Wednesday, October 28, 2015

Dulu Wala' Pada Ulama PAS, Kini 'Kowtow' Pada Guan Eng?

EDITOR MENULIS...
28 OKTOBER 2015
Sekiranya saya berada di tempat Salahuddin Ayub, rasanya bukan kepalang lagi perasaan malu pada diri apabila dikatakan seolah-olah menjadi 'balaci' kepada DAP yang jelas menolak dasar pentadbiran negara Islam di Malaysia.

Dituduh sebagai tidak mempunyai kerja lain selain dari mempromosi pemimpin DAP di persada politik negara, saya merasakan berkemungkinan Salahuddin memiliki kulit wajah yang sangat tebal untuk menghadapi kenyataan tersebut.

Maaf, bukan saya yang menuduh Salahuddin begitu. Sebaliknya, kenyataan yang benar-benar pedih itu terbit dari mulut Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dalam satu kenyataan beliau baru-baru ini.

Saya tidak mempunyai pilihan lain selain dari bersetuju dengan Dr Mohd Khairuddin. Sekiranya dilihat pada kelakuan Salahuddin yang 'menjilat' Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang kononnya 'tokoh' utama dalam misi menawan Putrajaya, maka tidak dapat tidak, memang benarlah bagai dikata Dewan Ulama PAS itu.

Sejarah dalam PAS sebelum ini menyaksikan Salahuddin bertapak dalam PAS dari bawah. Ketokohan beliau dalam PAS telah melihat beliau diangkat ke atas hingga berjaya memenangi jawatan Naib Presiden parti itu sebelum tewas bertanding pada muktamar yang lalu.

Dulu, saya melihat Salahuddin sebagai 'budak baik'. Rambut sikat ke tepi, sederhana dan cukup vokal bagi isu-isu tertentu. Malah beliau cukup akur pada kepimpinan ulama ketika berada di dalam PAS.

Entah silap di mana, beliau akhirnya seakan-akan terpengaruh dengan Mat Sabu dan tergamak meninggalkan ulama PAS begitu saja, tanpa sebarang rasa ragu. Dan kini tanpa sebarang pertandingan, beliau selesa dilantik menjadi Timbalan Presiden di dalam parti Mat Sabu itu.

Lebih malang lagi, penghijrahan Salahuddin yang dulunya wala' pada ulama PAS, kini telah beralih arah apabila beliau dilihat seolah-olah 'kowtow' kepada para pemimpin DAP yang sejak dari dulu terkenal menentang sebarang dasar Islam yang cuba dilaksanakan di Malaysia.

Soalnya, apakah Salahuddin tidak sedar bahawa gerak langkahnya keluar dari PAS dan menyertai Amanah itu adalah satu langkah yang sumbang dan bakal mencemarkan imej beliau selaku ahli politik? Apakah beliau sedar tentang hakikat tersebut?

Sekiranya Salahuddin mendominasi kepimpinan dalam Pakatan Harapan, tidaklah menggusarkan saya sebab pada pandangan saya, sewajarnya pemimpin yang beragama Islam lebih wajar menjadi dominan dalam sebarang pakatan parti politik.

Malangnya, lain yang diharap, lain pula yang jadinya. Diharap Salahuddin yang akan mengetuai Guan Eng, tapi sebaliknya kini Guan Eng pula yang menjadi idola dan mengetuai Salahuddin? Pada saya, 'hijrah' Salahuddin itu benar-benar memalukan dirinya...

Namun saya tidak mampu memaksa Salahuddin untuk sedar dari salah langkahnya. Nasi sudah menjadi bubur. Bagaimanapun, memandangkan Salahuddin adalah manusia dan bukannya 'nasi' atau 'bubur' beliau masih lagi berkesempatan untuk berpatah balik ke jalan yang lebih baik.

Apapun terpulang pada beliau. Beliau yang menentukan langkah hidup dan kariernya, bukan kita. Kita hanya mampu memberi pandangan. Jika beliau mahu ikut, maka ikutlah. Tapi kalau mahu terus 'kowtow' pada Guan Eng, maka jangan menyesal di penghujung hari nanti.

Dan satu sahaja pesan saya.... Fikir-Fikirkanlah....
 
Disediakan oleh :
 
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment