Wednesday, June 24, 2015
Mat Sabu Presiden Parti Baharu
Phahrolrazi Beri Laluan
Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Datuk Ir.
Phahrolrazi Mohd. Zawawi menyatakan kesudiannya memberi laluan kepada
bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, untuk memimpin sebuah parti
Islam baharu bagi menggantikan Pas.
Pendirian Phahrolrazi itu merupakan jawapan balas cukup pedas kepada
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang memberi peringatan
kepada pemimpin dan ahli parti tersebut semalam, bahawa mereka akan
‘tenggelam’ jika keluar Pas untuk menubuhkan parti baharu.
Dalam nada sinis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor,
Kedah, itu menambah, peringatan Abdul Hadi itu tidak berasas kerana Pas
sebenarnya yang bertindak menenggelamkan 18 pemimpin dari kem Anwarinas
dalam pemilihan parti tersebut baru-baru ini.
“Ini (perancangan menubuhkan parti Islam baharu) soal kebebasan dalam
demokrasi, masing-masing mempunyai pertimbangan sendiri dan sudah tentu
apabila kita merancang menubuh parti baharu, ada risikonya. Tapi
peluang kejayaan juga sentiasa terbuka luas untuk kita.
“Soal tenggelam tidak timbul kerana dalam Pas (kumpulan 18 pemimpin)
sudah ditenggelamkan, sedangkan mereka memiliki banyak potensi. Jadi
kena cari tempat baharu untuk timbul iaitu wadah politik baharu,”
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas peringatan Abdul Hadi menerusi surat terbuka Presiden
Pas itu kepada seluruh ahli parti bahawa mana-mana pemimpin atau ahli
yang keluar daripada Pas akan ‘tenggelam’ bersama parti atau pertubuhan
lain yang disertainya.
Kumpulan 18 pemimpin Pas yang dilabelkan sebagai pendokong Anwarinas
diketuai Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kini sedang dalam
siri jelajah untuk mengumpulkan sokongan selaras dengan rancangan mahu
menubuhkan parti baharu selepas Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu, menyentuh kesediaannya memberi peluang kepada Mat
Sabu untuk memimpin parti yang bakal ditubuhkan kelak, Phahrolrazi
berkata, langkah berkenaan wajar kerana bekas Timbalan Presiden Pas
tersebut merupakan pemimpin paling kanan selain seorang aktivis.
“Mat Sabu merupakan pemimpin paling kanan, beliau seorang aktivis
parti yang paling konsisten. Ini tentunya memberi kelebihan kepada
beliau kerana faktor tersebut boleh memperkukuhkan pakatan tetapi buat
masa ini, kita masih lagi di peringkat penaja,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment