Thursday, October 29, 2015
Pembangkang Ditempelak Desak PM Letak Jawatan
KUALA LUMPUR : Tindakan pembangkang yang sering kali mendesak supaya
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan membangkitkan
rasa tidak puas hati seorang penyokong kerajaan di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang membidas sikap pembangkang
itu mengingatkan rakyat negara ini supaya menjadikan apa yang berlaku
di negara Timur Tengah sebagai iktibar.
"Di negara Timur Tengah keadaan menjadi huru-hara hanya semata-mata
mereka mendesak pemimpinnya meletak jawatan," katanya ketika membahaskan
Bajet 2016 di Dewan Rakyat, di sini, Rabu.
Katanya keterujaan pembangkang yang berterusan membangkitkan isu
1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula seolah-olah mempertikaikan
kreadibiliti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut
dianggotai wakil pembangkang.
"Tadi saya dengar diungkit lagi, apakah kita tidak percaya kepada PAC
yang terdiri daripada pembangkang juga. Apakah kita tidak percaya kepada
ketua audit kita?," soalnya yang mengakui bersetuju isu 1MDB
diselesaikan segera.
Hujah Noh semakin berapi apabila Tian Chua (PKR-Batu) bangkit mencelah
dan menyifatkan Barisan Nasional (BN) yang sering mendesak menukar
pemimpin.
Noh sebaliknya memulangkan paku buah keras, dengan membangkitkan
kepincangan kepimpinan PKR di Selangor yang disifatkan mengamalkan
dwistandard apabila tidak mengambil tindakan terhadap Menteri Besar
Selangor Mohamed Azmin Ali yang didakwa meluluskan tiga projek lebuh
raya di negeri itu tanpa memaklumkan kepada parti.
Sedangkan katanya, bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
dipecat kerana didakwa membuat perjanjian air tanpa merujuk kepada
parti.
"Jika Bandar Tun Razak (Khalid) dahulu kena pecat sebab dikatakan
membuat perjanjian air tanpa merujuk kepada parti, oleh itu dalam isu
projek lebuh raya ini Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin) pun kena
dipecat juga," katanya.
Noh menyifatkan Abdul Khalid seorang ahli politik yang bijak sehingga
berjaya membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang dengan merampas
negeri Selangor daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2008,
namun dipaksa meletak jawatan tahun lepas hanya kerana tidak akur dengan
kehendak parti.
"Oleh itu sekiranya Azmin tidak dipecat ini jelas menunjukkan PKR mengamalkan dwistandard," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment