Wednesday, October 28, 2015
Pakatan Pembangkang Lebih Elok Digelar Pakatan Caca Merba…PCM – Sohaimi
KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi
Shahadan berkata, pakatan rakyat hari ini lebih sesuai digelar sebagai
pakatan caca merba atau singkatanya PCM, memandangkan pihak pembangkang
ini dilihat langsung tidak sepakat dalam mengambil apa juga keputusan
atau pendirian sesama mereka dan mendahulukan kepentingan politik
peribadi dan parti masing-masing berbanding kepentingan rakyat.
Kata beliau, ini dapat dilihat daripada bukti-bukti tindak tanduk
mereka seperti mana yang terbaru isu perpecahan yang berlaku di dalam
pakatan pembangkang sebelum ini, yang memperlihatkan Pas akhirnya
tersingkir dan digantikan dengan Parti Amanah yang ditubuhkan oleh bekas
pemimpin Pas itu sendiri.
“Biarpun wujudnya pakatan pembangkang yang baru namun saya lihat
penubuhan Pakatan Harapan ini caca merbanya lebih kurang sama seperti
mana pakatan pembangkang yang sebelum ini.
“Kita boleh lihat contoh bagaimana
kecelaruannya dan ketidak sepakatan mereka di mana kerajaan pakatan
pembangkang yang diterajui oleh Dap Pulau Pinang telah memutuskan bahawa
kerjasama di antara mereka dengan Pas telah berakhir dan kerajaan Pulau
Pinang kini ditadbir di bawah Pakatan Harapan yang ditubuhkan oleh Dap,
PKR dan parti Amanah.
“Tetapi kita lihat di Selangor lain pula senarionya apabila Azmin
tetap bertegas mahu mengekalkan kerajaan yang lama iaitu gabungan antara
Dap, Pas dan juga PKR. Ini jelas memperlihatkan bahawa pakatan
pembangkang ini tidak konsisten dalam membuat keputusan dan keputusan
tersebut biarpun datangnya dari pusat boleh dilanggar dan diubah sesuka
hati di peringkat negeri,”jelasnya kepada pihak media di sini hari ini.
Perkara ini berlaku menurut beliau adalah disebabkan prinsip
perjuangan pakatan pembangkang itu bukanlah untuk membela rakyat, tetapi
lebih kepada kepentingan politik peribadi dan kepartian masing-masing.
“Bagi saya, senario yang berlaku didalam pembangkang ini
memperlihatkan bahawa kepentingan politik mereka melebihi daripada
kepentingan rakyat seperti mana di Selangor. Mereka terpaksa bermuka
muka sesama sendiri demi untuk menyelamatkan periuk nasi dan kepentingan
politik mereka.
“Saya mencabar pemimpin Dap dan PKR Selangor agar memutuskan hubungan
dengan Pas sepertimana keputusan yang telah dibuat di peringkat pusat
dan juga kerajaan Pulau Pinang bagi membuktikan, bahawa mereka ini
berpegang pada kepada prinsip dan bukannya kepada kepentingan politik
peribadi dan periuk nasi semata-mata.
“Namun saya yakin kepimpinan PKR dan juga di Dap di Selangor tidak
akan memutuskan hubungan dengan Pas, kerana mereka tahu tindakan
tersebut hanya akan menjadikan kerajaan pembangkang di Selangor goyang
dan ini sudah pasti akan memberi impak kepada kepentingan politik dan
periuk nasi mereka sendiri,”tegasnya.
Justeru itu beliau meminta agar rakyat khususnya di negeri-negeri
pembangkang menilai sendiri kelemahan dan ketidak sepakatan yang
diperlihatkan oleh pembangkang yang begitu ketara hari ini.
“Sebagai rakyat Malaysia yang rasional dan matang, saya percaya
bahawa segala kekeliruan dan ketidak pakatan pembangkang ini bukanlah
suatu perkara yang baik untuk negara.
“Kita tidak boleh memberikan kuasa kepada sebuah parti yang tidak
konsisten dan lebih mementingkan agenda politik peribadi dan kepartian
masing-masing untuk mentadbir negara, kerana ianya akan memberi kesan
yang buruk kepada kepentingan rakyat pada masa yang akan datang
kelak,”ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment