Wednesday, April 15, 2015

GST : Pembangkang Patut Hentikan Sikap Hipokrit Dan Bermuka-muka – Dr Najmil

15 April 2015, Kuala Lumpur : Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamad Aris membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang cuba memanipulasikan isu GST dengan mendakwa  rakyat yang  mengundi Barisan Nasional (BN) seumpama menyatakan sokongan kepada sistem Cukai dan Barangan Perkhidmatan (GST).

http://terengganutimes.com/ttimes/wp-content/uploads/2015/03/um_22.1.jpg

Menurut beliau, kenyataan Setiausaha Agung DAP itu jelas memperlihatkan sikap pihak pembangkang yang hipokrit dan bermuka-muka di dalam isu GST di mana sebelum ini kepimpinan pembangkang juga membuat kenyataan menyokong perlaksanaan sistem percukaian baru ini.

“Saya nak ingatkan pada Ketua Menteri, pada bulan Mac 2010 ketika rang undang-undang GST ditarik balik dari parlimen, pihak pembangkanglah yang begitu lantang menyelar kerajaan kerana mengubah pendirian dalam isu ini.

“Malah, dalam satu kenyataan di sebuah portal berita, Timbalan Presiden PKR sendiri iaitu Azmin Ali membuat kenyataan bahawa pihak pembangkang tidak pernah menentang GST dan mengatakan bahawa sistem percukaian baru ini adalah baik.

“Dalam satu kenyataan pada tahun 2013, Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga membuat kenyataan yang dimuatkan dalam sebuah portal berita  bahawa sekiranya pakatan pembangkang memerintah, maka mereka juga akan melaksanakan GST.

“Tetapi hari ini, Lim Guan Eng buat kenyataan seolah-olah pihak pembangkang menentang GST dan cuba mempengaruhi rakyat bahawa sekiranya mereka memberikan undi kepada BN, maka mereka menyokong GST. Sedangkan hakikatnya kepimpinan pembangkang juga menyokong GST bahkan akan melaksanakan sistem ini jika ditakdirkan mereka memerintah negara,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Tambah Najmil lagi, sikap bermuka-muka dan hipokrit pembangkang ini bukanlah satu perkara yang baru dan ianya telah sinonim dengan cara dan pendekatan politik pembangkang.

“Kita masih ingat lagi bahawa dulunya pembangkanglah yang mendedahkan isu moral Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden UMNO di dalam parlimen. Karpal dan Mat Sabu adalah dua individu yang bertanggungjawab mendedahkan isu salah laku Datuk Seri Anwar.

“Tetapi apabila Anwar dipecat daripada UMNO apabila siasatan dilakukan terhadap dakwaan pembangkang itu, tiba-tiba kepimpinan pembangkang bertukar pendirian dan melantik Anwar pula sebagai ketua bagi pihak pembangkang.

“Inilah perangai dan sikap pembangkang. Mereka hanya tahu mengambil kesempatan dan tidak mengira soal maruah atau pendirian. Apa saja yang memberikan keuntungan politik kepada mereka, akan disokong biarpun ianya menyalahi prinsip dan undang-undang. Apa saja yang betul dibuat oleh kerajaan mereka tentang, biarpun apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah demi kebaikan rakyat,” ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta agar rakyat di negara ini, khususnya para pengundi di dua kawasan pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Rompin, agar tidak terpengaruh dengan mainan politik pembangkang yang memanipulasi isu dalam usaha terdesak mereka untuk meraih undi.

“Kita sudah berikan peluang kepada parti pembangkang untuk memerintah beberapa buah negeri di mana hasilnya dapat kita lihat, mereka lebih banyak berpolitik termasuklah sesama mereka sendiri daripada menumpukan usaha untuk membangunkan negeri dan membantu rakyat.

“Ini amat berbeza dengan BN yang lebih profesional dan berpandangan jauh dalam menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat untuk memajukan negara serta berusaha untuk memberikan khidmat yang terbaik buat rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik,” akhirinya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment