Sunday, July 26, 2015
Sedarlah Melayu Kita....80 Peratus Orang Cina Mahu DAP 'Guling' BN
DAP bantu ternak buaya
Akhbar Sin Chew Daily News bertarikh 21 Julai 2015 menyiarkan artikel
mengenai kononnya DAP telah memperdayakan orang Cina apabila lebih
mengutamakan dan membantu mewujudkan kumpulan parti baharu dalam
kalangan orang Pas yang berfikiran liberal.
Artikel bertajuk ‘DAP menjadi wakil masyarakat Cina membantu menternak
buaya ganas’ yang ditulis oleh Lim Fang itu disiarkan dalam ruangan
Pendapat halaman 21. Penulis mendakwa 80 peratus daripada orang Cina
mengharapkan melalui kekuatan DAP dapat menukar kerajaan Barisan
Nasional (BN).
Walaupun DAP memperoleh 37 kerusi Parlimen tetapi hanya dapat memerintah
di Pulau Pinang sahaja, dari segi kekuatan DAP tidak mampu untuk
memberi kebajikan kepada masyarakat Cina, sebanyak 94 peratus projek
kerajaan negeri Pulau Pinang diberikan kepada orang Melayu. Ketua
Menterinya, Lim Guan Eng seperti menafikan kemampuan orang Cina membuat
kerja dan melakukan perniagaan itu.
DAP pernah secara lantang mahu membina sebuah Bandar Budaya Cina di
kawasan Klang, Selangor. Hari ini mereka telah gadaikan maruah parti,
Bandar Budaya Cina tinggal debunya sahaja.
Selepas pakatan rakyat bangkit dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu,
peranan yang banyak dimainkan oleh DAP ialah mewujudkan kumpulan Melayu
berfikiran terbuka, namun mereka sendiri tidak dapat mengumpulkan
kekuatan untuk menarik orang ramai menyertai mereka.
Sebaliknya DAP seperti mengikut rentak dan telunjuk Pas, diyakini
kumpulan gerakan baharu dalam Pas ini tidak mampu mengawal polisi agama,
sekali gus bermakna mereka tidak mempunyai nilai dalam kedudukan dan
pasaran.
Gerakan baharu ini mencabar Pas sepenuhnya, pasti akan lebih memburukkan
perpecahan dalam pakatan pembangkang, PKR juga tidak terlepas daripada
tempias bencana tersebut. Ini bermakna jika dalam PRU lalu pembangkang
melawan BN secara satu lawan satu, selepas ini akan wujud keadaannya
peti undi akan berlaku perlawanan tiga penjuru.
Pas dan DAP mempunyai kelebihan, kerana kedua-dua parti masing-masing
berkuasa di Kelantan dan Pulau Pinang, yang tersepit adalah PKR kerana
PKR perlukan Pas dan DAP untuk memerintah Selangor. Sebab itu jika
kepimpinan PKR tersilap langkah akan kehilangan kesemuanya.
Pas untuk dipergunakan
Sementara itu, akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 21 Julai 2015 menarik
perhatian dengan mengatakan bahawa kekuatan Pas adalah untuk
dipergunakan bukan dipercayai kerana agenda, polisi dan matlamatnya
tetap sama tanpa mengira siapa sahaja yang menerajui kepimpinan parti
berkenaan.
Artikel bertajuk ‘Untuk dipergunakan bukan untuk dipercayai’ yang
ditulis oleh Lim Fang itu disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman B9.
Penulis mendakwa pimpinan DAP terutamanya Lim Kit Siang amat arif
mengenai perkara tersebut kerana cukup berpengalaman dengan parti
berkenaan dalam beberapa siri PRU yang lalu.
Malah sebelum ini, Kit Siang selalu mengingatkan Pas bahawa sekiranya
parti itu bertarung bersendirian pasti akan kecundang tetapi nasihat dan
peringatan tokoh veteran itu langsung tidak diendahkan oleh pimpinan
Pas yang berhati keras.
Persoalannya kenapa dia masih prihatin dengan Pas, sepatutnya selepas
membantu Mohamad Sabu menubuhkan parti baharu, jangan sesekali fikir dan
risaukan mengenai Pas sama ada hidup atau mati. Hakikatnya sokongan
akar umbi kedua-dua parti ini amat kukuh dan DAP menyedarinya.
Malah terdapat dua kemungkinan atas keprihatinan Kit Siang itu, iaitu
seronok melihat kejatuhan teruk Pas dalam PRU nanti atau mengharapkan
Pas kembali semula kepada pembangkang untuk menjatuhkan BN.
Sekiranya berlawan secara berhadapan, kedua-duanya, Pas dan DAP akan
kecundang, hilang undi di kawasan campuran dan parti baharu serpihan Pas
itu serta PKR juga bakal terkena tempiasnya. Oleh itu, diingatkan
kepada Kit Siang dan pimpinan DAP yang lain semasa membelasah ‘bulan’,
diharapkan jangan terlalu keras dan gopoh, jangan keluarkan kata-kata
kesat yang boleh menjauhkan lagi kemungkinan untuk berbaik semula.
Halang bara perkauman
Dalam pada itu, akhbar sama bertarikh 20 Julai 2015 menyentuh mengenai
insiden Plaza Low Yat dengan menegaskan bahawa ia tidak wajar dikaitkan
dengan isu rusuhan kaum yang dipanaskan oleh laman sosial.
Artikel bertajuk ‘Ingat pengajaran, jangan cabar rusuhan kaum’ yang
ditulis oleh Cheah See Kian itu disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman
A11. Penulis bersyukur kerana keadaan itu telah diredakan dengan
kecekapan pihak keselamatan namun semua pihak perlu berwaspada kerana
pada setiap masa akan wujud golongan yang mengambil peluang untuk
merosakkan perpaduan kaum.
Penulis kemudiannya memberikan contoh yang berlaku semasa tragedi 13 Mei
1969, yang sebenarnya tiada satu pihak pun menang, semuanya kecundang.
Nyawa melayang kerana hasutan daripada isu perkauman, agama dan politik.
Oleh itu, jangan sesekali membiarkannya disemarakkan, jika tidak
Malaysia akan sekali lagi terjerumus kepada kehancuran.
Punca percikan bara api fahaman perkauman harus dihapuskan segera.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment