Wednesday, October 28, 2015
Menantu Hadi Awang, Anak Didik Nik Aziz ‘Perang’ Isu Balak Di Media Sosial
KUALA LUMPUR : Bekas exco Kelantan Datuk Husam Musa dan menantu
presiden PAS Zaharudin Muhammad menjadikan laman sosial sebagai medan
perang terbuka mereka berkenaan isu pembalakan di negeri itu.
Husam yang juga adalah ADUN Salor mendedahkan beberapa tindakan
kerajaan negeri hari ini yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang
dari konsep ketelusan.
Zaharudin pula melalui posting Facebook menuduh anak didik bekas
Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat itu cuba menjatuhkan kerajaan negeri
Kelantan.
“Demi Allah! saya akan lawan Husam selepas ini demi selamatkan
Kelantan. Cukup saya melihat Kedah dijatuhkan oleh puak-puak Phahrolrazi
dengan fitnahnya.
“Saya menyeru rakyat Kelantan bersama-sama mempertahankan Kelantan,” tulisnya.
Zaharuddin merujuk kepada kekalahan PAS yang kehilangan negeri Kedah pada pilihan raya umum ke-13 lalu.
Sebelum kejatuhan itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang adalah Timbalahn
Pesuruhjaya PAS Kedah membidas pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri
Azizan Abdul Razak.
Penyokong Azizan mendakwa ia sebagai komplot Pharolrazi untuk mengguling menteri besar.
Zaharudin dalam posting di Facebook hari ini berkata, perkara yang sama boleh berlaku di Kelantan.
Ia berikutan bidasan sengit Husam berhubung tindakan kerajaan negeri yang memberikan permit pembalakkan di negeri itu.
‘Robin Hood Kelantan’
Malah, Husam juga menuntut kerajaan negeri supaya tidak meluluskan
permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di
hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.
Bagaimanapun, Zaharudin memulakan serangannya dengan memuat naik
status ‘Robin Hood Kelantan’ yang didakwanya seronok mengganggu isi
rumah miskin.
Selepas itu siri serangan daripada Zaharudin terhadap Husam menyentuh
laporan rasuah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung
kewujudan aktiviti penerokaan tanah dan pembalakan haram di negeri itu.
Husam yang juga bekas naib presiden PAS itu bagaimanapun tidak duduk diam dengan serangan berterusan yang dibuat oleh Zaharudin.
Beliau seterusnya mengemukakan hujah mengapa PAS kalah di Kelantan.
“Watak Zaharudin Muhammad Jatuhkan PAS Terengganu? Zaharuddin
Muhammad nampaknya galak menulis sehari dua ini, nak pertahankan
Kelantan dari jatuh.
“Caranya dengan menyerang saya. Jika dunia ilmiah dipilih, saya
bersedia mengemukakan hujah saya mengapa PAS kalah di Kedah, dalam
mana-mana seminar.
“Sebahagian darinya pernah saya kemukakan kepada Lajnah Politik PAS
Pusat enam atau tujuh bulan sebelum kekalahan itu,” tulis Husam.
Husam turut mengancam Zaharudin bahawa beliau tidak teragak-agak mengheretnya ke mahkamah.
“Ada pun ayat ayat dalam tulisan Zaharudin berbentuk ugutan dan unsur
fitnah, saya telah pun mengarahkan peguam mengambil tindakan,” kata
Husam.
Zaharuddin bagaimanapun memuat status terbarunya dengan menjemput
Husam ke Kuala Lumpur pada 21 November depan bagi membincangkan mengenai
kekalahan PAS di Kedah dan Terengganu.
Malah beliau turut mengalukan sekiranya Husam ingin membawa peguam bersamanya.
“Insyallah, 21 november saya menjemput Husam datang ke Kuala Lumpur,
jam 10 pagi di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM). Kita
dialog isu post mortem kekalahan Kedah dan Terengganu.
“Bersama saya ada peguam-peguam dan lebih penting kebenaran juga bersama-sama saya kalau Husam nak bawa ke Mahkamah.” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment