Thursday, October 29, 2015
Haram Penggunaan Vape: Adakah Satu Kewajaran?
Kenyataan dari
Menteri Kesihatan bahawa kerajaan sedang mengkaji pengharaman “vape”
telah mengundang pelbagai reaksi dari pengguna laman sosial samada
menyokong saranan tersebut, atau tidak menyokong atas alasan pelbagai.
Setuju atau tidak, masing-masing mempunyai hujah.
Pengalaman penulis, e-cigarettes ini mula
menjadi perhatian ramai sekitar tahun 2010 apabila wujudnya kiosk-kioks
di hypermarket-hypermarket dengan konsep “nicotine replacement
theraphy”.
Umum sedar, kandungan nikotin inilah yang menyebabkan
ketagihan rokok, sementara kimia tar itulah yang membawa kemudaratan.
Perkara ini telah disahkan oleh Prof
Datuk Dr. Abdul Razak Mutallif, seorang pakar perunding Respiratori
Hospital Besar Kuala Lumpur.
Sementara itu, Prof. Madya Dr Mohamad
Haniki Nik Mohamed, Pengetua Akademi Farmasi Malaysia menjelaskan,
secara amnya bilangan dan kuantiti bahan kimia berbahaya yang terdapat
dalam wap rokok elektronik adalah jauh lebih rendah berbanding asap
rokok yang mengandungi sekurang-kurangnya 4000 bahan kimia berbahaya
termasuk penyebab kanser.
Pengarah Unit Kajian Kebergantungan
Tembakau, Barts and The London School of Medicine and Dentistry, Prof.
Peter Hajek dipetik sebagai berkata, vapers (penggemar vape) tidak
terdedah kepada tahap formaldehid yang membahayakan. Berdasarkan
bukti-bukti didedahkan, beliau mendapati vape sekurang-kurangnya 95%
lebih selamat daripada amalam merokok. Malah, beliau menyarankan agar
perokok perlu digalakkan untuk beralih kepada vape.
Jika “apple-to-apple comparison” dibuat
ke atas rokok dan vape, penulis pasti rokok akan membawa kemudharatan
yang lebih berbanding rokok samada kepada empunya diri, atau masyarakat
sekelilingnya. Yang menjadi persoalan kepada penggemar vape, mengapa
vape perlu diharamkan, sementara rokok pula dibenarkan jualannya?
Untuk kerajaan dilihat adil dan logik,
penulis sangat bersetuju dengan saranan seorang sahabat, agar kerajaan
mengistiharkan vape sebagai sebahagian daripada rokok dan termaktub
kepada peraturan-peraturan merokok. Bukan sahaja soal kutipan cukai,
kerajaan juga boleh memasukkan nilai tambah tahap keselamatan “mode
vape” dengan mewajibkan pensijilan SIRIM ke atas alatan tersebut,
sementara “liquid flavor” diserahkan kepada pihak-pihak yang berwajib
dalam soal keselamatan dan kandungannya. Malah, peraturan-peraturan baru
berhubung vape seperti yang dikuatkuasakan di lapangan terbang juga
merupakan satu perkembangan yang baik.
Soal amalan vaping ini menjimatkan, ia
sebenarnya bergantung kepada si pengguna. Jika vape ini dijadikan
alternatif kepada rokok dan bukannya kos gaya hidup, maka sudah tentu ia
akan memberi penjimatan terutamanya kepada pentegar-pentegar rokok
mahal seperti Dunhill. Ini juga berdasarkan kira-kira yang penulis minta
rakan vaper congakkan.
Penulis juga telah melihat di depan mata,
bagaimana seorang rakan perokok tegar, dengan minima 2 kotak rokok
Dunhill sehari, beralih kepada vape sekitar 6 bulan, dan kini sudah
hampir 3 bulan bebas dari ketagihan rokok dan juga vape. Mungkin ia
adalah sebahagian dari kejayaan, dari sejumlah kegagalan vape sebagai
alternatif kepada rokok. Ia tetap punya kejayaan.
Melihat pelbagai respons di media sosial,
penulis kadang-kadang hanya mampu tersenyum melihat karenah rakyat
Malaysia terutamanya perokok yang bermati-matian memburuk-burukkan
betapa vape ini berbahaya dan sebagainya. Ia tidak ubah seperti watak
ahli politik yang memburuk-burukkan 1MBD kononnya dibebani hutang
seolah-olah akan muflis, tanpa mendedahkan fakta nilai keseluruhan aset
1MDB itu sendiri. Antara vape dan rokok, anda baca dan kajilah sendiri
“pro and cons”. Jangan melulu.
Jika gambar-gambar wanita sedang “vaping”
dijadikan ukuran keburukan vape, penulis faham kebimbangan tersebut
kerana mereka terbuai dek trend semasa. Namun, apakah perlu penulis
mengajar bagaimana untuk “google” gambar-gambar wanita sedang merokok?
Bagaimana untuk perokok-anti-vaper memberi justifikasi foto-foto
tersebut?
Akhirnya, ia kembali kepada kepentingan
umum; terutamanya kepada mereka yang tidak merokok, dan juga tidak
“vaping”. Bak kata sahabat, “Vape ini adalah sebahagian sisi buruk manusia seperti mana merokok, mencerut dan minum arak”
Maka ketahuilah fatwa yang telah dikeluarkan berhubung rokok dan vape.
Sekali lagi, penulis menyokong
saranan agar kerajaan mengistiharkan vape sebagai sebahagian daripada
rokok dan termaktub kepada peraturan-peraturan merokok. Ini lebih baik
dari mengharamkannya dengan meletakkan rokok sebagai tanda aras.
Atau, haramkan terus kedua-duanya!
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment