Monday, November 02, 2015
Usah Mimpi Pakatan Harapan Mahu ‘Tunggang’ PAS Lagi…
EDITOR MENULIS...
2 NOVEMBER 2015
Tidak dapat digambarkan betapa geramnya dalam hati DAP dan PKR
apabila PAS membuat keputusan untuk bersifat sebagai berkecuali dalam
soal undi penerimaan Bajet 2016 yang dibentang Perdana Menteri, Dato’
Seri Mohd Najib Tun Razak.
Mungkin hanya mampu menggetap bibir apabila Presiden PAS, Dato’ Seri
Abdul Hadi Awang mengumumkan pendirian partinya untuk berkecuali
terhadap cadangan menolak usul Bajet 2016 yang dibentangkan Najib pada
23 Oktober lalu.
Geram atau tidak, itulah yang terpaksa ditelan Ketua Pembangkang,
Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail. Saya yakin, dihati wanita kepada
Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu terdapat rasa sedikit terkilan dengan
pendirian PAS itu.
Dalam sejarah pembangkang, selalunya mereka akan sedaya upaya menolak
bajet yang dibentang pihak kerajaan. Jarang-jarang sekali pihak
pembangkang bersikap berkecuali.
Kecualilah jika pembangkang itu
benar-benar pembangkang yang ‘sihat’.
Maksud saya sebagai pembangkang yang ‘sihat’, mereka hanya akan
membangkang usul yang merugikan rakyat dan negara, namun akan menyokong,
sanggup bekerjasama dan sedia membantu kerajaan demi kepentingan rakyat
dan negara. Perkara seperti ini mungkin dapat dilihat di luar negara,
namun jarang-jarang sekali di Malaysia.
Namun pendirian PAS terhadap isu penerimaan usul Bajet 2016 kali ini
agak memeranjatkan pihak pembangkang sendiri. Mereka mengkritik, tapi
tindakan itu tidak semestinya menunjukkan mereka tidak bersetuju. Dalam
kata lain, mereka setuju dalam diam…
Bertentangan pula dengan sikap tipikal pembangkang sebelum ini, tidak
kira apa saja yang diusul kerajaan, maka mereka akan bangkang
sebangkang-bangkangnya. Tidak kira usul itu benar bagus atau tidak,
mereka akan tetap bangkang. Itu sikap tipikal pembangkang di Malaysia
pada pandangan saya. Setuju atau tidak, terserah…
Berkenaan Bajet 2016 yang dibentang Najib itu, saya melihat ramai
masyarakat yang memberikan reaksi positif dan menerima usul-usul yang
dibentang. Ianya dikatakan sebagai realistik dan meyakinkan ramai
penganalisis ekonomi khususnya.
Pun begitu, saya yakin bahawa Wan Azizah sedang mengharap agar
Abdul Hadi dan ahli-ahli parlimen PAS akan setuju dengan usul undi tidak
percaya pada Najib. Tapi apakah harapan Wan Azizah itu akan menjadi
kenyataan?
Sebelum ini, di himpunan Fastaqim di Kota Baharu, Setiausaha PAS
Pusat, Dato’ Takiyuddin Hassan dilapor media pembangkang kononnya akan
setuju mengundi usul tidak percaya pada Najib nanti.
Namun tidak lama kemudian di himpunan yang sama, Abdul Hadi
mengeluarkan pendirian rasmi PAS bahawa usul itu masih lagi belum
diputuskan pihaknya. Maksudnya, secara berhemah beliau memperbetulkan
kenyataan Takiyuddin itu, bukan? Ternyata propaganda media pembangkang
itu tidak benar.
Melihat keadaan itu, saya yakin bahawa PAS akan membuat pendirian
yang sama untuk bersikap berkecuali dalam soal undi tidak percaya
terhadap Perdana Menteri. Malah berdasarkan kecenderungan PAS
akhir-akhir ini, saya tidak terkejut jika ada di kalangan ahli
parlimen PAS yang akan menolak usul bodoh itu.
Harapan saya, Wan Azizah janganlah menaruh mimpi yang indah dalam
usul-usul karut seperti itu. Tidak perlulah membuat arahan pada PAS
untuk berbuat itu dan ini kerana PAS pada pandangan saya bukan lagi
‘keldai tunggangan’ DAP mahupun Anwar.
Justeru itu, berpijaklah pada bumi yang nyata bahawa berkemungkinan
PAS akan kembali pulih. Dari ‘keldai tunggangan’, PAS sedang cuba
menghijrahkan diri kepada ‘keldai’ yang tidak ditunggang oleh sesiapa.
PAS sebenarnya lebih sajak begitu…
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment