Wednesday, April 29, 2015
PRK Rompin : Kerajaan Pahang Umum 5 Mei Cuti Peristiwa
29 April 2015, Rompin : Kerajaan negeri Pahang mengumumkan 5 Mei ini
sebagai cuti peristiwa untuk seluruh negeri bagi memudahkan pengundi
berdaftar menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kecil (PRK)
Parlimen Rompin pada tarikh itu.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dalam satu kenyataan ringkas
kepada media berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco yang
diadakan di Majlis Daerah Rompin di sini, hari ini.
PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin
dengan calon PAS Nazri Ahmad.
PRK itu diadakan susulan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis
terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April
lalu.
Pada pilihan raya umum lalu, Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan
Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang
disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua
Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai
53,294 pengundi berdaftar di Parlimen Rompin termasuk 545 pengundi awal
yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka esok di empat pusat
pengundian awal.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
PRK P.Pauh: Permatang Pasir Masih Pekan Koboi
29 April 2015, Bukit Mertajam : Permatang Pasir yang terletak dalam
kawasan Parlimen Permatang Pauh boleh dianggap sebagi pekan koboi.
Keadaan kawasan kampung di pinggir Pekan Guar Perahu ini sepi, lembap dan ‘mati’. Tiada banyak pembangunan di sini.
“Kawasan ni akan menjadi lebih sunyi bila waktu petang. Penduduknya
banyak yang buat bendang dan kerja kilang padi,” kata seorang penduduk
Wan Khatijah, 68.
Beliau berkata penduduk sepertinya juga terpaksa ke hospital yang
hanya terdapat di Seberang Jaya atau Bukit Mertajam dua kali seminggu
untuk mendapat rawatan susulan.
Permatang Pauh turut menempatkan kawasan Dewan Undangan Negeri
Seberang Jaya dan Penanti. Antara ketiga-tiganya, kawasan DUN Seberang
Jaya lebih membangun dan moden dengan turut terdapat banyak flat,
apartmen untuk penduduk serta bangunan pejabat.
Peniaga kedai makan, Pak Samad, 54, berkata beliau terpaksa ke Seberang Jaya apabila mahu melakukan urusan bank.
Bagi golongan muda, tiada banyak peluang pekerjaan yang terdapat di Permatang Pasir, katanya.
Khairul Azri, 25, berkata golongan belia di Permatang Pasir tidak mempunyai banyak kemudahan untuk melakukan aktiviti.
“Tiada ada tempat yang sesuai untuk aktiviti. Jadi kebanyakannya akan lepak atau keluar ke Seberang Jaya,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Pusingan “U” Pas Hanya Wayang Sandiwara Pimpinan Atasan Pembangkang
29 April 2015, Permatang Pauh : Tindakan Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau
Pinang membuat pusingan “U” dengan mengubah pendirian mereka untuk
menyokong dan membantu kempen calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)
sememangnya sudah dijangkakan, demikian menurut Pengerusi Perhubungan
UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Secara peribadi Zainal meluahkan rasa simpati terhadap Pas yang
disifatkan beliau hanya diperkudakan oleh Dap dan juga PKR demi mencapai
agenda politik peribadi kedua-dua parti tersebut.
“Saya simpati melihatkan nasib Pas di dalam pakatan pembangkang. Bagi
saya, tiap-tiap parti itu mempunyai prinsip dan maruah tersendiri.
Presiden Pas, secara terang-terang telah diserang oleh kepimpinan Dap
dan PKR malah disifatkan sebagai pemimpin yang tidak boleh memberikan
kerjasama di dalam pakatan pembangkang dan meluahkan hasrat untuk
memutuskan hubungan dengan Haji Hadi.
“Sekiranya kita memutuskan hubungan dengan presiden sesebuah parti,
ini bermakna kita juga putus hubungan dengan parti tersebut. Namun apa
yang peliknya, Dap dan PKR mahu memutuskan hubungan dengan presiden Pas
tetapi dalam masa yang sama masih mahu menjalinkan hubungan dengan
parti Pas itu sendiri.
“Jadi dalam hal ini jelas bahawa niat Dap dan PKR adalah untuk
memperkudakan ahli-ahli Pas dari sudut jentera dan mempergunakan
pengaruh politik Pas terhadap orang Melayu untuk mencapai cita-cita
politik mereka menumbangkan BN dan menguasai Putrajaya,” jelasnya kepada
UMNO-Online dalam satu temuramah di Bilik Gerakan BN di Perda City
Mall, Permatang Pauh.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakan-rakan yang berada di dalam Pas
agar menyedari akan perkara ini di mana hakikatnya Dap dan PKR hanya
mempergunakan mereka untuk kepentingan politik semata-mata tanpa
mempedulikan prinsip dan maruah perjuangan Pas itu sendiri.
“Bagaimanapun, saya yakin bahawa ahli-ahli Pas diperingkat akar umbi,
khususnya di kawasan sekitar Permatang Pauh ini sedar akan perkara ini
dan dapat menilai dengan fikiran rasional dan matang. Saya yakin mereka
tahu bahawa Dap dan PKR tidak menghormati prinsip perjuangan Pas dan
jalinan ini hanya berdasarkan keperluan mereka terhadap pengaruh Pas
kepada pengundi-pengundi Melayu"
“Jika Dap dan PKR menghormati prinsip perjuangan Pas, maka sudah
pastilah mereka akan menyokong perjuangan hudud yang dibawa oleh parti
tersebut. Tetapi kita boleh lihat apa yang berlaku hari ini, apabila Pas
membawa isu hudud, parti mereka dihina. Presiden mereka diperkotak
katikkan oleh rakan kongsi mereka sendiri.
“Malah belum pun lagi hudud di bawa masuk ke parlimen, PKR dan Dap
sudah mengeluarkan arahan agar ADUN dan Ahli Parlimen mereka tidak
memberikan sokongan terhadap usul tersebut. Tindakan mereka ini jelas
menghina prinsip perjuangan rakan kongsi mereka sendiri.
“Tetapi bila di dalam pilihanraya, mereka mahukan pertolongan Pas
untuk meraih sokongan. Minta tolong. Macam perumpamaan orang Melayulah,
muka tak malu. Tetapi yang pelik, bila mereka minta sokongan, pemimpin
Pas negeri mahupun pusat hanya ikut saja tanpa membantah,” tegasnya.
Namun, beliau meluahkan keyakinan bahawa segala gambaran kerjasama
yang diberikan oleh Pas kepada Dap dan PKR di PRK Permatang Pauh ini
hanyalah sekadar keputusan pemimpin atasan saja.
“Di akar umbi, saya yakin ramai ahli Pas yang lebih matang berfikir,
yang berilmu dan yang mempunyai hati dan perasaan. Jadi ada kemungkinan
besar bahawa ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi akan memperlihatkan
isyarat bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan peringkat atasan
yang tetapi mahu membantu PKR dan Dap yang secara terang-terang menolak
hukum hudud.
“Saya menaruh keyakinan, bahawa ahli Pas di peringkat akar umbi oleh
berfikir dengan matang. UMNO dan BN hanya mahu berusaha membawa kebaikan
di Permatang Pauh. Kami bukan mahu bawa kerosakan.Takkan pula
orang-orang Pas mahu menolak perkara-perkara yang baik? Saya yakin
mereka akan terima perkara-perkara yang baik,”ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Pembangkang Tumpang Tuah Kemajuan Dan Pembangunan Yang BN Bina – Aziz Kaprawi
28 April 2015, Rompin : Pakatan pembangkang pada hakikatnya tidak mampu
membawa kemajuan dan pembangunan yang baharu kepada kerajaan negeri yang
ditadbirnya seperti di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Ini
kerana, kemajuan dan pembangunan yang dinikmati kini adalah hasil usaha
perancangan dan pengurusan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Begitu juga menurut pandangan Ahli Majlis Tertingi UMNO, Datuk Ab.
Aziz Kaprawi yang mengatakan parti Pas yang bertanding di pilihan raya
kecil (PRK) Parllimen Rompin ini dilihat ternyata tidak mampu membawa
pembangunan dan kemajuan tetapi hanya memanipulasi isu nasional
semata-mata meraih undi.
“Pihak pembangkang memang ketandusan isu dan hari ini apa yang mereka
cuba eksploitasikan ialah isu Felda dan isu cukai barang dan
perkhidmatan (GST).
“Kedua-dua isu ini telah berkali-kali kerajaan membuat penerangan
kerana GST ini merupakan satu usaha kerajaan untuk mewujudkan satu masa
depan negara yang lebih mampan,” tegas beliau.
Tambah Timbalan Menteri Pengangkutan itu lagi, semua usaha kerajaan
itu adalah untuk kepentingan rakyat. Tetapi, oleh kerana ia perkara
baharu, maka ramai yang kurang faham serta ditambah pula terdapat
segelintir pihak yang suka mengambil kesempatan menangguk di air keruh
mengelirukan perkara tersebut.
Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu sekarang berusaha
mengelirukan rakyat bahawa GST ini menindas rakyat, walhal hakikatnya ia
bertujuan untuk memakmurkan dan menjaga kebajikan rakyat, ujarnya lagi
kepada UMNO-Online.
Ahli Parlimen Sri Gading itu juga mengimbas kembali bahawa tujuan
awal penubuhan Felda adalah untuk memberi kemajuan dan kesenangan kepada
masyarakat yang dahulunya tidak memiliki harta baik tanah mahupun
rumah. Tetapi hari ini, keadaan telah berbeza, masyarakat Felda telah
memiliki kedua-duanya serta hasil bumi, tambahan pula wujud
bandar-bandar dan pusat perniagaan di kawasan berhampiran.
“Pokoknya, kita boleh melihat bagaimana kerajaan telah mengambil berat mengenai keperluan rakyat.
“Jadi, saya berpandangan masyarakat di sini selagi kerajaan mengambil
berat keperluan rakyat, kerajaan telah dapat menunaikan
tanggungjawabnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Jom Tukar Minyak
Hitam yang merupakan satu program kebajikan memberi ilmu dan maklumat
kepada masyarakat tempatan khususnya di kawasan yang banyak menggunakan
motorsikal, cara-cara yang lebih sistematik ketika hendak menukar minyak
hitam dengan sendiri.
Program tersebut juga diwujudkan kaunter bergerak Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mana memberi ruang kepada masyarakat untuk
memperbaharui cukai jalan dan memberi kemudahan membuat pemeriksaan
semula secara segera kepada motorsikal-motorsikal yang telah tidak
membayar cukai jalan lebih dari setahun.
Dipetik daripada sumber : Media UMNO
“Dok Mengharapkan Kipas Merata Pun Tak Guna” – Bekas ADUN Seberang Jaya
29 April 2015, Permatang Pauh : Bekas ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah
Haji Omar Shah berpandangan bahawa calon Barisan Nasional (BN) mampu
untuk mencipta kejutan di dalam pilihanraya kecil (PRK) di Permatang
Pauh kali ini memandangkan kriteria-kriteria calon BN yang tidak
mempunyai sebarang isu, mempunyai latar belakang yang baik serta
merupakan anak tempatan di kawasan ini.
Jelas beliau, pucuk pimpinan di peringkat pusat dan di peringkat
bahagian membuat satu keputusan yang baik kerana seorang calon yang
tidak mempunyai isu langsung yang boleh dijadikan bahan modal kempen
pihak pembangkang.
“Rakyat Permatang Pauh sudah tentunya memberikan penilaian yang
perhatian yang sewajarnya kerana calon BN untuk parlimen Permatang Pauh
ini langsung tidak ada isu yang boleh dikaitkan dengan beliau. Kita
boleh tengok latar belakangnya yang berasal dari keluarga yang susah,
maknanya beliau akan memahami apabila rakyat menceritakan kesusahan
kepadanya.
“Bagi saya rugilah sekiranya warga Permatang Pauh menolak seorang
calon yang lengkap daripada sudut personaliti, akademik dan juga warga
tempatan yang tinggal di situ. Lagipun, tiga DUN di kawasan ini sudah
pun dikuasai oleh pembangkang, maka sesuatu yang lebih baik sekiranya
parlimen diberikan kepada BN.
“Ini bermakna rakyat di Permatang Pauh mempunyai dua saluran untuk
mengadu dan memberitahu sebarang permasalahan mereka. Dua saluran sudah
tentulah lebih baik dari satu saluran. Orang Cina dan India juga akan
mengambil peluang dalam PRK ini untuk memilih calon BN kerana mereka
akan mendapat pertolongan dari kerajaan pusat dalam sebarang masalah
yang mereka hadapi,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Selain itu beliau juga melihat calon pihak pembangkang, Dr Wan Azizah
juga mempunyai beban amanah dari rakyat Kajang di Selangor yang sudah
terbeban di bahunya apabila dipilih sebagai wakil rakyat di Dun
tersebut.
“Saya kira, tidak ada salahnya pengundi di Permatang Pauh untuk
mencuba calon dari BN untuk jangka masa dua tahun setengah ini. Daripada
dok mengharapkan kipas merata pun tak guna juga. Banjir di Kajang pun
tak siapa jaga sekarang ni sebab beliau sibuk berkempen di kawasan ini.
“Silap-silap dia letak jawatan dah siapa pula yang nak dicalonkan
untuk bertanding di kawasan ini. Akhirnya, pengundi Permatang Pauh juga
yang menjadi mangsa sentiasa ada pilihanraya kecil di kawasan ini. Jadi,
berdasarkan faktor-faktor itu, ada kemungkinan calon BN kali ini mampu
untuk memberikan kejutan dalam PKR kali ini, “ akhiri beliau.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Tuesday, April 28, 2015
#PRKPermatangPauh: “Permainan” Pakcik PAS Di Kedai Kopi…
EDITOR MENULIS.....
29 APRIL 2015
Sebagaimana maklum, minggu lepas... iaitu pada
hari pertama kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh di mana
menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PKR yang dicabar
oleh calon Barisan Nasional (BN), calon Parti Rakyat Malaysia dan
seorang calon Bebas.
Saya yakin, ramai yang berpandangan
bahawa BN agak mustahil untuk menawan kubu kuat PKR yang dikuasai Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya sejak sekian lama. Kononnya itu
tempat “berhantu” Anwar dan BN tidak akan berjaya menawannya.
Sebetulnya sejak dari semalam, penulis
berkesempatan untuk ke Permatang Pauh. Agak teruja bila kampung halaman
Anwar digempur jentera BN. Pada saya, menang kalah belakang cerita,
gempur tetap gempur habis-habisan.
Saya sempat ke majlis pengumuman calon
PKR juga dan seperti yang dijangka, Wan Azizah sekali lagi diangkat
menjadi calon. Saya yakin pemilihan itu adalah menurut perintah “wahyu”
dari penjara.
Maklumat yang saya peroleh semalam
memberitahu bahawa majlis itu hanya dihadiri oleh penyokong PAS dari
saluran 1. Maksudnya, penyokong PAS veteran. Boleh dikatakan hampir
tiada langsung gerombolan dari Pemuda PAS.
Lebih mengejutkan, sejurus selepas Wan
Azizah diumum sebagai calon, hampir semua penyokong PAS tidak kira
veteran atau tidak, semuanya keluar dewan angkat kaki pulang.
Dari riak
wajah mereka, saya diberitahu mereka kecewa, benar-benar sangat kecewa…
Saya fikir, mungkin maklumat tentang
“boikot” dari PAS itu kurang tepat. Namun apa yang berlaku pada proses
penamaan calon pagi tadi membuktikan bahawa memang PAS Permatang Pauh
serius tidak mahukan Wan Azizah.
Bendera DAP dan PKR memang banyak. Tapi
bendera PAS boleh dikira dengan jari dan saya yakin bahawa mereka yang
memegang bendera PAS itu berkemungkinan besar bukan rakyat tempatan.
Mungkin dia dari PAS di luar kawasan Permatang Pauh berdasarkan dialek
bersama rakan-rakannya bukan loghat utara. Malah mungkin dia orang PKR
yang “terpaksa” pegang bendera PAS.
Hati saya berbisik, tegar benar pendirian
orang PAS di Permatang Pauh. Orang PAS di Kepala Batas tidak begitu.
Bekas calon PAS yang kalah di Kepala Batas, Ustaz Sobri Arshad tidak
begitu tegar. Tapi penyokong PAS Permatang Pauh lain macam pendiriannya.
Saya sempat bersembang dengan dua orang
pakcik di sebuah kedai kopi tepi jalan. Gaya mereka orang PAS dan loghat
mereka utara pekat. Kerana tiada meja kosong di kedai kecil itu, mereka
minta duduk semeja dengan saya. Saya senyum mempersilakan…
Hampir sejam setengah kami berbual. Jika
tidak kerana geng geng saya di Permatang Pauh menelefon saya, mungkin boleh
lajak hingga 3 – 4 jam. Tapi dalam tempoh 1 jam setengah itu, saya dapat
simpulkan dengan mudah “permainan” orang PAS Permatang Pauh.
Kata mereka, jika PKR dan DAP tanya
mengapa mereka tidak bersama pada majlis pengumuman dan penamaan calon,
mereka akan jawab bahawa semua jentera telah ke Rompin untuk berkempen
di sana. Maklumlah, calon PRK Rompin diwakili PAS.
Padahal kata mereka, para penyokong PAS
Permatang Pauh tidak ke mana-mana pun. Boleh dikatakan semuanya ada di
Permatang Pauh, tapi sengaja mendiamkan diri di rumah masing-masing atau
sekadar memerhati dari kedai kopi seperti mereka…
Saya buat muka hairan, konon terkejut
dengan cerita mereka. Menurut mereka, sebelum penamaan calon lagi ramai
penyokong PAS Permatang Pauh yang bergerak di akar umbi berkempen pada
rakan-rakan mereka untuk “mengajar” PKR kali ini.
Dan bila PKR mengumumkan nama Wan Azizah
sebagai calon, lagilah mereka “berbulu” pada PKR. Saya bertanya,
tidakkah mereka simpati pada si isteri yang suaminya dipenjara itu? Kata
mereka, cukuplah sekali simpati mereka dahulu. Tapi kata mereka, hudud
lebih penting dari Wan Azizah, Anwar, mahupun Pakatan Rakyat sendiri.
Bila saya ajukan persoalan mengenai Mat
Sabu, Datuk Mustapha Ali dan beberapa pemimpin PAS lain yang berada
bersama Wan Azizah berkempen untuk PKR kali ini, pakcik itu menjawab
secara sinis bahawa mereka-mereka itu lebih wala’ pada Anwar, Lim Kit
Siang dan Guan Eng berbanding pada Abdul Hadi Awang atau perjuangan PAS
sendiri.
Yang tidak sedapnya, sedang saya rancak
bersembang, rakan saya menghubungi telefon bimbit ajak makan tengahari
di Guar Perahu, salah satu kubu kuat PKR. Saya terpaksa undur diri dan
memberitahu pakcik-pakcik PAS itu saya perlu bertemu seorang “rakan PKR”
di Guar Perahu.
Mendengar “Guar Perahu” dan “PKR”,
berubah wajah pakcik-pakcik itu. Salam saya pun disambut bagai acuh
tidak acuh, bersalam di hujung jari sahaja…
Di dalam kereta, saya tersenyum
mengenangkan “permainan” PAS Permatang Pauh.
Benarkah PAS Permatang Pauh
teguh pendirian mereka? Atau mereka bakal “cair” dan terangkat kopiah
bila seorang “janda” datang memujuk rayu undi dari mereka sebelum 7 Mei
ini? Rasanya ... jawapannya telahpun anda semua melihatnya beberapa hari ini... selebihnya... anda fikirkanlah sendiri...
Disediakan oleh :

Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Hutang Kerajaan Persekutuan Masih Pada Tahap Boleh Diurus
29 April 2015, Putrajaya : Jelas sekali kedudukan hutang Kerajaan
Persekutuan masih pada tahap boleh diurus, namun ada pihak yang
menggunakan angka keseluruhan hutang Malaysia yang lebih tinggi, untuk
mewujudkan salah tanggapan bahawa situasi itu di luar kawalan.
Ada yang melempar tuduhan bahawa hutang luar melonjak dengan ketara
walaupun hutang luar Kerajaan Persekutuan pada akhir Disember 2014
berjumlah RM582.8 bilion atau 54.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) kekal masih boleh diurus.
Sebenarnya, hutang luar negara – bukan Kerajaan Persekutuan – telah
meningkat kepada RM740.7 bilion pada suku ketiga tahun lepas berbanding
RM41.5 bilion pada 1990 dan RM196 bilion pada akhir 2013.
Namun, seperti yang diterangkan oleh Perdana Menteri yang juga
Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa ‘peningkatan drastik
itu disebabkan oleh pentakrifan semula hutang luar sejak suku pertama
2014, selari dengan syarat pelaporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Berikutan pentakrifan semula itu, hutang luar kini termasuk pinjaman
luar pesisir oleh Kerajaan Persekutuan, Perusahaan Awam dan Sektor
Swasta selain pegangan hutang sekuriti, deposit dan kredit perdagangan
dalam Ringgit oleh bukan pemastautin.
Inilah jumlah hutang Malaysia atau hutang negara yang jauh lebih besar berbanding hutang Kerajaan Persekutuan.
Hutang luar yang lebih tinggi menerusi pentakrifan baharu itu
menunjukkan tahap pegangan hutang sekuriti dalam ringgit oleh bukan
penduduk, yang menyumbang hampir dua pertiga daripada peningkatan hutang
luar Malaysia.
Ini disebabkan oleh daya tarikan dan keterbukaan pasaran kewangan Malaysia.
Pada masa yang sama, pentakrifan baharu ini membolehkan kerajaan
menilai pendedahan risiko dengan lebih baik ke atas bukan penduduk.
Namun, perbahasan bahawa hutang luar yang tinggi dan mengaitkannya
dengan hutang Kerajaan Persekutuan menyebabkan salah tanggapan bahawa
hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat dengan ketara dan di luar
kawalan.
Sebaliknya, hutang Kerajaan Persekutuan boleh diurus dengan
sebahagian besar hutang bertempoh sederhana dan panjang dan lebih 40
peratus dalam Ringgit, menurut Bank Negara Malaysia dalam Laporan
Tahunan 2014.
Ini seperti yang diterangkan oleh Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti
Akhtar Aziz pada seminar baru-baru ini bahawa ‘tahap hutang luar yang
boleh diurus dengan majoriti hutang bertempoh sederhana dan jangka
panjang, dan lebih daripada 40 peratus dalam dominasi ringgit’.
Dan, walaupun kedudukan hutang Malaysia disalah lapor, ekonomi
Malaysia dijangka kembali mencatat pertumbuhan kukuh 4.5 peratus hingga
5.5 peratus pada 2015, disokong oleh peluasan mampan permintaan domestik
ketika asas domesti kukuh dan sektor eksport yang berdaya tahan.
Ketua Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd, Manokaran Mottain berkata
hutang kerajaan Persekutuan dijangka kekal dalam kedudukan boleh diurus
selagi kerajaan meneruskan langkah penyepaduan fiskal dan mencapai
sasaran bajet seimbang menjelang 2020, dan pertumbuhan ekonomi terus
sihat.
Manokaran berkata hutang kerajaan kepada nisbah KDNK ditambat pada 55
peratus, manakala pada 2014 angka itu mencatatkan 54.5 peratus.
“Oleh itu, mekanisme kawalan oleh pengawal atur, Bank Negara dan kerajaan mesti terus dipertingkat,” katanya.
Beliau berkata penarafan kredit negara Malaysia oleh Moody’s dan
S&P kekal dalam gred pelaburan ‘A-‘ dan klasifikasi unjuran kekal
stabil.
Walaupun cadangan Fitch Rating’s untuk menurunkan penarafan, sentimen
pelabur ke atas Malaysia masih kukuh, dibuktikan daripada penyertaan
penuh dalam terbitan Sukuk global Malaysia bernilai US$1.5 bilion (RM5.4
bilion), katanya.
“Pada masa ini kerajaan berjaya mengurus paras hutang kurang daripada
had yang ditetapkan sendiri pada 55 peratus KDNK,” kata Ketua Ekonomi
Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Kira-kira 97 peratus jumlah hutang kerajaan persekutuan dikumpul daripada sumber domestik, katanya.
Dalam kedudukan ini, beliau berkata risiko kredit adalah rendah
memandangkan kerajaan dapat mengumpul hutang mata wang tempatan dengan
mudah.
Afzanizam berkata kerajaan berjaya menyepadukan kedudukan fiskalnya
sejak awal 2000 dan paras terendah, 39.8 peratus KDNK, dicatat pada
2008.
Namun, krisis kewangan dunia 2007 dan 2008 mendorong kerajaan
mengambil langkah perlu dengan memperkenal pakej rangsangan fiskal pada
2008 dan 2009.
Hasilnya negara dapat pulih dengan cepat dengan KDNK berkembang 7.4
peratus pada 2010 selepas menguncup 1.5 peratus pada tahun sebelumnya.
Dalam konteks ini, peningkatan jumlah hutang negara itu wajar, katanya.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan & Strategi
(ASLI), Tan Sri Michael Yeoh berkata hutang kerajaan masih pada paras
boleh diurus dan tidak banyak masalah disebabkan tahap itu boleh
diterima berbanding negara lain.
“Yang penting, keupayaan kerajaan untuk membayar hutang, dan saya yakin keadaan itu boleh ditangani,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
#PRKRompin : Ceramah Tanpa Permit PAS Dihalang Polis
29 April 2015, Rompin : Satu ceramah PAS yang di adakan di Kuala Rompin
mala mini telah di halang oleh pihak Polis Di Raja Malaysia, Bahagian
ceramah kempen Suruhanjaya Pilihanraya dan Majlis Perbandaran Rompin
kerana gagal menunjukkan permit dan binaan pentas yang sah. Kejadian ini
berlaku sewaktu seorang penceramah jemputan dari Chukai sedang leka
memberi ceramah retoriknya.
Sebelum kejadian ini, PAS menampilkan 2 orang penceramah jemputan
dari Marang dan juga Kuantan. Seperti biasa pada setiap ceramah PAS
mereka membangkitkan tentang ketirisan wang kerajaan, isu 1MDB,
pembunuhan Altantuya, Pesawat milik kerajaan dan juga GST. Slogan 1 undi
PAS 1 undi tolak GST juga kedengaran.
Menariknya, mereka dengan selambanya menisytiharkan Tun Dr Mahathir
Mohamed kini adalah ketua Pembangkang Malaysia. Ini di buktikan dengan
kelancangan Tun dalam mepertikaikan wang milik 1MDB di belanjakan.
Majlis “fitnah” yang di mulakan jam 9 pagi ini bersurai kira-kira jam 11
malam setelah di halang oleh pihak berkuasa
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Wanita Manfaat Kempen Secara Bersemuka Untuk Maklumat Jelas
28 April 2015, Rompin : Jentera Wanita UMNO sentiasa berada di dalam
keadaan siap sedia dengan gerak kerja yang tersusun tanpa mengira musim,
ujar Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun.
“Saya bersyukur di atas kesiapsiagaan jentera Wanita UMNO dan Barisan
Nasional (BN) amnya sama ada pilihan raya berlaku ataupun tidak.
“Dan begitulah juga di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin ini,
begitu juga dengan di Permatang Pauh, kita bersiap sedia sejak dari awal
lagi,” katanya, yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurutnya lagi, jentera Wanita di peringkat akar umbi yang
dianggarkan seramai dua ribu orang sekarang ini sudah bergerak dari
rumah ke rumah bagi meliputi ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) dalam Parlimen Rompin.
Beliau berkata demikian di dalam sidang media sebaik selesai majlis
pelancaran Jelajah Keluarga Bahagia di Muadzam Shah, di sini, hari ini.
Program Jelajah Keluarga Bahagia dengan tema ‘Saya Sayang Keluarga
Saya’ ini merupakan satu program di bawah kelolaan Kementerian Wanita,
Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang diadakan di seluruh negara.
Antara tujuannya adalah bagi melahirkan keluarga yang bahagia, kerana
di situ mampu melahirkan individu yang berkualiti dan berperibadi mulia
yang seterusnya menjadi pemangkin kepada proses perubahan dan
pembangunan sesebuah negara.
Tambah Ahli Parlimen Beaufort itu lagi, sejak dahulu lagi sebenarnya
jentera Wanita telah menggunakan pendekatan lebih tertumpu selain
daripada kempen dari rumah ke rumah yang merupakan identiti Wanita.
“Wanita juga mengadakan program kecil-kecilan seperti majlis bacaan
yasin dan tahlil, program memasak, gubahan dan pelbagai lagi yang
dilihat amat berkesan.
“Program-program sedemikian, kita dapat bersemuka dengan rakyat,
bukan sekadar program dari jauh mendengar ucapan sahaja, tetapi dengan
ini juga dapat mendengar apa yang ingin mereka sampaikan,” jelasnya.
Justeru itu, dalam masa yang sama juga, jentera dapat menyampaikan
apa yang perlu disampaikan mengenai isu-isu semasa, maklumat yang perlu
dijelaskan, kerana kadang-kadang masyarakat hanya mendengar dari sebelah
pihak sahaja yang mungkin tidak betul dan mengelirukan, tambahnya lagi.
Dalam pada itu juga beliau bersyukur di atas penerimaan masyarakat
terhadap calon BN di PRK Parlimen Rompin ini, Datuk Hasan Arifin.
“Alhamdulillah, sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat, harapan
kita supaya dapat mempertahankan majoriti seperti yang diperolehi oleh
Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, sekurang-kurangnya, InsyaAllah,”
harap beliau.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan
Sri Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih
pada 4 April lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari
pengundian diadakan pada 5 Mei, manakala pengundian awal pada 30 April.
Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Tan Sri Jamaluddin Jarjis
mempertahankan kerusi Parlimen Rompin dengan majoriti 15,114, memperoleh
30,040 undi, menewaskan calon Pas, Nuridah Mohd. Salleh, 14,926.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Pilih Calon Yang Mampu Bantu Rakyat – Shafie Apdal
28 April 2015, Rompin : Rakyat wajar memilih wakil rakyat yang mampu suara
mereka didengari, dapat bertindak menyelesaikan masalah rakyat dan
bukannya wakil yang tidak mampu berbuat apa-apa, jelas Naib Presiden
UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.
Menurut beliau, dalam konteks pilihan raya kecil (PRK) Parlimen
Rompin ini, walaupun namanya ‘kecil’, tetapi ia membawa erti yang sangat
besar kepada masyarakat setempat.
“Kita perlukan wakil yang boleh membantu menyelesaikan masalah
rakyat, terutamanya keperluan masyarakat, berkaitan hal kemajuan dan
pembangunan di dalam kawasan Parlimen Rompin ini.
“Kita memerlukan seorang wakil yang mampu merancang dan mengatur
supaya keperluan rakyat diatasi. Mana mungkin dapat diatasi jika tiada
kemampuan,” tegasnya.
Tambah beliau lagi, parti pembangkang terutamanya di Rompin ini yang
diwakili oleh parti Pas hanya tahu berceramah yang memang sedap didengar
di halwa telinga sahaja, tetapi apakah yang mampu mereka bantu kepada
masyarakat di sini.
“Kelantan yang mengalami bencana banjir pada hujung tahun lalu pun
kita juga yang bantu, buat rumah, baiki rumah, baiki jalan, baiki
infrastruktur dan pelbagai lagi. Itulah kemampuan Barisan Nasional (BN)
dalam mentadbir.
“Di Kelantan, nama sahaja ladang rakyat, orang asli tidak terbela,
bukan untuk rakyat tetapi untuk syarikat,” kata Menteri Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah itu lagi.
Ini berbeza dengan BN yang sentiasa menjaga kebajikan orang asli
sehingga ada yang mampu berjaya dalam bidang pendidikan dan sebagainya,
ujar beliau.
Sehubungan itu, menurut beliau, dengan pertimbangan yang sewajarnya,
kita tidak boleh mengukur manusia dengan apa yang dituturkannya sahaja,
tetapi perlulah diukur dengan usaha mereka yang membina kemajuan,
pendidikan, infrastruktur dan sebagainya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai isu pelaksanaan cukai
barang dan perkhidmatan (GST) di mana ia adalah usaha kerajaan untuk
meningkatkan hasil negara bagi menampung pertambahan keperluan dan
kebajikan rakyat.
“Ia adalah bertujuan untuk pembangunan masyarakat, kebajikan,
pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Kita tidak boleh lagi bergantung
sepenuhnya kepada hasil petroleum dan komoditi semata-mata kerana tidak
ketentuan harga dan mempunyai susut hasil,” tambahnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK
Parlimen Rompin diadakan pada 5 Mei, manakala pengundian awal pada 30
April berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang
terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lalu.
Beliau turut berkongsi kesedihan di atas kehilangan sahabat beliau
itu yang dikenali sejak ketika bersama-sama berjuang di dalam institusi
Pemuda UMNO lagi.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar rakyat jangan tersalah
pilih, hendaklah memilih calon BN, Datuk Hasan Arifin, wakil yang boleh
membantu rakyat dan mampu menyelesaikan masalah rakyat pada 5 Mei nanti.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Posts (Atom)