Sunday, July 26, 2015
Polis Siasat Kes Adik Pelakon Wanita Dipukul Di Asrama
GEORGE TOWN : Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian
melibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu bersama 16 rakannya yang
didakwa dipukul pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Jalan
Masjid Negeri, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kes
membabitkan adik lelaki kepada seorang pelakon wanita itu disiasat
menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
"Kes itu berlaku di asrama sekolah berkenaan pada Rabu malam selepas
mangsa dan rakan-rakannya yang baru balik membeli makanan berikutan
lapar dimarahi sekumpulan pelajar Tingkatan Lima.
"Pelajar-pelajar Tingkatan Satu berkenaan mendakwa selain dimarah kerana
keluar daripada asrama tanpa kebenaran, mereka turut dipukul sehingga
lebam di beberapa bahagian badan," katanya ketika dihubungi Bernama, di
sini pada Sabtu.
Beliau berkata sebaik menerima laporan daripada seorang ibu mangsa,
pihaknya memulakan siasatan termasuk mendapatkan laporan kesihatan
pelajar-pelajar terbabit.
Mior Faridalatrash berkata polis telah mengenal pasti mereka yang
terlibat dalam kejadian berkenaan dan semua pelajar termasuk mangsa yang
dicedera akan dipanggil Isnin ini, untuk direkodkan keterangan.
Katanya polis juga telah berhubung dengan sekolah berkenaan dan pihak
sekolah berjanji akan memberi kerjasama bagi membantu siasatan kes itu.
"Berdasarkan siasatan awal, empat pelajar senior yang tinggal di asrama
berkenaan dipercayai terlibat dalam kejadian pukul itu," katanya.
Sementara itu, pelakon Almy Nadia menerusi laman sosial Instagram
miliknya memuat naik status mendakwa adiknya yang tinggal di asrama
sebuah sekolah menengah di Jalan Masjid Negeri di sini, dipukul dalam
kejadian pada Rabu malam lepas.
Almy Nadia atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah berkata
kejadian itu berlaku selepas adiknya bersama 16 pelajar lain keluar dari
kawasan asrama sekolah berkenaan pada waktu malam kerana lapar.
"Kemudian semua pelajar terbabit termasuk adik saya dipukul oleh pelajar
senior sekolah berkenaan namun antara mereka semua yang dipukul itu,
adik saya yang paling teruk sekali," katanya.
Almy Nadia mendakwa adik lelakinya itu dipukul oleh empat pelajar senior
sedangkan yang lain dipukul oleh seorang pelajar senior.
"Sebaik dimaklumkan berhubung kejadian ini, ibu saya bergegas ke sekolah
terbabit untuk mengambil adik saya sebelum membawanya ke hospital,"
katanya menerusi laman sosial berkenaan.
Beliau berkata keluarganya turut membuat laporan polis dan berharap
pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap kes tersebut.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment