Friday, June 26, 2015
Walau Sudah Bercerai, DAP Tetap Mahukan Nizar di Perak.
Nizar Patut Lepas Jawatan Ketua Pembangkang DUN Perak
Dewan Pemuda Pas Kawasan Ipoh Timur membantah pendirian DAP negeri
yang mahu mengekalkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Ketua
Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan bekas Menteri
Besar itu tidak lagi memegang sebarang jawatan utama dalam Pas.
Ketuanya, Salman Saleh berkata, situasi semasa dalam pakatan
pembangkang memperlihatkan kewajaran supaya jawatan Mohammad Nizar itu
diserahkan kembali kepada DAP kerana parti itu mempunyai 18 Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) berbanding Pas dan PKR yang masing-masing hanya
mempunyai lima wakil di DUN.
“Sehubungan itu, kami mendesak supaya Badan Perhubungan Pas Perak
menasihatkan agar Mohammad Nizar yang juga ADUN Changkat Jering
melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak.
“Pas Perak perlu membuat pendirian supaya menolak jawatan Ketua
Pembangkang setelah episod ‘serangan’ DAP terhadap Presiden dan Majlis
Syura Pas sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming sebelum ini dilaporkan bersetuju
untuk mengekalkan Mohammad Nizar selaku Ketua Pembangkang DUN Perak
biarpun gabungan pakatan pembangkang telah berakhir.
Menurut Kor Ming, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat
bulanan jawatankuasa DAP negeri baru-baru ini dengan alasan Mohammad
Nizar memiliki kewibawaan untuk terus mengetuai pembangkang di negeri
ini.
Dalam pada itu, Salman berkata, DAP perlu menghormati pendirian Pas
dalam perkara tersebut berikutan tindakan mengekalkan Mohammad Nizar
bukanlah merupakan jalan terbaik bagi mengukuhkan hubungan antara
kedua-dua parti berkenaan.
“Tohmahan yang selama ini mengatakan Pas adalah ‘boneka’ kepada DAP
akan menjadi senjata UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika Datuk Seri
Mohammad Nizar dikekalkan.
“Sekiranya DAP masih mahu kerusi Ketua Pembangkang kekal kepada Pas,
biarlah Pas sendiri atau majlis pakatan pembangkang yang menentukan
siapakah paling layak untuk mendudukinya,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment