Wednesday, October 28, 2015

PAS Mungkin Ada Rakan Baru, Tunggu Dan Lihat : Setiausaha Agung Pas

http://media.therakyatpost.com/wp-content/uploads/sites/4/2015/09/Datuk-Takiyuddin-Hassan-650X360-600x360.jpg
PAS mungkin akan bekerjasama dengan parti lain atau individu dalam mendepani Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun partinya dilihat bersendiri ekoran perpecahan Pakatan Rakyat, namun PAS tidak menolak untuk kembali bergabung dengan parti lain bagi memenangi PRU nanti.

“Yakin tak yakin kita perlu bersendirian, kita dah pun bersendirian dan kita dah lama bersendirian, kita tak semestinya tak ada ‘partner’.

“Mungkin kita akan ada partner baru, siapa tu ‘wait and see’ (tunggu dan lihat) sahajalah, kalau bukan dari parti, mungkin dari individu,” katanya di lobi Parlimen, Khamis.

Beliau menjawab soalan media adakah PAS benar-benar bersedia untuk berdiri sendiri bagi meneruskan perjuangan dalam dunia politik.

Tambahnya lagi, PAS bagaimanapun tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan mahupun UMNO/ BN, tetapi hanya bersikap professional dengan menjalinkan hubungan kerjasama dengan semua pihak dalam isu-isu rakyat.

“Kalau kita ingat apa yang Datuk Abdul Hadi kata mula-mula, kita kekal sebagai pembangkang, kita boleh bekerjasama, beri pandangan, boleh berbincang, boleh berikan pendapat kepada semua parti berkaitan isu rakyat.

“Saya harap semua jelas tentang perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu tidak akan menolak untuk bekerjasama dengan UMNO/BN dalam perkara yang baik.

Hadi berkata demikian dalam satu sidang media berhubung pendekatan terbaru yang diambil PAS, Selasa lalu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment