Wednesday, October 28, 2015
Mahkamah – Kes Fitnah Selesai, PM Terima Permohonan Maaf Nizar
IPOH : Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin, yang didakwa atas tuduhan memfitnah Datuk Seri Najib Tun
Razak, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas
beliau memohon maaf secara terbuka kepada perdana menteri.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membuat keputusan itu selepas Ketua
Unit Pendakwaan Negeri Perak Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan bahawa
perdana menteri bersetuju kes itu dikompaun mengikut Seksyen 260 Kanun
Prosedur Jenayah.
Ikmal Hishan memerintahkan Anggota Dewan Undangan Negeri Changkat
Jering itu membaca permohonan maaf berkenaan di dalam mahkamah bagi
memudahkan beliau mencatatkannya dalam rekod prosiding kes tersebut.
Mohammad Nizar kemudian memohon maaf secara terbuka dan memaklumkan
beliau kini menyedari bahawa kenyataannya terhadap Najib, seperti yang
disebut dalam pertuduhan, adalah tidak berasas.
“Oleh yang demikian, saya dengan ikhlas dari hati ingin memohon maaf
kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan berjanji akan lebih berhati-hati
supaya kejadian seumpamanya tidak akan berulang lagi,” katanya.
Terdahulu, Yusaini Amer berkata perdana menteri menerima surat permohonan maaf daripada Mohammad Nizar pada 22 Okt lepas.
“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju supaya kes ini
dikompaunkan, dengan izin mahkamah, serta meminta Mohammad Nizar membuat
permohonan maaf secara terbuka dan beliau sedia menerima permohonan
maaf itu,” katanya.
Mohammad Nizar, 58, yang beralamat di Sungai Rokam di sini didakwa
memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan
di sini, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.
Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu didakwa mengetahui tohmahan
seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang
disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik
Najib.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Mohammad
Nizar daripada pertuduhan memfitnah Najib selepas membenarkan bantahan
awal pihak pembelaan yang diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden Mohd
Yusof berhubung isu pengadu dalam kes itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment