Monday, November 02, 2015
Memaafkan Pihak Bersalah Bukti PM Seorang Pemimpin Berjiwa Besar – Sharkar
TEMERLOH : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd
Sharkar Shamsuddin menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila sanggup
memaafkan bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin yang didapati
bersalah oleh mahkamah kerana memfitnah beliau.
Menurut beliau, sikap pemaaf yang diperlihatkan oleh Perdana Menteri
itu membuktikan bahawa tindakan saman terhadap Nizar itu juga hanyalah
semata-mata sebagai satu pengajaran kepada beliau dan juga ahli politik
atau mana-mana individu, agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang
kenyataan.
“Boleh saja Datuk Seri Najib tidak mahu memaafkan Nizar dan mahu
beliau dijatuhkan hukuman, kerana itu memang hak dia memandangkan bekas
Menteri Besar Perak itu memang bersalah kerana memfitnah beliau. Namun,
memandangkan Nizar sudahpun membuat permohonan maaf secara terbuka, maka
PM kita secara berlapang dada tidak mahu memanjang perkara ini dan
memaafkan beliau.
“Bagi saya, inilah contoh seorang pemimpin
yang berjiwa besar dan sanggup menerima maaf pihak yang bersalah kerana
telah memfitnah beliau. Beliau ada hak untuk meneruskan kes tersebut
sehingga Nizar dihukum, namun beliau tidak lakukan sedemikian,” tegasnya
kepada pihak media di sini hari ini.
Beliau yakin, tindakan saman yang dilakukan oleh PM itu hanyalah
semata-mata satu tindakan untuk memberikan pengajaran dan iktibar kepada
mereka yang lain, khususnya ahli politik pembangkang agar berhati-hati
dalam mengeluarkan kenyataan di masa akan datang.
“Isu ini juga merupakan satu pengajaran kepada semua ahli politik,
khususnya kepimpinan pembangkang yang amat suka menggunakan fakta-fakta
yang berbaur fitnah dan tohmahan sebagai modal politik untuk menyerang
kepimpinan UMNO.
“Sebelum Nizar, sudah ada beberapa lagi pemimpin pembangkang yang
didapati bersalah oleh mahkamah kerana memfitnah dan sepatutnya mereka
menjadikan kesilapan mereka itu sebagai iktibar, agar jangan
mengeluarkan kenyataan sesuka hati selagi mana tidak dapat dibuktikan
kesahihannya sesuatu maklumat tersebut,”jelasnya.
Justeru itu, beliau mahu rakyat menyedari bahawa amalan pihak
pembangkang yang suka menyebarkan fitnah dan tohmahan dengan harapan
menimbulkan persepsi negatif di pemikiran rakyat terhadap pemimpin
kerajaan, merupakan pendekatan politik yang mesti ditolak.
“Pendekatan politik untuk mempengaruhi pemikiran rakyat dengan cara
melemparkan fitnah kepada pihak lawan mesti ditolak. Politik fitnah
seperti ini amat merbahaya, bukan sahaja boleh merosakkan individu itu
sahaja, malah ia boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang lebih
buruk dari itu yang melibatkan rakyat dan negara.
“Saya menyeru kepada rakyat di seluruh negara, agar memilih pemimpin
negara berdasarkan keupayaan memimpin dan bukannya berdasarkan sentimen
semata-mata. Adakalanya sentimen yang wujud dalam diri kita ini akan
mengelabui pemikiran kita untuk berfikir secara matang dan rasional,”
ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment