Thursday, June 11, 2015

Nota Editor: Tun Mahathir Perlu Dedahkan Siapa Beri Maklumat Palsu

EDITOR MENULIS...
11 JUN 2015

1 Malaysia Development Berhad (1MDB) telah pun memenuhi tuntutan Tun Mahathir Mohamad untuk mengetahui ke mana perginya RM 42 Bilion yang diumumkan sebagai labialiti. Mereka telah mengeluarkan senarai ringkas tetapi terperinci yang ringkas dan mudah difahami.

Sungguhpun Tun Mahathir kemudiannya mengubah jumlah kehilangan tersebut dari RM 42 Bilion kepada RM 27 Bilion, namun senarai pinjaman, hutang dan labialiti yang didedahkan oleh 1MDB tersebut menunjukkan tiada kehilangan berpuluh bilion seperti yang didakwa.

Semalam, firma perakaunan terkemuka dunia Delloite hadir di hadapan Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan menyatakan bahawa semua laporan tersebut benar dan telah diaudit.

Namun dalam tulisan terbarunya di blognya, Tun Mahathir menyatakan ramai orang tahu kehilangan berpuluh bilion ringgit dalam 1MDB.

“Mereka yang memberi maklumat kepada saya ialah orang yang mempunyai akses melihat bukti. Tapi mereka takut kerana Kerajaan boleh mengambil tindakan ke atas mereka. Mereka mungkin kehilangan kerja, kontrak atau jawatan masa depan.

“Jadi mereka datang memberitahu saya. Mereka minta saya buat sesuatu.”
Kita menghargai hasrat Tun Mahathir untuk membetulkan keadaan terutama membabitkan kehilangan berpuluh bilion ringgit. Jika benar ia sesuatu yang tidak boleh diterima dan sesiapa yang bertanggungjawab perlu menerima tindakan undang-undang.

Namun sehingga hari ini, Tun Mahathir tidak langsung mendedahkan bukti, yang beliau ada, bagi menunjukkan berlakunya penyelewengan dalam 1MDB. 

Tun Mahathir juga langsung tidak memberi sebarang bukti konkrit kepada rakyat mahu pun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu kita memahami masalah sebenar 1MDB seperti yang didakwa.

Jadi berdasarkan tulisan terbaru ini, kita beranggapan tuduhan-tuduhan Tun Mahathir ialah berdasarkan kepercayaan beliau kepada anggota kabinet tertentu dan bekas pegawai 1MDB.

Ini bermakna mereka ini telah menyesatkan (mislead) Tun Mahathir dengan fakta-fakta yang dimanipulasi bagi mewujudkan pergaduhan antara Tun Mahathir dan Perdana Menteri Mohd Najib Razak.

Kini sudah tiba masanya Tun Mahathir mendedahkan siapakah mereka ini supaya rakyat boleh tahu apakah mereka ini bertindak dengan jujur atau ada kepentingan lain.

Pendedahan ini juga penting bagi menolak tohmahan Tun menyerang Najib Razak menggunakan 1MDB kerana mahu menjaga kepentingan kroni-koroninya.
Jika maklumat-maklumat 1MDB yang dibekalkan kepada Tun Mahathir dilakukan individu dalam kabinet, Kementerian Kewangan dan 1MDB tentulah, beliau akan percaya dan cuba mencari penyelesaian dalam isu ini.

Namun ternyata kepercayaan Tun Mahathir kepada kumpulan ini telah disalahgunakan dengan memalukan bekas Perdana Menteri Keempat negara ini dan memporak-perandakan pemerintahan.

Tun Mahathir tidak boleh berterusan melindungi “pemberi maklumat berkepentingan” yang sedang merosakkan pentadbiran negara, Barisan Nasional dan UMNO.

Jika benar Tun Mahathir sayangkan Barisan Nasional dan UMNO, sudah tiba masanya mendedahkan siapa mereka supaya kita boleh bandingkan fakta dan maklumat mereka dengan maklumat 1MDB dan Kerajaan.

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgSI-ooHmHkZzsfcfIFf8wfj-aKCCBtq35Mq6rjZR1LeAdMt-aERslAmAQCKm5YsI42zPCZ_WkbvsOC4LMzJNTHquTvW832prf0E0Ntv18uQQJX5UUnrIJrw4PI_5Qq0XZyvS9ZyCjkBFX4/s1600/Debat+01.jpg
Sdr Syamsul Amri bin HJ Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment