Thursday, June 25, 2015

Terima Kasih Kerajaan... Unit Rawatan Air Bergerak “Nomad” Dihantar Ke Ranau

25 Jun 2015, Ranau : Unit rawatan air bergerak yang dihantar oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ke Sabah, akan diletakkan dalam keadaan siap sedia di Ranau untuk tempoh dua bulan akan datang sementara kerja-kerja menaik taraf dan pemulihan dijalankan di loji pengambilan air Sg Bambangan yang terjejas.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata unit bergerak dikenali sebagai “Nomad” akan dipasang di Sungai Kenipir yang dikenal pasti sebagai sumber pengambilan air mentah. “Selepas dua bulan, Kementerian melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara akan meletakkan unit itu secara kekal di Sabah.

Unit itu akan diuruskan oleh Jabatan Bekalan Air Labuan bagi menghadapai sebarang situasi kecemasan di Sabah. “Unit Nomad ini dan pemasangannya membabitkan kos kira-kira RM1.5 juta. Ia mempunyai kapasiti 1 juta liter (JLH) sehari, yang bermakna ia boleh memenuhi keperluan untuk kira-kira 10 peratus air yang dirawat di Ranau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini susulan lawatannya ke tapak Sungai Kenipir semalam.

Turut mengiringinya ialah anggota Dewan Undangan negeri kawasan Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam, jurutera Jabatan Air Ranau Anthony Jullah dan ahli sepanjang hayat KDCA Datuk Verus Aman Sham.

Unit bergerak dihantar dari Pelabuhan Klang pada Ahad dan dijangka tiba di Kota Kinabalu minggu ini sebelum dihantar ke Ranau di mana bekalan air bagi 100,000 orang terganggu susulan banjir lumpur pada 15 Jun.

Unit bergerak terpaksa dihantar melalui kapal ke Sabah dari Kuala Lumpur kerana syarikat penerbangan tidak dapat mengangkut kontena 20 kaki lebar itu,” kata Ongkili dan menambah bahawa Kementerian mempunyai tiga sistem Nomad – dua dengan kapasiti 1 JLH dan satu lagi dengan kapasiti 3 JLH.

“Unit-unit itu ditubuhkan dalam bentuk kontena yang mudah diangkut semasa kecemasan. Kementerian berharap untuk mempunyai sebuah unit bergerak dengan kapasiti 3 JLH diletakkan dalam keadaan bersedia siap di Sabah bagi menghadapi kemungkinan kemarau.

Unit 3 JLH itu berada dalam kontena 40 kaki,” kata beliau. Beliau juga berkata Kerajaan Persekutuan akan mencari jalan untuk membantu pihak berkuasa negeri membiayai sebahagian daripada langkah-langkah pemulihan yang perlu dijalankan untuk membaiki kerosakan yang menjejaskan bekalan air.

Selepas melawat tapak, menteri itu bersama rombongannya makan tengah hari bersama Persatuan Malim Gunung Kinabalu. Pada majlis itu juga, Presidennya Richard Soibi menerima RM50,000 sumbangan tiga buah syarikat kepada malim gunung yang pendapatan mereka terjejas berikutan penutupan Taman Negara Kinabalu.

Cek untuk jumlah itu sebelumnya disampaikan kepada Dr Maximus oleh YTL Power International Berhad, Ekovest Berhad and Kumpulan S.E.H. Malaysia di Putrajaya. Ongkili berkata beliau berharap Sabah tidak lama lagi akan bebas daripada gempa bumi dan gempa susulan supaya taman tersebut boleh dibuka semula sepenuhnya.

“Kerajaan sedar bahawa gempa bumi telah menjejaskan pelancongan di Ranau yang dikunjungi oleh 60,000 pelancong setiap tahun. Aktiviti ekonomi lain yang bergantung kepada pelancongan juga terjejas,” katanya.

Soibi memaklumkan sumbangan daripada orang ramai diuruskan oleh seorang peguam yang dilantik oleh Persatuan. Beliau berkata bahawa susulan 18 orang terkorban termasuk anggotanya dalam gempa bumi baru-baru ini, persatuan berharap anggotanya akan dilindungi oleh insurans. “Kami berharap pihak berkuasa berkaitan, sama ada Taman Sabah dan Kementerian Pelancongan negeri, dapat memastikan anggota persatuan dilindungi oleh insurans,” kata Soibi.

Dipetik daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment