Sunday, July 26, 2015
Pemimpin PAS Sertai GHB Perlu Tampil Nyatakan Pendirian - Mohd Amar
Pemimpin PAS yang dikaitkan dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) perlu
tampil memberi penjelasan mengenai status mereka, kata Naib Presiden PAS
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata tindakan itu wajar dilakukan bagi mengelak berlaku fitnah
dan kekeliruan masyarakat terhadap mereka pada ketika ini.
"Jika berdiam diri akan menimbulkan fitnah dan kekeliruan kepada
pengundi," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri PAS
Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama di Kota Bharu,Sabtu.
Sebelum ini, bekas pemimpin kanan PAS Khalid Abdul Samad dilaporkan
berkata GHB diuar-uar akan menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang
dan akan ditubuhkan pada 14 Sept depan.
Sementara itu, Mohd Amar berkata mana-mana wakil rakyat PAS yang
bertindak menyertai GHB perlu mempunyai sikap bertanggungjawab meskipun
mereka tidak perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.
"Dari segi undang-undang memang dia (wakil rakyat PAS) tidak perlu letak
jawatan (sebagai wakil rakyat) tetapi dari segi moralnya dia perlu
bertanggungjawab," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar
Kelantan berkata lafaz bai'ah yang dilakukan oleh Anggota Parlimen dan
ADUN PAS di negeri ini sepatutnya tidak perlu dipertikaikan memandangkan
ia dibuat secara sukarela.
"Lafaz bai'ah dibuat semasa zaman tok guru menjadi menteri besar
(Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) lagi dan perjuangan Islam ini
ialah perjuangan yang besar dan kita sepatutnya sayang kepada
perjuangan ini.
Di SHAH ALAM, Dewan Ulama PAS Selangor hari ini menegaskan wakil rakyat
PAS yang mahu menyertai GHB, wajib mengosongkan kerusi yang dimenangi
mereka.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS negeri Selangor Kamalulhysham Mohd
Suhut berkata tindakan itu adalah demi maruah mereka dan perlu
bertanding semula atas kekuatan sendiri.
"Semua wakil rakyat yang telah diamanahkan mewakili parti melalui kerusi
Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat yang menyertai GHB wajib
meletakkan jawatan.
"Demi menjaga maruah diri dan agar tidak terus hidup memakan harta
syubhat, mereka yang terlibat perlu meletakkan jawatan dan bertanding
semula dengan kekuatan sendiri," katanya dalam kenyataan yang disiarkan
menerusi Facebook Dewan Ulama PAS Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Tanjung Sepat daripada PAS, Mohd
Haslin Hassan menafikan dakwaan yang mengatakan beliau menyertai GHB.
"Saya ingin tegaskan, selagi mana PAS kekal dengan prinsip perjuangan
yang termaktub dalam perlembagaannya dan dipimpin oleh kepimpinan ulama,
insya-Allah saya akan kekal dalam perjuangan tarbiyyah, dakwah dan
siasah PAS ini," katanya menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi
Facebook PAS Selangor.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment