Wednesday, October 28, 2015

Kerjasama BN-PAS Mantapkan Agenda Pembangunan Dan Kemajuan Rakyat

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/05/Najib-Hadi.jpg
KUALA LUMPUR : Beberapa anggota parlimen Barisan Nasional (BN) menyifatkan kesediaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bekerjasama dengan kerajaan BN adalah tindakan proaktif dan harus dipuji demi kepentingan rakyat.

Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata pelbagai agenda pembangunan dan kemajuan untuk kehidupan rakyat boleh dimantapkan sekiranya PAS serius dengan pendirian kerjasama itu.

“BN terima sesiapa mahu kerjasama kerana sebelum ini pun mana-mana negeri yang tidak diperintah Kerajaan Pusat sentiasa membuka pintu kepada sebarang bentuk kerjasama.

“Kita yakin PAS parti yang mempunyai akar umbi kukuh tidak seperti parti pembangkang lain yang wujud hanya atas keperluan tertentu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menyatakan kesediaan parti itu untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk BN dalam perkara-perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula berkata PAS dan BN sepatutnya bekerjasama sejak sekian lama, mengambil kira faktor usia dan kestabilan kedua-dua parti politik itu.

Beliau berpendapat, langkah perpaduan antara kedua-dua parti itu perlu dibentuk meskipun berbeza fahaman politik demi kesejahteraan masyarakat Melayu dan Islam.

“Perpaduan orang Melayu membolehkan kita menggerakkan banyak lagi agenda berkaitan agama dan bangsa secara bersama.

“Kita berharap kenyataan Abdul Hadi itu diterjemah dalam bentuk tindakan dan disambut pemimpin lain di semua peringkat parti itu termasuk akar umbi,” katanya.

Turut senada, Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang berkata pendirian disuarakan presiden PAS itu adalah tepat atas faktor kepentingan kesejahteraan rakyat pelbagai latar belakang di negara ini.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment