Sunday, February 14, 2016
Ahli Rujuk PAS Semula, PAN Alami 'Sindrom Penafian' - Penganalisis
SHAH ALAM : Parti Amanah Negara (PAN) mengalami 'sindrom penafian'
apabila enggan menerima hakikat bahawa terdapat ahlinya kembali kepada
PAS.
Penganalisis politik, Edwin Michael berkata pemimpin PAN akan menepis
apa sahaja kenyataan yang dibuat oleh PAS apatah lagi melibatkan ahlinya
yang dikatakan kembali 'rujuk' dengan bekas partinya itu.
Edwin juga melabelkan PAN sebagai parti yang mengalami 'krisis identiti'
berikutan masih kabur pada hala tujunya walaupun ditubuhkan sejak Ogos
2015 lalu.
"Saya melihat ini adalah krisis identiti parti (PAN) itu sendiri
memandangkan mereka tidak ada satu fokus perjuangan yang jelas memang
mereka akan menghadapi masalah ini.
"Krisis identiti yang berlaku pada masa kini membuatkan ahli-ahlinya
tidak tentu arah mereka tidak tahu apa fokus dan apa perjuangan mereka
yang sebenarnya serta mereka tidak tahu apa ideologi PAN dalam konteks
politik negara.
"Kekeliruan ini yang melihatkan sampai sekarang beberapa pemimpin PAN
sendiri yang tidak berhaluan sesama mereka dan mempunyai isu dengan PAS
dan pada masa yang sama PAN seolah-olah mereka terlalu selesa dengan
DAP," katanya kepada Antarapos hari ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini mendedahkan
beliau mempunyai bukti bahawa terdapat ahli PAN berjumpa dengannya dan
memberitahu dirinya menyertai parti Islam itu semula, selepas 'salah
faham' dengan perjuangan PAN.
Takiyuddin bagaimanapun enggan menamakan siapakah individu itu dan meminta PAN menyiasatnya sendiri.
Pendedahan itu tidak disambut PAN apabila timbalan presidennya, Salahuddin Ayub berkata partinya enggan melayan tuduhan PAS itu.
Edwin mengulas lanjut dengan berkata, jika PAN berterusan bergerak tanpa
matlamat politik yang jelas, tidak mustahil makin ramai ahlinya akan
kembali kepangkuan PAS.
"Bila mereka tidak ada satu objektif dan hala tuju yang jelas apa
sebenarnya yang mereka hendak perjuangkan dan apa sebenar ideologi dan
fokus perjuangan parti itu yang melibatkan setiap ahli PAN.
"Mereka akan berada di dalam satu kelompok yang akan cuba menafikan
segala tuduhan dan sebagainya dan ini kita nampak jelas dengan isu yang
melibatkan Takiyuddin ini," ujarnya.
Pemimpin kanan PAN adalah rata-rata bekas pemimpin PAS yang tewas pada
pemilihan parti itu tahun lalu dan dikatakan tidak sebulu dengan
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment