Thursday, June 11, 2015
‘Empangan Di Sarawak Mampu Bertahan Gempa Lebih Besar Daripada di Sabah’
11 Jun 2015, Kuala Lumpur : Susulan gempa yang melanda Sabah baru-baru ini,
sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek pembinaan
empangan hidroelektrik di Sarawak memberi jaminan bahawa projek di
bawah kendalian mereka adalah selamat dan mampu bertahan dalam gempa
yang lebih besar.
Sarawak Energy dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI memaklumkan
bahawa ia mengguna pakai tahap piawaian yang paling teliti dalam
pembangunan semua projek hidroelektriknya bagi memastikan isu integriti
dan keselamatan terkawal.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak syarikat telahpun melantik sebuah
institut dari Australia iaitu Pusat Kajian Seismologi Victoria sejak
tahun 2009 untuk menjalankan kajian aktiviti seismik di rantau ini bagi
penilaian bencana.
“Kajian penilaian bencana seismik berdasarkan projek juga telah dilakukan sebagai sebahagian daripada proses reka bentuk akhir.
“Ini adalah untuk menentukan kemungkinan kejadian gempa bumi dalam
jarak spesifik dari tapak projek. Semuanya dilakukan sebelum proses reka
bentuk dan pembinaan projek,” ujar kenyataan daripada Ketua Pegawai
Eksekutifnya Datuk Torstein Dale.
Tambahnya, susulan kebimbangan yang timbul akibat bencana gempa di
Sabah baru-baru ini, Sarawak Energy akan memastikan setiap maklumat
terkini diambil kira dalam kajian khusus dan keputusannya akan digunakan
dalam reka bentuk akhir projek.
“Sarawak Energy memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa
projek-projek tenaga hidro syarikat kami direka berdasarkan piawaian
teknikal antarabangsa tertinggi bagi reka bentuk empangan.
Maklum balas tersebut adalah sebagai jawapan kepada persoalan yang
dibangkitkan bekas Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Sabah Alexander
Yan yang mendakwa tapak projek empangan Baram berada dekat dengan dua
garisan sesar, seperti yang dilaporkan Borneo Post.
Menurutnya, stesen-stesen janakuasa hidro tidak patut dibina di atas garisan sesar yang boleh menyebabkan gempa bumi.
“Projek-projek janakuasa hidro kami adalah mengikut garis panduan
Jawatankuasa Antarabangsa Empangan-Empangan Besar (ICOLD) International
Committee on Large Dams (ICOLD).
“Walaupun terletak di kawasan seismik rendah, empangan-empangan kami
di Sarawak (termasuk Batang Ai, Bakun, Murum, Baram dan Baleh) dibina
untuk bertahan dalam impak gempa yang secara bandingannya lebih besar
daripada yang telah direkodkan di Sabah,” ujar Dale.
Tambahnya, siasatan bagi setiap projek empangan termasuk Baram
melibatkan proses mengenal pasti sebarang garisan sesar atau zon tekanan
di kawasan tersebut, selain mengambil kira semua hasil kajian termasuk
kerja-kerja pemetaan dan siasatan struktur tanah.
Dipetik daripada sumber : Awani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment