Wednesday, October 28, 2015
Buktikan Bajet 2016 Anak Tirikan Negeri Pembangkang – Othman
KUALA LUMPUR : Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk
Othman Aziz berkata, pembangkang perlu membuktikan tuduhan kononnya
pembentangan Bajet 2016 meminggir dan menganaktirikan negeri pembangkang
terutamanya Pulau Pinang.
Ujarnya, Bajet 2016 dibentangkan mengikut keutamaan suasana semasa
dan tuduhan yang dibuat oleh pembangkang itu adalah amat tidak wajar.
“Setiap negeri mempunyai pelbagai hasrat contoh negeri Kedah yang
mahukan pembinaan lapangan terbang tetapi tidak disebut dalam bajet kali
ini. Kalau nak mengikut kekecewaan maka kecewalah kita.
“Tetapi kita perlu sedar, apa yang
dibentangkan dalam bajet 2016 adalah berdasarkan keutamaan. Kita juga
perlu ingat kekangan yang dihadapi oleh negara iaitu antara pendapatan
negara dan perbelanjaan yang dilakarkan dalam bajet yang
dibentangkan”, ujarnya kepada pihak media.
Tegas beliau lagi perjalanan pengisian negara ini bukan dalam tempoh
masa terdekat kerana ia memerlukan jangka panjang maka mana yang perlu
didahulukan akan didahulukan.
“Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meletakkan
keutamaan mengikut suasana semasa. Maka tidak wajar dikatakan negeri
pembangkang di anaktiri atau dipinggirkan.
Mungkin sudah ada dalam
senarai tetapi tidak menjadi keutamaan pada bajet kali ini,” katanya.
Tambah beliau, memang sudah menjadi kerja pembangkang yang akan terus
membangkang walaupun sesuatu perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan
pusat itu disedari kebaikannya.
Pembangkang katanya akan terus membangkang dan tidak akan berpuas
hati malah tidak akan mengakui mana-mana bajet itu realistik dan relevan
dengan keadaan semasa.
“Saya melihat apa yang dibentangkan akan meletakkan suatu asas
sebagai tahun pertama dalam perlaksanaan RMK-11 yang boleh memacu
pembangunan untuk keseluruhan negara.
“Mungkin pembangkang berasa cemburu dengan peruntukan besar yang
diperolehi oleh negeri Sabah dan Sarawak. Namun kedua-dua negeri ini
memang memerlukan perhatian khusus untuk pembangunan.
“Ia bukan atas dasar akan berlaku Pilihan Raya Negeri Sarawak. Ada
juga yang berbunyi mengatakan kerajaan pusat cuba menggula-gulakan
rakyat Sarawak tetapi ini tidak benar sama sekali.
“Sepatutnya pembangkang harus berjiwa besar, melihat perkara ini
dalam konteks menyeluruh dan bukan hanya sekadar mahu bermain politik.
Jika hendak bermain politik, memang beginilah cara pembangkang, sentiasa
mencari salah orang sedangkan salah sendiri tidak nampak,” sindir
Othman.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment