Monday, November 02, 2015

Selisih Pendapat Dalam UMNO Adalah Perkara Biasa – Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR : Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, fenomena yang dilihat kononnya sebagai perpecahan dalam parti UMNO sebenarnya adalah perbezaan pendapat antara pemimpin dan ia bukanlah satu perkara baru.

Ujarnya, beliau sudah berada dalam UMNO sejak tiga abad yang lalu dan telah menyaksikan banyak perbezaan pendapat yang berlaku antara pemimpin namun akhirnya semua ahli UMNO akan kembali bersatu dan terus menuju ke hadapan.

Oleh yang demikian, beliau berharap agar ahli baru UMNO jangan gusar apabila melihat terjadinya perselisihan pendapat antara pemimpin.
Raja nongchik-hands
“Dulu Tengku Razaleigh berselisih pendapat dengan Tun Mahathir, Tun Mahathir pula dengan Anwar Ibrahim dan kini Datuk Seri Najib dengan Tan Sri Muhyiddin…. Ini semua perkara biasa cuma beza dahulu dah sekarang ialah adanya media sosial.

“Dulu pucuk pimpinan senang sikit nak kawal keadaan tetapi sekarang bila ada media sosial ia menjadi sedikit sukar. Apapun saya yakin perkara ini tidak akan berlarutan dalam jangka masa panjang dan tidak akan menjejaskan parti.

“Pada akhirnya ahli-ahli akan sedar dan kembali merapatkan barisan. Di peringkat tertinggi bahagian-bahagian kebanyakan sudah sedar dan kerana itulah bersatu hati dalam banyak perkara. Namun ia perlu disampaikan ke peringkat akar umbi,” ujarnya kepada pihak media.

Tambah Nong Chik yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, apabila ternampak seperti ada huru hara dalam parti, sudah pastilah ada sahaja mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ingin mengambarkan bahawa UMNO itu berpecah.

Pada hakikatnya tegas beliau keadaan bukanlah seperti itu. UMNO adalah sebuah parti yang matang dan tahu bagaimana untuk menangani sebarang masalah dalaman.

“Kerana itulah, pada penghujungnya semua permasalahan akan diletakkan ke tepi dan kembali bersatu demi memperkukuhkan parti. Apapun saya berharap perkara-perkara yang memecah-belahkan parti dapat diselesaikan segera dan bermula daripada tahun hadapan kita dapat menumpukan pada kerja-kerja pilihan raya.

“Pada pandangan saya, sesiapa sahaja baik pucuk pimpinan atasan atau bawahan, jika tidak menjurus kepada pilihan raya maka kita perlu ambil tindakan. Bukan soal sokong atau tidak sokong… Tak buat kerja pilihan raya kita ambil tindakan. Ini yang patut dilakukan.

“Baik keluar parti daripada menyusahkan parti… lebih baik ada musuh yang  dikenali daripada kawan yang akan membunuh kita sendiri,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment