah dan bersalah tetapi adalah salah satu langkah yang diambil dalam perjuangan panjang menegakkan keadilan di Malaysia.”

Jika dahulu mereka gunakan air mata Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulung, Nurul Izzah. Kini dalam keadaan rakyat semakin mual dengan lakonan Anwar dan keluarganya, anak-anak yang lain termasuk cucunya diheret sama.

Mereka cuba menarik simpati umum supaya berkumpul di depan Penjara Sungai Buloh tetapi sambutan tidak sehangat dahulu. Mereka juga cuba membuat provokasi di depan pusat beli-belah Sogo di ibu negara pada setiap Sabtu yang juga disambut dingin oleh masyarakat terbanyak.

Lantas mereka merancang mahu anjurkan demonstrasi besar-besaran pada awal minggu depan. Hingar-bingar pun dicipta oleh kawanan PKR, DAP dan NGO halimunan. Bagi memancing emosi, mereka mengapi-apikan apa sahaja yang boleh menyebabkan rakyat marah.

Mereka akan mengeksploitasi apa juga perkara untuk menarik perhatian umum. Perkara biasa berupa jemputan minum petang sempena sesi baharu sidang Dewan Rakyat pada 9 Mac ini kepada semua Ahli Parlimen termasuk Anwar pun dijadikan sajian untuk menarik perhatian umum.

Jemputan itu dijadikan alasan untuk Anwar keluar penjara dan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong. Sampaikan Nurul Izzah memanggil sidang akhbar untuk menguar-uarkan perihal kad jemputan itu.

“Beliau perlu dibenarkan memenuhi jemputan Seri Paduka Baginda untuk minum petang bersama. Ada tempat khas untuk Ketua Pembangkang dalam majlis itu,” kata Nurul Izzah, seperti dipetik portal propembangkang. Beliau turut menunjukkan kad jemputan ke sidang Dewan Rakyat pada 9 Mac sehingga 9 April ini daripada Yang Dipertua Dewan.

Sayang sekali mereka bercakap soal keadilan tetapi sewenang-wenangnya menyelar pihak yang mahu membela diri sebagai pemfitnah. Benar-benar hipokrit sedangkan merekalah yang melakukan perilaku keji itu. Semua ini adalah angkara Anwar yang meliwat Saiful Bukhari Azlan. Fakta mahkamah menyatakan begitu.

Mereka sengaja mengabaikan fakta bahawa Saiful Bukhari adalah orangnya yang menjadi mangsa. Bukan Anwar, bukan keluarga beliau bahkan bukan PKR dan pakatan pembangkang. Tetapi apakan daya. Drama lama – air mata, demonstrasi dan hiruk-pikuk antarabangsa akan dipaksakan untuk dipertontonkan semula. Kita kini sedang menyaksikan ulangan plot-plot drama itu.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment