Thursday, June 11, 2015
DAP Beri Kata Dua Kepada Azmin.
10 Jun 2015, Kuala Lumpur : DAP Selangor hari ini memberi kata dua kepada
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk memilih sama ada
meneruskan kerjasama dengan parti itu atau pun dengan Pas dalam
pentadbiran negeri itu.
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, perkara itu perlu diberi
perhatian oleh Mohamed Azmin berikutan tindakan Pas memutuskan tahaluf
siyasi dengan DAP pada muktamar lalu.
Kenyataan Tony itu adalah selaras dengan kenyataan Ahli Parlimen Pas, Datuk Mahfuz Omar yang turut menyarankan perkara sama.
“Saya setuju jika Pas mahu Mohamed Azmin memilih parti mana yang
beliau mahu. DAP juga berkongsi pandangan sama. Jadi, saya serahkan
kepada Azmin untuk tentukan.
“DAP akan bercakap dengan Mohamed Azmin untuk melihat kedudukannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, amat mustahil untuk
DAP, Pas dan PKR mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan dalam
kerajaan negeri itu.
“Bagaimana anda mahu kita berdamai? Melainkan Pas mengadakan muktamar
lain dan menarik balik resolusi memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP
itu,” katanya.
Beliau berkata, konflik dalaman pakatan pembangkang itu tidak
seharusnya berterusan kerana dikhuatiri akan menjejaskan peluang
kemenangan gabungan parti pembangkang berkenaan dalam pilihan raya akan
datang.
Muktamar yang berlangsung minggu lepas menerima usul tanpa bahas
Dewan Ulama memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment