Monday, November 02, 2015
PAS : Rakyat Tolak Kerakusan DAP
Kerakusan DAP dalam usaha menawan Putrajaya
sehingga membelakangkan faktor keharmonian masyarakat dan kestabilan
politik akan menyebabkan parti itu ditolak oleh rakyat.
Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata,
hakikat itu lambat-laun akan disedari oleh rakyat termasuk kaum Cina
sekali gus menyebabkan mereka menolak DAP pada pilihan raya umum akan
datang.
Menurut beliau, sikap rakus DAP kebelakangan ini semakin terserlah
dengan tindakan mereka ‘menunggangi’ parti-parti lain dalam pakatan
pembangkang baharu serta beberapa aktivis Melayu yang menyertai DAP.
“Tindakan DAP mengisytiharkan keputusan mereka untuk bertanding di
kerusi-kerusi yang dimenangi Pas di Selangor jelas membelakangkan Parti
Amanah Negara (Amanah) yang diyakini mempunyai keinginan bertanding di
kerusi yang sama.
“Selain itu, DAP terus mendesak Menteri Besar Selangor yang juga
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk menyingkirkan Exco Pas
dan jelas sekali DAP kini cuba memperbudak-budakkan parti-parti lain
dalam pakatan pembangkang baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini
hari ini.
Dalam Konvensyen DAP Selangor di Petaling Jaya semalam, Pengerusi DAP
Kajang Baru, Chiong Yoke Kong dilaporkan menggesa kepemimpinan
tertinggi parti itu memberi kata dua kepada Mohamed Azmin supaya memecat
wakil rakyat Pas dalam pentadbiran negeri.
Konvensyen sama turut menyaksikan bekas Pensyarah Undang-Undang
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari serta
dua aktivis Melayu DAP, Syefura Othman dan Edry Faizal Eddy Yusof
dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Selangor.
Di samping itu, DAP Selangor juga dikatakan sedang membuat persiapan
untuk meletakkan calon-calonnya bertanding di lapan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) yang diwakili Pas di Selangor.
Mohd. Zuhdi menambah, Pusat Penyelidikan Pas telah mengkaji strategi
dan unjuran DAP untuk menguasai negara ini melalui pakatan pembangkang
iaitu dengan memaksimumkan kemenangan calon-calon bukan Islam serta
meminimumkan kemenangan calon-calon Islam.
Beliau memberitahu, pemerhatian yang dilakukan semasa Pas masih
menjalinkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP mendapati,
parti itu mengambil pendekatan memainkan isu-isu sensitif berkaitan
sentimen agama dan kaum termasuk isu kalimah Allah serta menolak
dasar-dasar afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB).
“Ketika itu, Pas sentiasa menjadi halangan utama disebabkan
manipulasi isu seperti ini akan merugikan pakatan pembangkang secara
keseluruhan,” jelasnya.
Mohd. Zuhdi berkata, DAP kini dilihat mengamalkan pendekatan tersebut
dengan menyerang kepentingan umat Islam, tidak menghormati institusi
Melayu, memperlekehkan kepemimpinan Islam dan menyebarkan sentimen
anti-Melayu.
Beliau berpandangan, DAP sepatutnya menerima realiti akar umbi
sejarah, latar belakang budaya dan susur-galur nilai yang membentuk
struktur sosial serta tata cara politik di negara ini.
“Semua elemen itu telah menjamin keharmonian masyarakat dan kestabilan politik di Malaysia,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment