Monday, November 02, 2015
1MDB : Siaran Langsung Debat Arul Kanda – Pua Akan Diadakan Secepat Mungkin – Salleh
KUALA LUMPUR : Radio Televisyen Malaysia (RTM)
bersedia mengadakan siaran langsung debat mengenai 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) antara Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB Arul
Kanda Kandasamy dengan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
Tony Pua.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
berkata pihaknya telah menghubungi Arul Kanda hari ini bagi memaklumkan
bahawa RTM akan menyediakan studio bagi siaran secara langsung itu, dan
akan turut menghubungi Pua dalam masa terdekat.
“Pada kita elok diteruskan debat ini agar masyarakat Malaysia boleh
tahu keadaan 1MDB yang sebenar. RTM akan bincang dengan kedua-dua pihak
untuk mengetahui bila mereka mahu adakan debat itu. Kita tidak ada
halangan.
“I hope it would be held this year as soon as possible (Saya harap ia diadakan tahun ini secepat mungkin).
“Pada saya lebih cepat lebih baik. Tidak boleh ‘hanging’ (tangguh)
perkara tersebut kerana rakyat ternanti-nanti untuk mendengar perbahasan
soal 1MDB ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari
ini.
Arul Kanda pada Sabtu berkata beliau bersedia bersemuka dengan Pua
secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara
itu, tanpa sebarang syarat.
Ini sebagai menyahut cabaran Pua melalui blognya agar mereka
mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung, dengan
Pua menjadi pihak yang mengemukakan soalan.
Bagaimanapun, Salleh berkata kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada
syarat yang ditetapkan iaitu hanya maklumat umum sahaja boleh
disampaikan dan bukannya maklumat yang dibincangkan di dalam PAC.
“Kedua-dua pihak diberi peluang untuk memberi hujah masing-masing
dalam sesi debat selama sejam itu. Pada saya itu format terbaik,”
katanya.
Ditanya mengenai format sesi debat itu, Salleh berkata kedua-dua
pihak perlu sependapat mencari suatu format yang sesuai dan memaklumkan
kepada RTM mengenai perkara itu bagi memudahkan urusan siaran langsung.
“Dalam soal debat ini, ia bukan suatu soal jawab, bukan sekadar satu pihak soal, satu pihak jawab.
“Ia harus di mana kedua-dua pihak itu berhujah ke atas
penerangan masing-masing yang ada kaitan dengan 1MDB. Dan kita akan
sediakan moderator,” katanya.
Salleh turut memaklumkan bahawa RTM akan mengadakan program
baharu, ‘Demokrasi Mengurus Perbezaan’ yang akan disiar secara langsung
tidak lama lagi bagi membincangkan pelbagai isu semasa.
“Program ini menggalakkan perbezaan (pendapat) diuruskan sebaiknya di
dalam suasana kondusif. Tidak harus emosional, setiap pihak mesti
berhujah secara rasional dengan fakta.
“Pada akhirnya, penonton akan membuat penilaian dan analisis atas isu tertentu” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment