Sunday, February 14, 2016
Pencarum Perlu Bijak Menilai Kemampuan Tabung Haji - Pakar Psikologi
PETALING JAYA : Meskipun Tabung Haji (TH) kini ditohmah dengan pelbagai
persepsi yang kurang enak, pakar psikologi, Prof Madya Dr Mariani Md Nor
hari ini menasihatkan masyarakat, khususnya pendeposit untuk bijak
menilai kemampuan institusi berkenaan.
Ditemui Antarapos, beliau berpendapat golongan pendeposit yang
'termakan' dengan tohmahan pembangkang bahawa TH gagal menguruskan
kewangannya dengan baik adalah mereka yang baru sahaja memulakan
simpanan di institusi itu.
Malah, golongan itu mungkin menyimpan di TH untuk mendapatkan pulangan
dividen yang tinggi dan bukannya membuka akaun di institusi itu untuk
mengumpul wang bagi menunaikan rukun Islam kelima.
"Saya rasa pendeposit yang goyang itu adalah mereka yang baru setahun
dua yang objektifnya mungkin untuk melabur duit dan dapat dividen. Jika
betul tidak percaya (kemampuan TH), bawa keluar duit itu dan labur di
bank. Lihat sama ada mereka boleh dapat dividen sebanyak mana diberikan
oleh TH.
"Pada saya TH dah lakukan yang terbaik untuk masyakat kita. Saya sendiri
pun melabur di TH, sudah berpuluh tahun. Tidak ada yang menyebabkan
saya nak keluarkan duit itu semula," katanya.
Mariani Dekan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) berkata
demikian mengulas kontroversi yang melanda TH bahawa kononnya badan
berkanun itu mengamalkan pengagihan dividen melebihi tahap kemampuannya
yang menyebabkan paras rizabnya semakin berkurangan.
Isu berkenaan dimainkan oleh pihak pembangkang selepas Gabenor Bank
Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengeluarkan surat amaran bersabit
kedudukan kewangan TH.
Zeti turut dilaporkan menghantar surat secara berasingan kepada Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada hari yang
sama, dengan memberi amaran keadaan kewangan Tabung Haji boleh memberi
kesan kepada kerajaan.
Bagaimanapun Zeti bertindak cepat dengan mengeluarkan kenyataan bahawa
TH sudah mengambil langkah-langkah yang wajar untuk terus memantapkan
amalan pengurusan risikonya atas inisiatif sendiri dan susulan
perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini.
Malah Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang juga mengesahkan bahawa keadaan kewangan Tabung Haji adalah kukuh.
Mariani dalam pada itu menegaskan mana-mana institusi tidak terlepas daripada masalah pengurusan kewangan, termasuklah TH.
"Apabila sudah marah, kemudian ada pula pihak yang suntik 'semangat'
yang tidak elok, mudahlah mereka terima. Tetapi pada saya kerajaan tidak
melihat ia sebagai masalah kerana ia hanya mainan politik dan
masyarakat sendiri boleh lihat kesannya.
"Ini soal kepercayaan. Apabila kita sudah letakkan kepercayaan, dan TH
sudah lakukan tugas dengan baik dan amanah dipegang di situ, maka kena
beri sepenuh kepercayaan dengan bukti dan fakta, bukan persepsi,"
ujarnya lagi.
Untuk rekod, simpanan pendeposit TH adalah berdasarkan konsep Al-Wadi'ah
Yad Dhamanah, iaitu simpanan yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
Pemberian bonus adalah berdasarkan 'hibah' atau hadiah, iaitu prestasi kewangan tahunan semasa dan mengikut budi bicara TH.
TH baru-baru ini mengumumkan pemberian bonus tahunan pendeposit bagi 2015 sebanyak 5%, selain bonus khas haji sebanyak 3%.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment