Friday, October 30, 2015
Pelaburan Berterusan Pembangunan Dan Kepimpinan Belia Amat Penting – Reezal Merican
KUALA LUMPUR : Pelaburan berterusan dalam pembangunan dan
kepimpinan belia, akan memperkasakan mereka untuk menyuarakan pendapat
mereka serta mengambil bahagian secara konstruktif dalam membuat
keputusan dan tadbir urus.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata
belia memainkan peranan penting dalam mencorakkan sosial, ekonomi dan
politik di rantau ini.
Beliau berkata belia yang diperkasakan akan berupaya untuk mendorong
dan menggerakkan diri mereka sendiri dan lainnya ke arah mencapai visi
yang berpaksikan semangat kekitaan dan identiti serupa.
“Ini akan membolehkan kita untuk memperkukuhkan lagi pembinaan
komuniti dan integrasi serantau selaras dengan pewujudan Komuniti ASEAN
menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Serantau mengenai
Peranan Belia Dalam Menggalakkan Hak Asasi Manusia dalam ASEAN:
Menjadikan Hak Satu Realiti di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Sementara itu, Reezal Merican berkata dalam era teknologi moden ini,
kebanyakan orang khususnya generasi muda, gemar mendapatkan, menerima
dan menyebarkan maklumat, pengetahuan dan menyatakan pandangan menerusi
internet dan media sosial.
“Kebebasan bersuara merupakan sebahagian daripada cara hidup
mana-mana masyarakat demokratik dan kita menyambut baik dan turut
mengamalkannya, dan tatkala kita menuju ke arah demokrasi matang, kita
patut mewujudkan persekitaran yang dapat merangsang belia kita untuk
menyuarakan pendapat mereka.
“Ini juga bermakna membolehkan mereka menyumbang secara bermakna
dalam proses membuat keputusan dan mengambil bahagian secara konstruktif
dalam tadbir urus di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan bersuara bukannya mutlak dan perlu
dalam lingkungan undang-undang, menjaga sensitiviti sosial dan
pertimbangan tertentu.
Mengenai bengkel itu, beliau berharap ia akan meningkatkan
pengetahuan, kefahaman dan penghargaan dalam kalangan belia ASEAN
terhadap Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN, Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia Antara Kerajaan ASEAN dan mekanisme dan instrumen hak asasi
manusia yang lain di rantau ini.
Bengkel itu dianjurkan bersama-sama oleh Kementerian Luar, Institut
Asia-Eropah Universiti Malaya dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
(Suhakam).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment