Thursday, June 11, 2015
Deloitte sahkan RM13.4b disimpan di Singapura
11 Jun 2015, Kuala Lumpur : Deloitte & Co (Deloitte) mengesahkan bahawa terdapat dana RM13.4
bilion yang disimpan dalam Bank BSI di Singapura ketika audit terakhir
ke atas 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dilakukan pada 31 Mac tahun
lalu.
Firma audit antarabangsa itu mengesahkan perkara tersebut ketika
prosiding bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen,
hari ini.
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed bagaimanapun berkata, dana
yang dianggap sebagai aset nilai saksama itu belum dapat dipastikan sama
ada berbentuk unit atau tunai.
“Dana itu tidak lesap (ketika itu), ia ada dan sama dengan nilai yang telah diaudit.
“Cuma dalam menentukan dana itu berbentuk unit atau tunai selepas
kerajaan menebus sebahagian daripada aset itu, Deloitte tak dapat
mengesahkannya selagi tidak menerima arahan untuk mengaudit penyata
kewangan berakhir 31 Mac 2015,” katanya dalam sidang akhbar selepas
mempengerusikan mesyuarat itu.
Sementara itu, Nur Jazlan menegaskan, tiada konflik kepentingan
membabitkan anak lelaki Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd. Nizar Najib
dalam pengauditan akaun 1MDB.
Beliau berkata, ini kerana anak Perdana Menteri itu bekerja di
bahagian perkhidmatan kewangan Deloitte, bukannya di seksyen pengauditan
firma audit antarabangsa tersebut.
Menurut Nur Jazlan, beberapa maklumat yang diperoleh melalui
prosiding berkenaan akan dijadikan rujukan sebagai persediaan
mendapatkan keterangan daripada pengurusan tertinggi 1MDB dalam
prosiding akan datang.
“Secara kesimpulan, Deloitte menjawab beberapa persoalan khusus
terhadap akaun 1MDB tetapi PAC berkemungkinan akan memanggil semula
firma berkenaan jika diperlukan,” ujarnya.
Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda
Kandasamy dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Datuk
Shahrul Azral Ibrahim sekali lagi pada Ogos ini untuk memberi
keterangan.
“Kedua-dua mereka tidak hadir pada prosiding yang ditetapkan pada dua
minggu lalu kerana urusan rasmi, tetapi kali ini tiada alasan lagi.
Selain itu, PAC juga akan mendengar penjelasan daripada KPMG yang
mengaudit akaun 1MDB pada 2011 dan 2012,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment