Wednesday, October 28, 2015

Elak Burukkan Keadaan Di Laut China Selatan

Malaysia amat berharap semua pihak terlibat supaya sentiasa menahan diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya bagi mengelakkan ‘bencana’ lebih teruk melibatkan kuasa-kuasa besar dunia ekoran keadaan yang kian tegang di Laut China Selatan.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiYJ9TDfnuTht5c_UU5GC3rtmxQ0ruUCIUoXVgFfnRgN6YHmjwhmY6A4wYDQYwT8E1WGHLEXeUCkj3D_Ika3lqVeLiiNLmerfc0T_bTuB4WnuDTGWHU2pBIKpMIAesZx9egRgqKAqnMVgc/s1600/South-China-Sea.jpg
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu jika tidak dibendung akan membawa kepada situasi tidak terkawal yang tidak hanya memberi kesan negatif kepada rantau ini, malah seluruh dunia.
http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/HISHAMMUDDIN_HUSSEIN_UPNM_SG_BESI_29092015_TMIKAMAL_ARIFFIN_02.jpg
“Semua orang tahu situasi di Laut China Selatan cukup kompleks dan sensitif. Oleh itu kita tidak mahu berlakunya perkara sama ada disengajakan atau tidak yang boleh menjadikan situasi tidak terkawal.

“Kadang-kala, negara-negara kecil seperti anggota ASEAN tidak mampu mempengaruhi tindak-tanduk kuasa-kuasa besar dunia walaupun konflik berlaku di rantau kita. Jadi kita amat berharap agar situasi kompleks ini dapat difahami dan dihadam sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan dan Mengenang Jasa Wira-Wira Pertempuran Bakara Market-Somalia anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Berita Harian di Kem Lapangan Terbang di sini hari ini.

Keadaan di wilayah pertikaian Laut China Selatan dilihat kian keruh baru-baru ini apabila Amerika Syarikat (AS) mengerahkan penempatan kapal pemusnah, USS Lassen untuk berlabuh kira-kira 22 kilometer (km) dari pulau buatan China, Terumbu Subi yang terletak dalam kawasan Kepulauan Spratly iaitu kawasan rebutan beberapa negara termasuk Malaysia, Filipina, Taiwan, Brunei dan Vietnam.

Tindakan itu sekali gus menunjukkan AS tidak mengiktiraf kawasan berkenaan sebagai wilayah China menyebabkan Beijing menyifatkan penempatan USS Lassen tersebut sebagai sesuatu yang menyalahi undang-undang, berbahaya dan provokatif sekali gus menentang keras kehadiran kapal perang berkenaan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pendirian menteri-menteri pertahanan ASEAN berhubung perkara itu akan disampaikan kepada umum menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Plus yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2 hingga l5 November ini.

“Minggu depan saya akan mempengerusikan ASEAN Informal melibatkan 10 negara ASEAN dan ini antara perkara yang akan dibincangkan. Saya yakin, kita mempunyai keunikan dan kelebihan yang diwarisi daripada pemimpin ASEAN terdahulu bagi membincangkan perkara ini dengan baik.

“Selepas itu akan ada pula ADMM-Plus yang turut disertai Setiausaha Pertahanan AS, Dr. Ash Carter dan Menteri Pertahanan China, Jeneral Chang Wanquan selain menteri pertahanan negara-negara lain termasuk Rusia dan Jepun. Di situ, pendirian kesemua 10 menteri pertahanan negara ASEAN berhubung isu terbabit akan disampaikan,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia sentiasa memantau isu berkenaan dan mengikuti setiap apa yang berlaku di Laut China Selatan.

Katanya, setiap isu berbangkit akan dibincangkan menerusi beberapa lagi forum melibatkan kementerian berkaitan di peringkat ASEAN.

Sementara itu, katanya, penanaman semangat patriotisme, kesukarelawanan dan disiplin akan menjadi penekanan dalam transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 yang dijangka dilaksanakan pada Januari depan.

“Jasa-jasa serta semangat keperwiraan anggota kita yang bertarung nyawa seperti di Pasar Bakara 22 tahun lalu akan dijadikan sandaran dalam membina semangat generasi muda.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment