Thursday, June 25, 2015
Inilah Hebatnya Berpuasa.....Soo Wincci Peroleh Tenaga Luar Biasa Kerana Amalan Berpuasa
25 Jun 2015, Petaling Jaya : Penyanyi dan pelakon Soo Wincci tidak menjadikan amalan
berpuasa dilakukannya sebagai alasan untuk dia tidak bergiat aktif
menjalani aktiviti hariannya yang sentiasa padat.
Soo Wincci, 29, sebaliknya berkata, amalan berpuasa di bulan Ramadan
memberikannya tenaga luar biasa termasuk dia lebih teliti dalam
melakukan perancangan dan berfikiran tajam ketika membuat sesuatu
keputusan.
"Setiap kali Ramadan saya sentiasa ada tenaga luar biasa meskipun sedang berpuasa malah lebih fokus dalam melakukan sesuatu.
"Pada masa ini juga saya selalunya mengatur perancangan saya kerana
ketika berpuasa saya mendapati minda saya lebih fokus," katanya kepada
mStar Online pada Isnin.
Ramadan kali ini adalah tahun keempat bekas peserta program Masterchef
Selebriti Malaysia itu berpuasa.Dalam pada itu, Wincci berkata, bagi
memastikan dapat berpuasa dengan lancar dia akan memastikan dapat bangun
sahur dan berhenti makan sebelum masuk waktu Subuh.
Wincci berkata, selain makanan berkhasiat seperti buah-buahan,
sayur-sayuran dan telur separuh masak, dia akan memastikan turut
menjamah dua biji buah kurma.
"Kebiasaannya saya tidak mengambil makanan berat waktu sahur tetapi ia mestilah berkhasiat.
"Paling penting adalah buah kurma kerana khasiat di dalamnya yang membekalkan tenaga untuk sepanjang hari," ujarnya.
Berkongsi pengalaman tahun ini, Wincci berkata, puasa hari kelima
memberi cabaran kepadanya apabila perlu berlakon di bawah sinaran terik
matahari ketika untuk drama bersiri The Injustice Stranger di Semenyih
dekat sini.
Katanya, rakan pelakon lain dalam drama berkenaan berasa pelik dengannya
yang tetap berpuasa biarpun penggambaran tersebut mencabar.
"Memang rasa seperti hendak pengsan tetapi saya tidak mahu mengalah kerana menganggap itu adalah cabaran buat diri saya.
"Saya berazam untuk berpuasa penuh seperti tahun sebelum ini," katanya yang akan menjalani penggambaran sehingga Julai depan.
Sementara itu, Wincci berkata, dia gembira peminat sentiasa memberikan
kata-kata semangat kepadanya menerusi laman sosial Instagram untuk
sentiasa tabah mengharungi dugaan berpuasa.
"Tiga tahun sebelum ini ramai yang mempertikaikan tindakan saya tetapi
masuk tahun ini saya terima pelbagai kata-kata galakan daripada mereka.
"Malah rakan-rakan bukan Muslim juga turut menyokong dan ada yang
mencuba berpuasa selepas melihat saya berjaya melakukannya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wincci berkata, dia akan kembali ke Taiwan pada
bulan hadapan sebelum pulang ke Malaysia pada Oktober untuk konsert
solonya.
Dipetik daripada sumber : netizens
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment