Thursday, June 25, 2015
Penangkapan Justo Buka Mata Banyak Pihak
Penangkapan warga Switzerland yang juga bekas pegawai PetroSaudi
International Ltd., Xavier Andre Justo Isnin lalu atas tuduhan memeras
ugut syarikat berkenaan berhubung maklumat berkaitan 1MDB, membuka mata
banyak pihak.
Penahanan Justo sekali gus menghapuskan syak wasangka umum terhadap imej
syarikat dana pelaburan strategik, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB),
termasuklah nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
diheret sama dalam isu 1MDB.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, pihak berkuasa Thailand yang
menahan Justo di Koh Samui atas cubaan untuk memeras ugut syarikat itu
menyatakan ia merupakan sebahagian plot untuk menjatuhkan Najib.
Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan di
blog bermotif politik, Sarawak Report, sehingga mencetuskan pelbagai
tuduhan terhadap 1MDB.
“(Dengan penangkapan Justo) semua pengkritik yang membuat tuduhan tidak
berasas terhadap Perdana Menteri dan 1MDB kini perlu menarik balik
kenyataan mereka dan meminta maaf kerana tidak mengesahkan maklumat yang
diperoleh daripada Sarawak Report.
“Ini berdasarkan laporan NST (News Straits Times) bahawa beberapa e-mel
dan dokumen yang disiarkan di blog terbabit didapati telah diubah
sehingga ketepatan dakwaan itu boleh dipersoalkan,” menurut sumber itu
lagi.
Akibat daripada itu, jumlah kerosakan terhadap prestij, reputasi dan
imej antarabangsa ke atas negara ini, Perdana Menteri, ekonomi serta
semua individu dan organisasi yang dituduh dalam plot ini, amat besar.
“Maka, tindakan harus diambil terhadap semua individu, agensi media,
wartawan yang telah menyebabkan kerosakan ini kerana laporan tidak
bertanggungjawab mereka.
“Mana-mana individu yang menganggap sebarang maklumat dalam laman sosial
adalah benar, jelas menunjukkan mereka mempunyai pemikiran tidak
rasional.
“Wartawan yang mengulas artikel itu dengan menuduh kerajaan tanpa
meneliti kesahihan dokumen yang telah diambil daripada Sarawak Report,
disifatkan sebagai satu penghinaan pada dunia media.
“Sepatutnya, ia tidak mengambil masa yang lama untuk meneliti semula
dokumen atau mendapatkan kesahihan terhadap dakwaan itu dengan hanya
menghubungi pihak berkaitan,” menurut sumber itu.
Kes melibatkan Justo menunjukkan mana-mana kerajaan termasuk Malaysia
akan terus berdepan kritikan yang berpunca daripada penyiaran berita
secara online yang tidak betul.
Dalam kes Justo, apa yang bermula sebagai berita mudah untuk kepentingan
peribadi oleh seorang bekas pekerja, melarat menjadi dakwaan bermotif
politik menerusi blog yang tidak bertanggungjawab.
Moralnya – Sebarang maklumat yang disiarkan di Internet perlu ditapis,
perlu dianggap tidak selamat dan tidak tepat untuk dijadikan rumusan
oleh mana-mana pihak.
Kata sumber itu lagi:
“Beberapa bulan sebelum tangkapan (Justo) itu, siasatan telah dijalankan
dan penemuan itu menunjukkan memang terdapat percanggahan.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu berkongsi penemuan siasatan itu kerana
berpendapat tidak kira apa pun, majoriti rakyat Malaysia telah pun
memilih untuk percaya pada bukti yang tidak sah serta menyokong usaha
bekas Perdana Menteri untuk menggulingkan Perdana Menteri ketika ini.”
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment