Thursday, October 01, 2015

Isu Duta China :Jangan Kita Hilang Maruah Kerana Kepentingan Ekonomi - Khairy

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin tidak mahu kita hilang maruah sampai kena jaga hati tidak boleh tegur negara-negara besar apabila mereka menyalahi norma diplomasi semata-mata kerana kepentingan ekonomi dan sebagainya.

Mengulas isu kenyataan Duta China di Malaysia, Huang Huikang ketika membuat lawatan di Jalan Petaling di Kuala Lumpur Jumaat lepas,beliau tegas berkata " kita kena hantar isyarat kepada negara-negara lain bahawa apa sahaja yang berlaku di Malaysia adalah urusan kita.”

Beliau berkata kenyataan yang dibuat duta itu boleh ditafsirkan sebagai mencampuri urusan negara.

Katanya berdasarkan apa yang dibaca mengenai kenyataan itu, ia disahkan Kedutaan China dan media tidak tersalah lapor mengenainya.

"Walau apapun yang berlaku di Malaysia, kita (kerajaan) yang akan selesaikan dan bukan tempat beliau untuk ambil tindakan dan keluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan mencampuri urusan negara kita," katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Naim Mohamad untuk Sukan Pekak Asia Pasifik ke-8 di Taoyuan, Taiwan, di Putrajaya.

Nyata kecewa dengan kenyataan Huang itu, Khairy berkata terpulanglah kepada Wisma Putra untuk mengambil tindakan."Kita harus memberikan kepercayaan kepada Wisma Putra untuk buat sebarang keputusan sebab mereka yang mengendalikan soal diplomasi. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

Ketua Pembangkang Akui Sudah Muak Dengan 'Pergeseran' Antara DAP-PAS... Padan Muaknya

SHAH ALAM : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui dirinya kini muak dengan 'pergeseran' dalaman yang melanda parti PAS dan DAP.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Wan Azizah yang juga Presiden PKR dilaporkan berkata, kemungkinan konflik dalaman antara dua gabungan Pakatan Rakyat yang terkubur Jun lalu akan menjejaskan sokongan pengundi kepada mereka pada pilihan raya umum akan datang.

"Macam-macam yang timbul dan kadangkala saya rasa seperti mahu mengalah, tetapi apabila fikirkan perjuangan selama 16 tahun, saya teruskan juga," kata Wan Azizah.

Ujar beliau lagi, pergeseran politik itu kian memburuk apabila berlaku perpecahan apabila PAS bertindak keluar daripada PR.

Lebih kritikal apabila PAS enggan untuk menyertai Pakatan Harapan yang dibentuk 22 September lalu yang mengakibatkan tempat parti Islam itu diambil alih Parti Amanah Negara, selain beberapa masalah yang melanda DAP.

Pada masa yang sama, Wan Azizah juga mengingatkan semula semua parti pembangkang bagaimana kerjasama dalam PR sebelum ini berjaya mengubah persepsi penyokong parti terhadap PAS dan DAP.

Katanya, pengundi Cina dahulu mengganggap PAS sebagai ala-Taliban manakala DAP dilihat sebagai komunis oleh ahli PAS.

Namun katanya lagi, sejak 2008 persepsi tersebut berubah apabila bermulanya kerjasama antara DAP, PAS dan PKR sehingga mewujudkan Pakatan Rakyat. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

Bahaya Giler.... Dua Cedera Konkrit Terjatuh Atas Jalan Raya

SERDANG : Dua pemandu cedera selepas kereta yang dipandu mereka tidak sempat mengelak konkrit yang terjatuh di atas jalan raya berhampiran Plaza Tol Serdang.

Dalam kejadian pada jam 6.45 pagi tadi,  dilaporkan beberapa motosikal dan kereta turut rosak selepas satu konkrit pembetungan yang dibawa treler terjatuh di Kilometer 305.4 Leburaya Utara Selatan.

Kejadian itu berlaku dari arah Serdang menghala ke Sungai Besi selepas 800 meter dari Plaza Tol Serdang.

Difahamkan, konkrit yang diletakkan bertindih tersangkut pada laluan bertingkat menyebabkan ia terjatuh. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

Puji Pas Tolak Pakatan Harapan

ALOR SETAR : Pendirian Pas tidak menyertai Pakatan Harapan dipuji kerana berpegang pada prinsip dan perjuangan parti itu, berbanding parti dalam gabungan itu yang dilihat lebih memperjuangkan kepentingan peribadi serta legasi keluarga masing-masing.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tindakan Pas disifatkan bijak dalam mempertahankan kepentingan parti dan ahlinya.

“Saya puji pemimpin Pas dalam hal ini. Ini menunjukkan pihak luar tidak boleh mempermainkan parti itu yang sudah begitu lama bertapak.

"Keputusan  dibuat pemimpin Pas itu membuktikan ketegasan terhadap pendirian mereka, tidak seperti DAP atau PKR,” katanya, pada majlis Korban Perdana anjuran Umno Bahagian Alor Setar bersama syarikat Usima Group, di Taman Wira Mergong, semalam.

Menurutnya, Pakatan Harapan tanpa penglibatan Pas merugikan pakatan baharu itu berikutan Pas sudah lama memperoleh sokongan rakyat mahupun orang Melayu.

“Rakyat negara ini lebih mengenali Pas atau BN (Umno), berbanding arti baharu. Saya percaya pakatan itu tidak mampu bertahan lama tanpa Pas,” katanya.

Ahmad Bashah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, PR sebelum ini dilihat berjaya kerana mendapat sokongan Pas, namun tanpa sokongan parti itu, tidak mustahil pakatan baharu itu ‘longgar’.

“Saya percaya apabila Pas tidak bersama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), pakatan baharu ini tidak mampu bertahan. Pas tetap dengan pendiriannya, jika tak bersetuju dengan perjuangan pakatan, parti itu rela keluar dari pakatan sebab tiada kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas tindak-tanduk PKR dan DAP sebelum ini yang  banyak membuat keputusan berlandaskan kepentingan peribadi, Ahmad Bashah berkata, kedua-dua parti itu sudah lama ‘menggula-gulakan’ Pas.

“Dari awal lagi, PKR dan DAP bertindak demi kepentingan peribadi dan keluarga mereka, bukan kepentingan ramai atau ahli.

"Contohnya, DAP mahu kekalkan legasi keluarga Lim Kit Siang manakala PKR mahu legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berkuasa, yang lain digula-gulakan sahaja,” katanya.

Menurutnya, Amanah pula  sekadar parti serpihan Pas  ditubuhkan atas kepentingan peribadi pemimpin tertentu.

“Pada mulanya memang dapat sambutan, selepas beberapa lama, akan nampaklah bibit-bibit kepentingan individu tertentu dalam parti itu.

"Mereka tubuhkan parti ini pun ada kepentingan sendiri, bukan mahu perjuangkan kepentingan orang Melayu atau Islam,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

PKR Sedia Sertai Himpunan Hijau.... PKR Wayang Belaka Ni

KOTA BHARU : PKR Kelantan bersedia untuk menyertai Himpunan Fastaqim (H60K) atau baju hijau jika matlamat penganjurannya membawa kebaikan kepada semua.

Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat jemputan secara rasmi daripada penganjur perhimpunan.

“Jika tujuan himpunan untuk kebaikan kepada agama dan negara. Insya-ALLAH kita akan menyertainya,” katanya semalam.

Dalam masa sama, Ab Aziz percaya himpunan yang bertemakan hijau itu akan berlangsung  dalam suasana aman dan penuh disiplin.

“Amat tidak patut kiranya ada kumpulan yang akan mengambil kesempatan  untuk menimbulkan provokasi,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

PKR Tersepit Dalam Pakatan Harapan... Mampukah Bertahan ?

Peribahasa Melayu menyatakan 'muafakat membawa berkat, berpecah membawa rebah', yang membawa maksud dalam apa jua keadaan, kejayaan boleh dicapai selagi seluruh anggota bersatu hati dan akan gagal jika bercerai-berai.

Ungkapan peribahasa ini jelas sekali sesuai untuk menggambarkan kemelut semasa yang melanda PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Senario politik tanah air juga membuktikan ungkapan 'berpecah membawa rebah' memang berlaku kepada gabungan pembangkang bermula dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) dan sekarang Pakatan Rakyat (PR) yang terkubur kerana perbalahan sesama sendiri.

Parti-parti serpihan seperti Semangat 46 (S46) yang lahir pada 1988 daripada perpecahan UMNO, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 1983 dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada 1995 kedua-duanya daripada PAS, juga terkubur.

Selain itu, perpecahan PAS juga menghasilkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pada 1977 dan membuat kemunculan kembali pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013.

Kini PAS sekali lagi berpecah dengan munculnya Parti Amanah Negara (Amanah) yang diilhamkan oleh bekas timbalan presidennya Mohamad Sabu dan kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan parti pada Muktamar PAS Jun lalu, dengan menjenamakan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM).

PKR TERSEPIT

Penganalisis politik berpendapat pembentukan 'Pakatan Harapan' gabungan - PKR, DAP, Amanah - yang menggantikan 'Pakatan Rakyat', adalah sesuatu yang diduga memandangkan PAS dan DAP tidak pernah 'sebulu' dalam soal bekerjasama sebelum ini.

Pada 22 Sept, PKR, DAP dan Amanah, yang sedang dalam proses didaftarkan, sepakat menubuhkan sebuah pakatan baharu yang dinamakan Pakatan Harapan, tanpa penyertaan PAS.

Jika dilihat pada sejarah, PAS dan DAP pernah bekerjasama menerusi BA pada 1999 yang turut dianggotai Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum KeADILan dan PRM bergabung membentuk PKR pada 2003.

Lantaran tidak bersetuju dengan dasar PAS memperjuangkan penubuhan negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001. Ini menjadikan hanya PAS dan KeADILan kekal bekerjasama dan memberi tentangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Penganalisis berpendapat bahawa PKR pastinya akan tersepit antara kehendak gabungan baharu dengan semangat setiakawan bersama PAS.

Persoalannya sekarang adalah bagaimanakah PKR hendak 'melayani' PAS memandangkan parti Islam itu tidak lagi mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah?

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berkata walaupun kedudukan PKR dilihat tersepit, namun parti tersebut sebenarnya membuat tindakan yang berani dan agresif.

"Contoh yang jelas ialah mereka menerima kemasukan anggota Parlimen Tumpat dan bekas pimpinan PAS iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar. Jika dilihat daripada sudut kerjasama politik, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

"Selain itu, sokongan yang ditunjukkan oleh pimpinan PKR terhadap Amanah juga seolah-olah membelakangkan PAS," katanya kepada Bernama.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam laman rasmi PAS Selasa lepas dipetik sebagai berkata PKR masih rakan tahaluf (kerjasama) PAS di dalam 'Pakatan Rakyat' sebagaimana ditegaskan pada muktamar lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP mahu pun Amanah.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan pada Ahad dilapor berkata PAS masih lagi mengekalkan kerjasama politiknya dengan PKR kerana perkara itu diputuskan pada muktamar tahunan parti itu Jun lepas.

Mengulas lanjut, Che Hamdan berkata PKR telah memberikan isyarat yang jelas bahawa mereka sangat memerlukan PAS tetapi pada masa sama memerlukan pakatan pembangkang yang pelbagai.

"Ini kerana sekiranya PR berpecah secara total, maka semua impian mereka musnah," katanya.

MAMPUKAH BERTAHAN SEBAGAI GABUNGAN

Penganalisis politik juga sebelum ini pernah menjangkakan bahawa PR akan menerima nasib yang sama sepertimana yang pernah berlaku dalam BA dan APU.

Mampukah pakatan baharu yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah bertahan dalam arena politik tanah air?

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata seperti PR, pakatan baharu itu juga dilihat longgar jika tidak distruktur dengan betul sepertimana dilaksanakan BN.

"Jangkaan saya, jika tidak distrukturkan dengan betul, Pakatan Harapan akan terdedah kepada pembubaran dengan mudah. Jadi PKR perlu menyatakan pendiriannya sama ada memutuskan hubungan dengan PAS atau membiarkan PAS bersendirian," katanya kepada Bernama.

Che Hamdan berpendapat jawapan bagi persoalan sama ada PR sudah tidak wujud, sebenarnya boleh dikatakan sebagai di awang-awangan.

"Melihat sudut pandangan DAP dan Amanah, seolah-olah mengambarkan PR sudah tidak wujud, sebaliknya bagi PAS, pakatan itu masih wujud dan Kerajaan Negeri Selangor sering diambil sebagai contoh kewujudan PR.

"Cuma dalam konteks pada hari ini, setelah berlangsung sidang meja bulat, pimpinan pembangkang berusaha untuk memulihkan persepsi masyarakat dengan menubuhkan Pakatan Harapan bagi membolehkan DAP dan Amanah duduk bersama dengan PKR.

"Selain itu harus diingat, ia juga mengulangi sejarah kewujudan dua pakatan pembangkang seperti yang berlaku semasa era APU dan Gagasan rakyat," katanya.

AMANAH BERJAYA PECAHKAN PAS

Che Hamdan berkata apa yang jelas pada hari ini ialah Amanah di bawah pimpinan Mohamad Sabu berjaya memecahkan PAS daripada segi sokongan, kepimpinan dan juga moral.

"Ini menimbulkan suasana panik dalam PAS. Natijahnya mereka berusaha untuk menggambarkan bahawa keahlian sentiasa bertambah dan beberapa program besar dianjurkan seperti HARAP yang berlangsung di Dungun baru-baru ini.

"Ia satu reaksi terhadap ancaman Amanah," katanya.

Pun begitu, sebenarnya masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana kemampuan peranan yang bakal dimainkan oleh Amanah bagi menggantikan PAS.

Keretakan PR bermula apabila DAP memutuskan hubungan dengan PAS di Sabah dan Sarawak ekoran isu hudud dan kemudiannya memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kekal bekerjasama dengan PAS.

PAS kemudian menerusi satu usul tergempar Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi kekal bersama pakatan pembangkang. Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas pada muktamar tahunan PAS ke-61 pada awal Jun lepas.

Rentetan itu, pada 16 Jun Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng mengisytiharkan bahawa PR tidak lagi wujud. Guan Eng berkata keputusan muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.

Terpaksa menelan pahit keputusan rakan sekutunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 17 Jun mengakui PR tidak lagi berfungsi secara formal. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

Mufti Perak Dedah Perjanjian Cina Dan India Di Tanah Melayu!!!

Kita terlalu berlembut dan bertolak ansur. Mungkin itulah realiti bangsa Melayu yang mudah bersimpati dan tunduk dengan rayuan seperti mana yang didedahkan oleh Mufti Perak kali ini. Pemansuhan sekolah vernakular dilihat mampu mengurangkan masalah perbalahan kaum yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

Pendapat tersebut disuarakan oleh Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan cadangan tersebut telah dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri Kabinet yang lain.

Begitu pun, katanya, disebabkan kaum lain minta supaya perkara itu ditangguhkan, maka sehingga kini sekolah-sekolah tersebut masih beroperasi.

“Yang jadi masalah, saya dah tegur daripada dulu, saya dah jumpa perdana menteri dan saya dah jumpa menteri semua. Saya kata, masa kemerdekaan dulu, perjanjiannya sekolah hanya satu iaitu sekolah kebangsaan.

“Sekolah Cina akan ditutup dalam masa enam bulan, sekolah India juga akan ditutup dalam masa enam bulan. Semua bersetuju pada masa itu. Tetapi oleh kerana Cina minta tangguh, kita pun kata ya, ya, ya sampai sekarang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Semula Surau dan Rumah Suluk, Kampung Temong Hilir, Chenderoh, semalam.

Harussani berkata, sekiranya hanya ada satu sekolah, masyarakat bukan Melayu di Malaysia akan menjadi seperti masyarakat di Indonesia dan Thailand yang bertutur menggunakan bahasa kebangsaan.

Mengambil contoh senario berlaku di Singapura, pembubaran sekolah Melayu dan Cina menyebabkan peradaban rakyat di sana lebih baik berbanding rakyat di negara ini.

“Di Singapura hanya ada satu sekolah iaitu sekolah Inggeris. Sekarang mereka sudah tiada beza, fikiran mereka juga sama, sebab itu ada hormat-menghormati.

“Cuma di sana, nampak Melayu diketepikan apabila mereka meminta kerja. Biasanya mereka memilih orang yang berkelulusan lebih tinggi dan lazimnya memang Cina yang lebih tinggi akademiknya.

“Peradaban dan akhlak di sana cukup terpelihara tapi kita di sini ada apa? Bila guru nak ajar sikit, ibu bapa marah. Ini semua salah kita kerana peraturan kita tidak betul,” katanya.

Dalam pada itu, Harussani juga mempersoalkan tindakan pemimpin kerajaan yang seakan-akan memberi muka kepada bangsa lain untuk memerintah.

“Saya tanya kepada Najib, kalau sudah Cina dan India tidak mahu kerjasama dengan kita, kenapa kita pujuk? Dia (Najib) kata kita takut kalah. Sekarang pun kita kalah dah.

“Kenapa mesti nak lantik menteri Cina? Tak perlu ada menteri Cina, biar Melayu memerintah, kita tunjuklah,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

Kerajaan Dalang Baju Merah, Kata Tun M... Habis BERSIH Siapa Yang Taja....?

MELAKA : Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan adalah dalang di sebalik himpunan baju merah yang berlangsung pada 16 September lalu.
Beliau berkata, sebahagian besar peserta perhimpunan tersebut terdiri daripada ahli Umno dan masyarakat Felda yang diberikan kemudahan pengangkutan serta wang saku untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Kebanyakan peserta yang hadir ke perhimpunan tersebut datang dari Felda menggunakan bas kerajaan dan mereka diberi duit dan makanan. Jadi ia seolah-olah kerajaanlah di belakang perhimpunan itu.

“Hanya orang di dalam kerajaan yang boleh membenar dan menggunakan kemudahan tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Human Rights Public Forum sempena United Nation’s International Day of Peace 2015 yang
dianjurkan Mallaca Bar di sini, semalam.

Sementara itu, Mahathir berkata, sentimen perkauman tidak dibangkitkan dalam perhimpunan Bersih 4.0 yang disertainya sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau melihat isu tersebut sengaja diwujudkan sendiri oleh kerajaan melalui himpunan baju merah.

“Saya berada di perhimpunan baju kuning itu tetapi mereka tak berkata apa-apa tentang perkauman. Mereka hanya mahukan Perdana Menteri berundur. Itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, situasi negara dalam pelbagai aspek hanya akan pulih selepas siasatan terhadap 1MDB selesai.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

Khairuddin Cabar Penahanan Di Bawah SOSMA

KUALA LUMPUR : Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan writ habeas corpus untuk mencabar penahanannya di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bertarikh 24 September yang dikeluarkan terhadapnya adalah batal dan tidak sah.

Khairuddin memfailkan writ tersebut di Penjabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Law Practice of Rafique pada Isnin.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

Khalid Jangka PAS Sertai Pakatan Baru Dalam Enam Bulan... Penuh Pelawak Betul?

SHAH ALAM : Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad menggambarkan kemungkinan PAS akan menyertai Pakatan Harapan dalam masa enam bulan lagi.

Katanya, minat untuk PAS menyertai gabungan berkenaan akan bergantung kepada perkembangan semasa pakatan baru pembangkang itu.

"Kalau kita dapat mewujudkan satu Pakatan Harapan yang baik, lepas tiga hingga enam bulan mungkin PAS akan memikirkan kembali pendiriannya.

“Ini banyak bergantung kepada apa yang kita lakukan walaupun mungkin kita mula dalam keadaan begitu tidak semestinya ianya berterusan begitu.”

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut berkata beliau yakin gabungan baru itu mampu untuk meyakinkan PAS bagi menyertai gabungan tersebut berdasarkan kepada prestasinya pada masa akan datang.

"Saya beri sebagai contoh (jangka waktu PAS sertai Pakatan Harapan) maknanya saya beri had dan waktu. Tetapi maksud saya mungkin sekarang ini dia (PAS) tidak setuju untuk masuk (Pakatan Harapan) tetapi kalau dia nampak pakatan ini bergerak dengan baik mungkin dia akhirnya akan masuk dalam masa enam bulan, mungkin sampai setahun? Kita tengok nanti.”

Malah katanya, pintu Pakatan Harapan sentiasa terbuka untuk menerima PAS pada bila-bila masa.

"Peluang untuk PAS menyertai (Pakatan Harapan) sentiasa terbuka", katanya.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada sidang meja bulat Selasa lalu memberitahu masih menaruh harapan untuk PAS bekerjasama dalam Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan parti yang dalam proses didaftarkan, Amanah.

Pada hari sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang baru dilancarkan dan pada masa sama tidak sesekali akan bekerjasama dengan DAP.

"Pihak penganjur (PKR) telah memanggil (sidang meja bulat) PAS tapi ditolak, kita tidak boleh tunggu (untuk PAS sertai Pakatan Harapan), Tanpa wujudnya pakatan sebagai satu gabungan maka penyelarasan itu diantara parti-parti pembangkang tidak dapat dilakukan dan itu merupakan satu suasana yang merugikan kita, lagi cepat ianya diatasi adalah lebih baik," ujar Khalid.

Mengulas mengenai kenyataan penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof, yang menjangkakan bahawa Pakatan Harapan akan kehilangan undi kaum Melayu, katannya perkara itu tidak boleh dinafikan kerana gabungan berkenaan baru sahaja ditubuhkan.

"Mungkin tahap pemulaan (Amanah) nampak begitu (tidak diterima) tapi saya rasakan bahawa akhirnya Amanah akan diterima oleh masyarakat Melayu dan di kawasan yang mana kita bertanding tidak ada tiga penjuru kita boleh dapat (kekalkan kerusi). Kalau ada tiga penjuru pun kita (yakin) akan dapat sebahagian (kerusi bekas Ahli PAS) tapi bukan kesemuanya."

"Mungkin kita tidak dapat semua undi Melayu yang pergi kepada PAS, tetapi saya yakin bahawa kita boleh dapat sebahagian besar daripada undi Melayu itu," katanya.

Agus hari ini berkata kumpulan Melayu konservatif akan menolak Pakatan Harapan dek kerana ketiadaan PAS dalam gabungan berkenaan.

Kehadiran Amanah yang diilhamkan oleh serpihan PAS juga dilihat gagal untuk menarik golongan Melayu konservatif yang selesa dengan PAS.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN