Wednesday, October 28, 2015
Mahathir Mengecewakan Pakatan Harapan... Mungkin Dekat PRU Akan Dilakukannya... Percayalah Nanti?
Kelmarin, heboh diperkatakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamed dikhabarkan
akan meninggalkan UMNO untuk sekian kalinya setelah kali terakhir beliau
berbuat demikian pada tahun 2007. Beliau dikhabarkan akan membuat
pengumuman lewat petang semalam namun secara tiba-tiba beliau mengubah
pendirian beliau.
Berita ini nyata mengecewakan hampir semua pemimpin Pakatan Harapan yang
menunggu pengumuman rasmi beliau kelmarin. Di percayai, beliau mengubah
pendirian beliau di saat-saat akhir berikutan terdapat desakan dari
kalangan penyokong beliau sendiri yang mahu beliau kekal di dalam UMNO
demi menjaga maruah beliau selaku bekas Presiden UMNO.
Beliau juga dilaporkan agak terkejut dengan pendirian bekas Perdana
Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat memberi
sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
selaku Perdana Menteri.
Apa yang pasti, menurut sumber dalaman Parti Amanah Negara (PAN), mereka
dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan agak kecewa dengan keputusan Tun
M kelmarin disaat hampir semua pemimpin parti pakatan pembangkang ini
menunggu dengan penuh debar pengumuman yag bakal dilakukan oleh Tun M
ini.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan hari ini dilaporkan
sekali lagi cuba memujuk Tun M supaya meninggalkan UMNO untuk menyertai
perjuangan Pakatan. Menurut sumber ini lagi, andai Tun M bersetuju untuk
menyertai Pakatan, pastinya akan lebih ramai pemimpin UMNO seperti Tan
Sri Muhyiddin, Datuk Seri Shafie dan Ku Li juga akan menuruti jejak
langkah Tun M.
Tambah sumber ini lagi, ini pastinya memberi kekuatan tambahan kepada
Pakatan dalam merencana strategi ampuh bagi menumbangkan Datuk Seri Mohd
Najib. Apa yang menarik untuk disaksikan, adakah usaha ini akan berjaya
dan Tun M akhirnya meninggalkan UMNO demi hipokrasi kuasa?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment