Monday, November 02, 2015
Serlahkan Kejantanan Dalam Debat 1MDB – TPM Ahmad Zahid
PUTRAJAYA : Debat mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB)
antara Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan anggota Parlimen Petaling
Jaya Utara Tony Pua adalah peluang untuk menyerlahkan keberanian dan
kejantanan masing-masing bagi mencari kebenaran berhubung isu
menyelubungi syarikat pembangunan strategik itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa
menyatakan demikian berkata, sekiranya Pua mahu isu 1MDB diselesaikan
dengan baik, beliau seharusnya menggunakan platform perdebatan itu
dengan baik dan jangan berdolak-dalik.
“Kalau berani cabar maka hendaklah bayar dengan ‘harga tunai’ iaitu
dengan keberanian, keikhlasan dan bukannya dengan cacamarbakan cabaran
itu.
“Jangan bagi alasan untuk melarikan diri dan menghilang dan mencabut
kejantanan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat peringkat Jawatankuasa Tertinggi mengenai Agensi Keselamatan
Sempadan di sini hari ini.
Arul Kanda pada Sabtu menyatakan persetujuan untuk berdebat dengan
Pua tanpa sebarang syarat, dengan menarik balik syarat terdahulu untuk
Pua meletakkan jawatannya sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Negara (PAC).
Ahmad Zahid berkata beliau percaya Arul Kanda sebagai seorang yang
profesional mampu menjawab dengan baik sebarang persoalan yang bakal
diajukan seterusnya memberi gambaran sebenar mengenai isu melanda 1MDB.
“Perlu cari pendekatan berbeza untuk menjernihkan fakta yang keruh
dan pencerahan yang dilakukan (Arul Kanda) dapat memberikan gambaran
sebenar apa yang berlaku, bukan dengan memesongkan beberapa fakta yang
telah dibangkitkan dahulu tetapi diulang-ulang,” katanya.
“Dengan adanya perbahasan terbuka dan secara langsung, keberanian dan kejantanan harus terserlah,” katanya.
Mengenai kesediaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan
secara langsung debat 1MDB itu, Ahmad Zahid menyifatkan ia sebagai
wajar.
“Tiada masalah kalau nak live (secara langsung),” katanya.
Pada 29 Okt lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr
Salleh Said Keruak berkata RTM sedia menyiarkan debat itu secara
langsung sekali gus membuktikan sikap keterbukaan kementerian berkenaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment