Thursday, October 01, 2015
PKR Tersepit Dalam Pakatan Harapan... Mampukah Bertahan ?
Peribahasa Melayu menyatakan 'muafakat membawa berkat, berpecah membawa
rebah', yang membawa maksud dalam apa jua keadaan, kejayaan boleh
dicapai selagi seluruh anggota bersatu hati dan akan gagal jika
bercerai-berai.
Ungkapan peribahasa ini jelas sekali sesuai untuk menggambarkan kemelut
semasa yang melanda PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Senario politik tanah air juga membuktikan ungkapan 'berpecah membawa
rebah' memang berlaku kepada gabungan pembangkang bermula dengan
Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) dan sekarang
Pakatan Rakyat (PR) yang terkubur kerana perbalahan sesama sendiri.
Parti-parti serpihan seperti Semangat 46 (S46) yang lahir pada 1988
daripada perpecahan UMNO, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada
1983 dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada 1995 kedua-duanya
daripada PAS, juga terkubur.
Selain itu, perpecahan PAS juga menghasilkan Barisan Jemaah Islamiah
Se-Malaysia (Berjasa) pada 1977 dan membuat kemunculan kembali pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013.
Kini PAS sekali lagi berpecah dengan munculnya Parti Amanah Negara
(Amanah) yang diilhamkan oleh bekas timbalan presidennya Mohamad Sabu
dan kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan parti pada Muktamar
PAS Jun lalu, dengan menjenamakan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia
(PPM).
PKR TERSEPIT
Penganalisis politik berpendapat pembentukan 'Pakatan Harapan' gabungan -
PKR, DAP, Amanah - yang menggantikan 'Pakatan Rakyat', adalah sesuatu
yang diduga memandangkan PAS dan DAP tidak pernah 'sebulu' dalam soal
bekerjasama sebelum ini.
Pada 22 Sept, PKR, DAP dan Amanah, yang sedang dalam proses didaftarkan,
sepakat menubuhkan sebuah pakatan baharu yang dinamakan Pakatan
Harapan, tanpa penyertaan PAS.
Jika dilihat pada sejarah, PAS dan DAP pernah bekerjasama menerusi BA
pada 1999 yang turut dianggotai Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan
Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum KeADILan dan PRM bergabung
membentuk PKR pada 2003.
Lantaran tidak bersetuju dengan dasar PAS memperjuangkan penubuhan
negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001. Ini menjadikan hanya PAS
dan KeADILan kekal bekerjasama dan memberi tentangan kepada Barisan
Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2004 dan 2008.
Penganalisis berpendapat bahawa PKR pastinya akan tersepit antara
kehendak gabungan baharu dengan semangat setiakawan bersama PAS.
Persoalannya sekarang adalah bagaimanakah PKR hendak 'melayani' PAS
memandangkan parti Islam itu tidak lagi mahu bekerjasama dengan DAP dan
Amanah?
Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus
Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berkata walaupun kedudukan
PKR dilihat tersepit, namun parti tersebut sebenarnya membuat tindakan
yang berani dan agresif.
"Contoh yang jelas ialah mereka menerima kemasukan anggota Parlimen
Tumpat dan bekas pimpinan PAS iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar. Jika
dilihat daripada sudut kerjasama politik, perkara sebegini tidak
sepatutnya berlaku.
"Selain itu, sokongan yang ditunjukkan oleh pimpinan PKR terhadap Amanah
juga seolah-olah membelakangkan PAS," katanya kepada Bernama.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam laman rasmi PAS
Selasa lepas dipetik sebagai berkata PKR masih rakan tahaluf (kerjasama)
PAS di dalam 'Pakatan Rakyat' sebagaimana ditegaskan pada muktamar
lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP mahu pun Amanah.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan pada Ahad dilapor berkata
PAS masih lagi mengekalkan kerjasama politiknya dengan PKR kerana
perkara itu diputuskan pada muktamar tahunan parti itu Jun lepas.
Mengulas lanjut, Che Hamdan berkata PKR telah memberikan isyarat yang
jelas bahawa mereka sangat memerlukan PAS tetapi pada masa sama
memerlukan pakatan pembangkang yang pelbagai.
"Ini kerana sekiranya PR berpecah secara total, maka semua impian mereka musnah," katanya.
MAMPUKAH BERTAHAN SEBAGAI GABUNGAN
Penganalisis politik juga sebelum ini pernah menjangkakan bahawa PR akan
menerima nasib yang sama sepertimana yang pernah berlaku dalam BA dan
APU.
Mampukah pakatan baharu yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah bertahan dalam arena politik tanah air?
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan
Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata seperti PR, pakatan
baharu itu juga dilihat longgar jika tidak distruktur dengan betul
sepertimana dilaksanakan BN.
"Jangkaan saya, jika tidak distrukturkan dengan betul, Pakatan Harapan
akan terdedah kepada pembubaran dengan mudah. Jadi PKR perlu menyatakan
pendiriannya sama ada memutuskan hubungan dengan PAS atau membiarkan PAS
bersendirian," katanya kepada Bernama.
Che Hamdan berpendapat jawapan bagi persoalan sama ada PR sudah tidak
wujud, sebenarnya boleh dikatakan sebagai di awang-awangan.
"Melihat sudut pandangan DAP dan Amanah, seolah-olah mengambarkan PR
sudah tidak wujud, sebaliknya bagi PAS, pakatan itu masih wujud dan
Kerajaan Negeri Selangor sering diambil sebagai contoh kewujudan PR.
"Cuma dalam konteks pada hari ini, setelah berlangsung sidang meja
bulat, pimpinan pembangkang berusaha untuk memulihkan persepsi
masyarakat dengan menubuhkan Pakatan Harapan bagi membolehkan DAP dan
Amanah duduk bersama dengan PKR.
"Selain itu harus diingat, ia juga mengulangi sejarah kewujudan dua
pakatan pembangkang seperti yang berlaku semasa era APU dan Gagasan
rakyat," katanya.
AMANAH BERJAYA PECAHKAN PAS
Che Hamdan berkata apa yang jelas pada hari ini ialah Amanah di bawah
pimpinan Mohamad Sabu berjaya memecahkan PAS daripada segi sokongan,
kepimpinan dan juga moral.
"Ini menimbulkan suasana panik dalam PAS. Natijahnya mereka berusaha
untuk menggambarkan bahawa keahlian sentiasa bertambah dan beberapa
program besar dianjurkan seperti HARAP yang berlangsung di Dungun
baru-baru ini.
"Ia satu reaksi terhadap ancaman Amanah," katanya.
Pun begitu, sebenarnya masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana
kemampuan peranan yang bakal dimainkan oleh Amanah bagi menggantikan
PAS.
Keretakan PR bermula apabila DAP memutuskan hubungan dengan PAS di Sabah
dan Sarawak ekoran isu hudud dan kemudiannya memutuskan hubungan dengan
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kekal bekerjasama
dengan PAS.
PAS kemudian menerusi satu usul tergempar Dewan Ulama sebulat suara
meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi kekal bersama
pakatan pembangkang. Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas pada
muktamar tahunan PAS ke-61 pada awal Jun lepas.
Rentetan itu, pada 16 Jun Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng
mengisytiharkan bahawa PR tidak lagi wujud. Guan Eng berkata keputusan
muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh'
pakatan itu.
Terpaksa menelan pahit keputusan rakan sekutunya, Presiden PKR Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 17 Jun mengakui PR tidak lagi
berfungsi secara formal.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment