Petaling Jaya
Thursday, October 29, 2015
Demi UMNO, Bercutilah Muhyiddin Yassin
Assalamualaikum Tan Sri,
1. Ini kali kedua saya menulis kepada Tan Sri menggunakan ruang
mykmu.net ini. Semoga ia dapat sampai kepada Tan Sri seperti mana
tulisan pertama sebelum ini.
2. Pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor semalam, bahawa tujuh (7) orang disiasat oleh Jawatankuasa
Disiplin UMNO menunjukkan krisis kepimpinan parti sudah sampai ke tahap
yang serius dan bukan lagi sebahagian daripada acara dan ritual
demokratik parti.
3. Saya percaya nama Tan Sri adalah antara yang sedang disiasat oleh
Badan Disiplin UMNO ini. Tindak-tanduk Tan Sri sejak digugurkan dari
jawatan Timbalan Perdana Menteri menunjukkan Tan Sri tidak lagi boleh
bekerjasama dengan Presiden UMNO.
4. Apabila digugurkan dari kabinet, Tan Sri telah bertemu dengan Tan
Sri Kadri Sheikh Fadzir dan memburukkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Adalah tidak masuk akal untuk seorang Timbalan Presiden UMNO bertemu
dengan Presiden parti BUKAN komponen Barisan Nasional dan menceritakan
hal dalam kelambu parti.
5. Mungkin ketika itu Tan Sri marah dan kecewa kerana digugurkan dari
jawatan Timbalan Perdana Menteri. Maka Ahli UMNO dan pucuk pimpinan
parti memejamkan mata dan memaafkan Tan Sri.
6. Namun tindak-tanduk Tan Sri sejak kebelakangan ini mengadakan
wawancara dan menghadiri forum memburukkan Presiden parti adalah sesuatu
yang tidak masuk akal dan melanggar disiplin sebagai seorang Timbalan
Presiden UMNO.
7. Dalam Perlembagaan UMNO, Fasal 9.8.2 menyatakan tugas Timbalan
Presiden ialah (1) Membantu tugas-tugas Presiden; (2) mempengerusikan
sidang-sidang Majlis Teringgi semasa ketiadaan Presiden.
8. Justeru kenyataan dan tindakan Tan Sri secara berterusan menyerang
Presiden di luar Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO merupakan satu
pelanggaran disiplin parti yang sangat jelas. Tan Sri bukan sahaja tidak
mematuhi Perlembagaan agar membantu Presiden tetapi telah berusaha
memburukkan Presiden di luar ruang demokrasi parti.
9. Tindakan Tan Sri ini bukan sahaja melanggar Perlembagaan UMNO
malah mencemarkan jawatan Timbalan Presiden UMNO serta disiplin ahli
sendiri.
10. Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO mengingatkan Semua ahli UMNO
hendaklah cintakan parti dan:- (a) Patuh kepada Perlembagaan ini dan
Tataetika Ahli; (b) Mengikut perintah-perintah parti;(c) Menjalankan
dasar-dasar parti; (d) Patuh dan menghormati keputusan-keputusan
parti;(e) Menjaga rahsia-rahsia parti; (f) Memelihara nama baik dan
maruah parti;(g) Senantiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib.
11. Tan Sri melanggar hampir semua peruntukan dalam fasal ini. Tan
Sri bukan sahaja tidak mengikut arahan Majlis Tertinggi UMNO dan kabinet
agar isu 1MDB diselesaikan oleh Perdana Menteri, malah melanggar
perkara (c) dan (d) apabila bercakap isu-isu 1MDB dan derma ke akaun
peribadi Perdana Menteri di luar skop parti.
12. Lebih serius Tan Sri melanggar peruntukan (e) apabila mendedahkan
percakapan dengan Presiden parti kepada Kadir Sheikh Fadzir yang pada
pada masa itu merupakan Presiden parti politik di luar komponen Barisan
Nasional.
13. Sebagai Timbalan Presiden, Tan Sri juga tidak lagi menunjukkan
perilaku dan tataetika yang sesuai dalam menjaga maruah parti.
14. UMNO sebagai parti politik tidak boleh menghalang ruang demokrasi
di kalangan ahli. Namun sebagai parti politik juga, UMNO mempunyai
disiplin dan tataetika ahli dan pemegang jawatan bagi memastikan parti
terus stabil.
15. Dalam keadaan UMNO bakal berhadapan pilihan raya terlebih dahulu
sebelum Pemilihan dalaman, parti tidak boleh mempunyai dua nahkoda dalam
satu kapal. Presiden memerlukan Timbalan Presiden yang boleh dipercayai
untuk mengetuai jentera pilihan raya dan menguruskan parti. Tiada
presiden yang gila akan membenarkan seorang timbalan menguruskan parti
dan jentera pilihan raya, yang dalam masa yang sama menyerang beliau.
16. Tan Sri mungkin akan meminta diadakan pemilihan UMNO terlebih
dahulu. Namun elok diingatkan bahawa Tan Sri antara orang yang bersetuju
dengan penangguhan pemilihan UMNO ini. Hanya Menteri Besar Kedah, Datuk
Seri Mukhriz Tun Mahathir (Ahli MKT yang dilantik) sahaja tidak
bersetuju penangguhan tersebut. Justeru tidak wajar Tan Sri mahu menarik
balik persetujuan ini apabila ia tidak menguntungkan Tan Sri.
16. Dalam keadaan sekarang saya fikir UMNO tiada pilihan kecuali
memecat Tan Sri daripada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi
Barisan Nasional kerana ia merupakan langkah terbaik berhadapan pilihan
raya Umum yang tidak sampai 1000 hari lagi.
17. Namun sedikit sebanyak, pemecatan Tan Sri akan menjejaskan parti
itu sendiri. Sungguhpun Tan Sri sendiri tidaklah mempunyai pasukan yang
kuat, terima kasih kerana sikap kurang mesra Tan Sri sendiri dengan
rakyat, tapi penyokong Tan Sri, kerabat Istana tertentu dan segelintir
ahli politik UMNO, yang penting diri boleh menyusahkan parti dan
Presiden.
18. Justeru demi kelangsungan (survival) parti UMNO ini, saya merayu
agar Tan Sri mengambil cuti sebagai Timbalan Presiden UMNO sehingga
lepas Pilihan Raya Umum ke-14.
19. Percutian ini bukan sahaja membolehkan UMNO membuat persediaan
lebih tersusun untuk pilihan raya Umum, malah menguntungkan Tan Sri
dalam jangkamasa panjang. Tan Sri masih Timbalan Presiden UMNO apabila
menamatkan cuti sebaik tamat pilihan raya umum.
20. Ingatlah, Tan Sri bukan seorang pejuang seperti Anwar Ibrahim
atau strategis seperti Musa Hitam, justeru peluang Tan Sri untuk
bertanding sebagai Presiden UMNO lebih besar sekiranya bercuti
berbanding dipecat dari jawatan. Percayalah jika Tan Sri dipecat dari
jawatan Timbalan Presiden, nama Tan Sri sendiri akan pudar dalam masa
tidak sampai setahun.
21. Malah lebih serius Tan Sri mungkin berhadapn dengan isu-isu
seperti Bestari Net dan NFC yang semua orang percaya ada tangan Tan Sri.
22. Cukuplah Tan Sri, beri ruang kepada Presiden mengukuhkan parti.
Sekiranya beliau gagal mencapai prestasi lebih baik dari PRU 13, dengan
sendiri beliau akan pergi dan peluang Tan Sri mengambil alih
tanggungjawab jika Tan Sri masih Timbalan Presiden ketika itu.
Daripada
Amin Yatim
Petaling Jaya
Petaling Jaya
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment