Wednesday, June 24, 2015
PAS dan DAP 'Bercerai Mati'...Boleh Percayai Ker Ni?
Persoalan ini pastinya antara perkara yang bermain diminda rakyat
khususnya pemerhati politik ekoran kemelut yang melanda Pakatan Rakyat
(PR) ini kian parah, sekali gus menyaksikan PAS dan DAP 'berpatah arang,
berkerat rotan'.
Hubungan yang dibina sejak 1 April 2008 atas nama PR dengan tujuan untuk
'membela kebajikan rakyat' kini lumpuh. Ia seakan-akan kehilangan
nakhoda, selepas ketiadaan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan liwat.
PAKATAN TANPA ANWAR
Seperti yang diketahui banyak pihak sebelum ini, keutuhan dan kesepaduan
serta masa depan PR sebenarnya banyak bergantung kepada Anwar, yang
memainkan peranan sebagai orang tengah kepada PAS dan DAP khususnya
dalam membina kepercayaan antara kedua parti itu.
Sebelum ini, PAS dan DAP pernah bersama dalam Barisan Alternatif (BA)
pada 1999 bersama dua parti lain iaitu PKR dan Parti Rakyat Malaysia
(PRM).
Lantaran tidak bersetuju dengan dasar PAS memperjuangkan penubuhan
negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001 manakala KeADILan dan PRM
bergabung membentuk PKR pada 2003.
Kini nasib yang sama bakal dilalui PR seolah-olah mengulangi episod hitam yang pernah berlaku semasa BA.
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan
dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata sesebuah pakatan
yang dibentuk tidak sepatutnya tertumpu kepada ketokohan seseorang
pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai matlamat akhir yang
sama.
"Dalam konteks PR, memang benar Anwar adalah gam yang menyatukan tiga
parti dan tanpanya, pakatan akan berpecah. Persoalannya, sampai bila nak
guna Anwar?," katanya.
RETAK MENANTI BELAH
Keretakan bermula apabila DAP memutuskan hubungan dengan PAS di Sabah
dan Sarawak ekoran isu hudud dan kemudiannya memutuskan hubungan dengan
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi masih kekal bekerjasama
dengan PAS.
PAS kemudian menerusi satu usul tergempar Dewan Ulama sebulat suara
meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi kekal bersama
pakatan pembangkang. Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas pada
Muktamar tahunan PAS ke-61 pada awal bulan ini.
Rentetan itu, pada 16 Jun Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng
mengisytiharkan bahawa PR tidak lagi wujud. Guan Eng berkata keputusan
muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh'
pakatan itu.
Terpaksa menelan pahit keputusan rakan sekutunya, Presiden PKR Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada keesokan hari mengakui PR tidak lagi
berfungsi secara formal.
Penganalisis politik berpendapat bahawa kewujudan PR yang longgar belum
mampu membentuk pakatan atau gabungan yang mantap untuk menjadi parti
alternatif kepada Barisan Nasional (BN).
TIDAK MUSTAHIL BERGABUNG SEMULA
Mohd Izani berkata kemungkinan untuk PAS-DAP 'berbaik' itu ada kerana ia
melibatkan soal strategi politik yang akan menentukan kemenangan dalam
pilihan raya umum akan datang.
Jika kemungkinan 'berbaik' itu ada, apakah yang berlaku ketika ini satu drama sekadar untuk menarik perhatian umum?
"PAS menerima hakikat bahawa kerjasama politik adalah penting dan sebab
itulah walaupun mereka memutuskan hubungan dengan DAP, (tetapi) mereka
masih nak kekal bekerjasama dengan PKR.
"PAS juga tidak mustahil bekerjasama semula dengan DAP
sekurang-kurangnya dengan membentuk pakatan pilihan raya untuk
mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara (BN, PAS dan DAP)," katanya
kepada Bernama.
Ibarat cinta tiga segi, pastinya yang tersepit dalam hubungan ini ialah
PKR yang sudah tentu memerlukan PAS dan DAP untuk memastikan parti itu
terus mendapat laba hasil daripada kerjasama politik itu.
Bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada 18 Jun lepas dilapor
sebagai berkata PAS tidak boleh bergerak sendirian jika tidak
bersefahaman dengan rakan pakatan pembangkang lain untuk merealisasikan
hasrat menumbangkan kerajaan BN, lantas merampas Putrajaya.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lepas menegaskan PR
masih wujud dan belum berkubur biar pun rakan sekutunya DAP
mengisytiharkan pakatan itu tidak lagi wujud.
Pensyarah itu berkata apa jua keputusan yang dihasilkan ketika muktamar cerminan suara akar umbi PAS.
"Jangan pandang rendah terhadap mereka (akar umbi). Mereka ini sangat
mengambil berat akan hala tuju dan jati diri PAS," katanya.
KONSEP 'EQUAL PARTNER' TIDAK BERJAYA
Mohd Izani melihat sekali pun diwujudkan pakatan pembangkang yang
baharu, jika konsep 'equal partner' masih lagi digunakan, ia tidak akan
mampu membentuk pakatan yang kukuh.
'Equal partner' merujuk kepada pemberian kerusi menteri besar kepada PKR
dalam konteks Selangor meskipun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
tertinggi dimiliki PAS dan DAP, masing-masing memiliki 15 daripada
jumlah keseluruhan 56 kerusi DUN.
PKR pula hanya memiliki 13 kerusi, BN (12) dan Bebas (satu). Selain
Selangor yang diterajui PKR, Kelantan dikemudi oleh PAS dan Pulau Pinang
ditadbir DAP.
Bagi DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, DAP menguasai 19 kerusi,
PKR (10), BN (10) dan PAS (satu) manakala DUN Kelantan yang mempunyai
44 kerusi, 31 daripadanya dikuasai PAS, BN (12) dan PKR (satu).
"Ternyata konsep equal partner tidak berjaya dalam PR," kata Mohd Izani.
PAKATAN BAHARU TIDAK JITU
Beliau menegaskan bahawa meskipun tanpa PAS, cadangan penubuhan sebuah
parti politik baharu oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa),
sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai idea pembentukan
pakatan pembangkang yang baharu oleh DAP tidak mampu membentuk pakatan
yang jitu.
"PasMa adalah parti serpihan PAS dan tidak akan boleh bertahan lama. Ia
sekadar mampu menjadi platform mereka yang tidak berpuas hati dengan
kepimpinan PAS sahaja.
"PasMa memang mudah untuk menjalinkan kerjasama, tetapi persoalannya,
bagaimana pula dengan akar umbi PAS? DAP dan PKR pun sangat bergantung
dengan jentera dan tenaga kerja PAS. Sebab itu pakatan pembangkang
perlukan model kerjasama politik yang kukuh," katanya.
Beliau menegaskan walaupun amat sukar diterima, hakikatnya DAP masih
memerlukan PAS memandangkan teras politik negara adalah orang Melayu.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment