Friday, June 26, 2015
Senario Politik Negara Dari Kacamata Seorang “Permata”
EDITOR MENULIS...
26 JUN 2015
Baru-baru
ini saya diberi peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dan berbuka puasa
dengan seorang pemimpin yang sangat saya sanjungi di sebuah hotel di
Shah Alam. Sebetulnya saya sudah lama kepingin untuk bertemu beliau
setelah sejak bertahun tidak bertemu.
Bertemu, berbual dan berbicara dengan
beliau, seorang yang saya kenali sebagai “genius politik” menyingkap
minda saya ke skop politik negara yang lebih meluas berdasarkan senario
politik negara yang semakin “menakutkan”.
Budaya politik kebencian kini menghantui
dunia politik negara, tidak dapat tidak, saya akui kesimpulan itu adalah
satu kebenaran yang sangat jelas di sebalik perbualan kami sekitar
hampir sejam di meja banquet hotel berkenaan.
Sedarkah kita bahawa budaya politik tidak
sihat itu menghantui ramai aktivis politik di negara kita? Biarpun apa
saja kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan, ia tetap dipandang buruk
oleh sesetengah masyarakat yang terpengaruh dengan budaya politik
negatif itu.
Hakikat budaya politik kebencian yang
diyakini bermula sejak sebelum tahun 2008 itu merebak momentumnya hingga
kini. Siapa yang memulakan budaya tersebut dan siapa pula yang
terpengaruh dengan budaya itu? Agaknya?
Saya tidak mahu menuding jari pada pihak
pembangkang mahupun ahli politik di dalam kerajaan. Siapa yang
bertanggungjawab memulakan atau melaksanakan strategi politik kebencian
itu saya serahkan pada rakyat Malaysia untuk menilai.
Cuma secara logiknya, kita dapat melihat
siapa yang menimbulkan kebencian dan siapa pula yang “dibenci” dalam
senario politik negara yang terkini, bukan?
Namun setidak-tidaknya, pihak yang
menimbulkan kebencian itu masih lagi gagal mendapatkan kuasa politik di
Malaysia, manakala pihak yang menjadi “mangsa” sengaja ditimbulkan
kebencian terhadapnya itu masih lagi mendapat sokongan majoriti pengundi
di negara ini.
Mujurlah masih ada lagi pengundi yang
berfikiran rasional, bukan? Namun, apakah ada jaminan bentuk pemikiran
masyarakat Malaysia itu tidak akan berubah dan terpengaruh dengan budaya
politik kebencian itu? Akan kekal rasional selamanya, kah? Apa
jaminannya?
Sekiranya dirujuk pada trend pengundi
pada PRU ke-13 dan beberapa siri PRK yang lalu, apakah statistik
pengundi muda menunjukkan suasana “selamat” bagi pihak yang ditohmah
dengan seribu kebencian itu? Itulah realiti pengundi di masa hadapan
nanti.
Pada pandangan saya, kita semua maklum
bahawa di umur muda sebegitu, saat itulah kita tercari-cari arah tuju
perjuangan politik masing-masing dan mungkin atas sikap “radikal”, mudah
terpengaruh dan diperdaya propaganda politik kebencian, maka minda
generasi muda di negara kita mudah sekali dikorupkan?
Apatah lagi di zaman serba “whatsapp”,
facebook, twitter dan instagram ini, sikap malas mencari kebenaran yang
sah oleh golongan muda dengan mengharapkan “maklumat dihujung jari”
dikhuatiri telah merosakkan minda anak-anak muda kita dengan budaya
politik sebegini.
Pada saya, agenda politik kebencian “puak
itu” sudah berjaya dicapai sebanyak 60 peratus mempengaruhi minda
“malas” anak-anak muda di negara ini, sama ada Melayu, Cina atau India,
sama saja. Bila dihati mereka melekat dengan perkataan “benci”, apa saja
yang dilakukan oleh pihak yang dibenci pastinya akan dilihat secara
negatif, bukan?
Sebagai contoh, jika pemimpin yang
ditimbulkan kebencian terhadapnya itu beribadah di depan Kaabah
sekalipun, pastinya akan timbul persepsi negatif terhadapnya seperti
“hendak menunjuk-nunjuk”, “riak”, malah ada yang menjadi mangsa
“photoshop”, bukan?
Itulah hasil didikan politik kebencian.
Biar apapun kebaikan atau jasa yang dibuat, pemimpin itu akan tetap
dipandang negatif. Maklumlah, “mind set benci” yang sudah
dipropagandakan sangat sukar untuk diubah, bukan?
Meskipun begitu, saya merasakan bahawa
walaupun dikatakan sukar untuk mengubah “mind set” tersebut, mahu tidak
mahu, kita semua bertanggungjawab untuk mengubahnya demi masa depan
Islam, bangsa Melayu dan tanahair yang bernama Malaysia ini.
Usaha berkenaan amat perlu dilakukan di
peringkat akar umbi masyarakat, pemimpin pertengahan dan seterusnya
pemimpin politik atasan yang benar-benar sayangkan masa depan dan
kestabilan politik di negara kita.
Hala tuju negara perlu ditetapkan
sasarannya supaya seluruh rakyat di negara ini jelas dengan dasar-dasar
yang dilaksanakan dan masyarakat yakin dengan hala tuju yang disasarkan
itu mampu dijayakan dengan baik mengikut perancangan.
Selain itu, kita juga perlu mengubah
“mind set” para kakitangan awam yang “korup minda”nya dan terpengaruh
dengan sentimen kebencian tersebut terhadap pihak kerajaan supaya
kembali menyokong dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan. Jadi, tidaklah
nanti berlaku “yang di atas cakap lain, yang di bawah cakap lain”.
Paling utama, “mind set” kebencian di
kalangan rakyat itu perlu diubah 100 peratus. Jika tidak dapat 100
peratus, dapat diubah sebanyak 90 peratus pun sudah dikira bagus.
Bagaimana untuk melakukkannya, tanyalah Islam. Sudah tentu ada
“jawapan”nya.
Pada pandangan saya, itulah masalah
kritikal yang sedang dihadapi atmosfera politik negara yang terkini,
sama ada di pihak kerajaan, mahupun pihak pembangkang. Lebih malang
lagi, pihak pembangkang dilihat sangat gagal untuk menjadi “pembangkang
yang sihat” sehingga tergamak tidak mempedulikan soal dosa dan pahala.
Sempena Ramadhan ini, marilah kita
bermuhasabah diri. Kembali merenung jihad politik di negara kita, ke
mana hala tujunya, bagaimana budayanya yang terkini dan apakah yang
mampu kita lakukan selaku seorang Muslim berbangsa Melayu
berwarganegarakan Malaysia.
Begitulah sedikit sebanyak hasil
perbualan ringkas saya dengan seorang “permata yang dibenam ke dasar
lautan”. Buah fikiran dan ketajaman mindanya masih lagi tajam seperti
dulu, namun dipersiakan gara-gara nafsu serakah kuasa duniawi.
Tidak perlulah saya mendedahkan nama pemimpin berkenaan kerana “hanya
jauhari yang mengenal manikam”, dan hanya mereka yang mengenali dirinya
sahaja yang akan mengaku tentang kualiti yang ada pada beliau.
Wallahu’alam.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment