Wednesday, October 28, 2015
Dewan Ulamak Beri Amaran Kepada Amanah
SHAH ALAM : Dewan Ulamak PAS hari ini memberi amaran kepada Parti Amanah
Negara (Amanah) agar tidak melakukan sebarang provokasi atau fitnah
terhadap PAS yang kononnya memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PAS
tetap jelas dengan hala tuju dan pendirian parti yang kekal sebagai
pembangkang namun bersedia memberikan pandangan kepada kerajaan sebagai
proses semak dan imbang demi kepentingan rakyat.
"Dia (Amanah) cuba memprovokasi sama seperti DAP. Tiada beza antara DAP dan Amanah ini.
"Kita pendirian kita jelas.. Kita boleh bekerjasama dengan semua pihak
tentang semua permasalahan berkaitan Islam. Kita bersedia memberikan
pandangan kita yang bernas dari pembangkang untuk kerajaan. Bukan
bermaksud masuk dalam kerajaan," katanya kepada Antarapos.
Semalam, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung
kesediaan parti itu bekerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan
permasalahan rakyat, mengundang kritikan pemimpin Amanah.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata walaupun PAS berhak
untuk memilih dengan siapa mereka mahu bekerjasama, parti itu harus
menyatakan dengan jelas hala tuju politik mereka.
"Mereka perlu menyatakan hala tuju parti, sama ada mereka mahu perubahan
dalam kerajaan atau kekal dalam pembangkang dan pada masa sama
mempertahankan Barisan (Nasional)," petik kata Khalid dalam sidang
medianya semalam.
Malah Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut
menyindir, parti yang begitu bersungguh-sungguh mahu bekerjasama dengan
kerajaan adalah DAP.
Khairuddin merujuk kepada cubaan parti itu yang ingin menubuhkan
gabungan 'Save Malaysia' tidak lama dulu, kononnya mahu mempertahankan
Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang ekoran cadangan
pelaksanaan hukum hudud oleh PAS.
"Apa sahaja isu melibatkan rakyat, kerana kerja pembangkang adalah
memastikan rakyat mendapat hak mereka. Itu kerja kita," ujarnya.
Tambah beliau, PAS juga tetap berpendirian untuk tidak menyertai Pakatan
Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah yang disifatkan terlalu
'gopoh' mahu ke Putrajaya tanpa 'melalui jalan yang betul'.
Merujuk kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk
Seri Mohd Najib Razak yang cuba dibawa gabungan pembangkang berkenaan,
kata Khairuddin, cara sedemikan hanya menguntungkan Umno-Barisan
Nasional (BN).
"Mesti tunggu pilihan raya (untuk tukar PM). Menjatuhkan Najib sekarang hanya menguntungkan Umno, tidak menguntungkan PAS.
"Bila jatuh Najib, akan naik orang sepertinya juga daripada Umno. Apa
bezanya.. Kita bukan hanya menolak Najib, kita menolak sistem yang
'diimani' Najib.
Kita bukan menolak kepala gerabak, tetapi kita tolak gerabak dan rel
sekali. Kita mahu gerabak baru, rel baru, dan kepala baru, ekor baru,"
katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment