Thursday, October 29, 2015

Ambil Tindakan Terhadap Muhyiddin Kata MB Terengganu

MB Terengganu
KUALA LUMPUR : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menggesa Umno agar mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan parti.

Razif ketika menjawab soalan yang dibangkitkan SuaraTV sebentar tadi menyifatkan tindakan itu adalah perkara biasa kerana ia selari dengan peraturan yang terkandung dalam perlembagaan parti.


“Bagi saya orang (ahli) Umno yang melakukan kesalahan dan mengikut pada peraturan sepatutnya diambil tindakan.

“Ia perkara biasa, sama ada gantung, pecat atau sebagainya kerana ia merupakan peraturan dalam Umno” ujarnya ketika sidang media sejurus selepas mengadakan lawatan di tapak program Pesona Terengganu yang diadakan di Dataran Merdeka petang tadi.

Razif turut menafikan wujudnya sebarang komplot untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya kebanyakan ketua Umno bahagian melahirkan rasa dukacita terhadap sikap yang ditunjukkan bekas timbalan perdana menteri itu.

“Ini persepsi sahaja, apa-apa tindakan yang perlu dilaksanakan mesti berasas kepada peraturan (parti).

“Jadi saya tak nampak kononnya wujud satu gerakan dan sebagainya” ujarnya lagi.

Terdahulu sebuah akhbar harian melaporkan terdapat 140 bahagian Umno menyokong agar Muhyiddin dipecat sikap yang ditunjukkan oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

Sementara itu Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, kenyataan Muhyiddin sebelum ini untuk mempertahankan Umno tidak selari dengan tindakannya yang cuba memburukkan Umno selepas mesyuarat Majlis Tertinggi.

Menurutnya, tindakan itu membuatkan ramai ketua bahagian bosan dengan sandiwara yang sengaja dimainkan Muhyiddin.

“Situasi sekarang ini terlalu banyak cerita buruk yang diperkatakan mengenai parti.

“Ini memberikan gambaran tidak baik kepada pemimpin dan ahli di peringkat bawahan. Beliau adalah pemimpin tertinggi dan seharusnya menunjukkan kesetiaan terhadap parti dan juga Presiden,” katanya.

Abdul Manan berkata, Muhyiddin ibarat cuba menagih simpati dan menganggap dirinya dianiaya oleh orang-orang yang tidak menyokongnya.

“Kalau nak jadi pemimpin, kita kena telus, jujur dan ikhlas. Bukan di depan lain, di belakang lain,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan mengenai gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin adalah tidak benar kerana semua bijak menilai untuk memilih pemimpin.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment