Sunday, July 26, 2015
PKR, DAP Tubuh Pakatan Baharu PAS Dijangka Disisihkan, GHB Jadi Pengganti
KUALA LUMPUR : PKR dan DAP akan menubuhkan pakatan pembangkang
baharu yang akan turut disertai oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) sekali
gus menyisihkan Pas dalam kerjasama tersebut.
Walaupun dalam kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui
peguamnya bagi mengumumkan penubuhan pakatan baharu itu tidak
menyatakan dengan jelas kedudukan Pas, namun Penasihat DAP, Lim Kit
Siang secara terbuka menegaskan, Pas tidak akan dilibatkan atas alasan,
‘menjadi punca kematian pakatan pembangkang’ sebelum ini.
Pendirian DAP itu bermakna Pas yang dibarisi oleh golongan ulama akan
disisihkan sekali gus menimbulkan persoalan berhubung kedudukan Pas
dalam pentadbiran kerajaan Selangor.
Pas yang menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memerintah
negeri itu bersama PKR (13 kerusi) dan DAP (15 kerusi). Bagaimanapun
kedudukan Pas dijangka tergugat memandangkan dua ADUN parti tersebut
iaitu ADUN Morib, Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Langat, Saari Sungib
sudah mengesahkan akan menyertai parti baharu yang akan ditubuhkan pada
14 September ini.
Difahamkan PKR dijangka menuruti kehendak DAP untuk mengetepikan Pas
yang menolak kumpulan Anwarinas dalam pemilihan parti Jun lalu dan akan
bekerjasama dengan parti baharu yang ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin
Pas dalam GHB.
Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat
pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan berkata, pakatan baharu
itu akan dikukuhkan merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih,
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)
dan GHB.
Kit Siang pula berkata, pembangkang memerlukan `kenderaan baharu’ di
mana harapan dan aspirasi rakyat dalam pilihan raya umum boleh
diteruskan.
“Oleh itu kami berbincang mengenai ‘kenderaan baharu’ itu sama ada ia
berupa pakatan baharu, pakatan rakyat 2.0 atau harapan rakyat. Ia
sedang dalam proses dibentuk,” katanya.
Sementara itu, seorang pemimpin kanan Pas ketika dihubungi Utusan
Malaysia menegaskan, parti tersebut bersedia menerima apa sahaja
kemungkinan termasuk tidak dilibatkan dalam gabungan berkenaan.
“Itu bukan masalah bagi kita kerana apa pun kalau ditakdirkan terpaksa
berjuang sendirian kita terpaksa menerimanya dengan hati terbuka, apa
pun kita menanti pengumuman rasmi berhubung penubuhan pakatan baharu
tersebut,’’ katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment