Monday, November 02, 2015
Laporan Akhir 1MDB Oleh Jabatan Audit Negara Dijangka Siap Hujung Tahun – Pengerusi PAC
KUALA LUMPUR : Jabatan Audit Negara dijangka menyiapkan
laporan akhir berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hujung tahun
ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin
berkata perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu di
bangunan Parlimen, di sini hari ini.
“Dalam mesyuarat pertama PAC hari ini, kami mendengar laporan interim
berhubung 1MDB daripada Jabatan Audit Negara kerana ramai anggota
baharu yang dilantik dalam jawatankuasa PAC, dan mereka (Jabatan Audit
Negara) janji akan siapkan laporan akhir menjelang akhir tahun ini,”
katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu hari
ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah.
PAC mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini selepas pelantikan enam anggota baharu termasuk pengerusinya.
Selain itu, Hasan yang juga Anggota Parlimen Rompin berkata PAC akan
meneruskan prosiding ke atas 1MDB mengikut kaedah yang dilaksanakan
pengerusi terdahulu, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
“Kami akan teruskan prosiding dengan memanggil mereka yang telah
ditetapkan sebelum ini, seperti (Presiden) dan Pengarah Eksekutif
Kumpulan (1MDB) Arul Kanda, Shahrul (bekas pengarah urusan dan ketua
pegawai eksekutif 1MDB Datuk Mohd Shahrul Ibrahim Halmi) dan
pengerusi-pengerusi mereka … tarikh akan ditentukan secepat mungkin,”
katanya.
Arul Kanda sebelum ini dilaporkan berkata beliau bersedia untuk
menghadiri prosiding PAC dan jawapan beliau menjadi sebahagian daripada
rekod awam.
Hasan bagaimanapun berkata tiada keperluan untuk memanggil ahli
perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, sebaliknya, akan meletakkannya
sebagai personaliti dalam prosiding, dan bukannya saksi.
Beliau juga berkata tiada keperluan untuk anggota PAC mengangkat
sumpah simpan rahsia kerana mereka telah mengangkat sumpah sebagai
anggota Parlimen.
“… ini juga kerana PAC adalah sebahagian daripada jawatankuasa dalam Parlimen,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mencadangkan kesemua anggota PAC
mengangkat sumpah simpan rahsia supaya segala dokumen dan maklumat dalam
jawatankuasa itu kekal rahsia.
Antara agenda yang turut dibincangkan dalam mesyuarat tiga jam itu
termasuk penerangan kepada anggota baharu berhubung tugas dan
tanggungjawab PAC serta taklimat prosiding dan isu yang tertangguh
sebelum ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment