
Tuesday, February 16, 2016
Akar Umbi Pertikai Kepemimpinan Azmin

Pemimpin akar umbi PKR Selangor hari ini
menyatakan bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali selepas Menteri Besar Selangor itu didakwa terbabit
dalam kronisme, kegagalan urus tadbir dan mengamalkan politik dendam.
Setiausaha Cabang PKR Kelana Jaya, S. Murali mendakwa, dalam isu
pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) misalnya, Mohamed
Azmin bukan sahaja tidak mengikut tata-kelola perlembagaan parti, malah
melanggar Pekeliling Kerajaan Negeri apabila melantik kroninya.
Dakwa Murali lagi, senarai nama Ahli Majlis PBT yang dicadangkan oleh
cabang-cabang tertentu seperti ditetapkan oleh PKR telah diketepikan
begitu sahaja oleh Mohamed Azmin hanya disebabkan dendam politik dan
kemudiannya melantik kroni yang bukan merupakan pemastautin.
“Kami sudah hilang kepercayaan kepada Mohamed Azmin sebab beliau tidak mengikut perlembagaan parti, semua dia tidak ikut.
Dia mentadbir Selangor ikut sesuka hati dia sahaja. Semua ini
merosakkan PKR dan kepemimpinan parti perlu mengambil tindakan segera ke
atas Mohamed Azmin.
“Apa yang berlaku di Selangor, Mohamed Azmin tidak mengikut apa yang
diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR. Ahli Majlis yang
dilantik daripada mana pun kami tidak tahu, bukan nama yang kami di
cabang cadangkan. Apakah mereka itu semuanya kroni beliau?
“Bagaimana mereka yang tinggal di kawasan SS2, Petaling Jaya boleh
dilantik menjadi Ahli Majlis Kelana Jaya? Bagaimana mereka dari Petaling
Jaya Utara boleh diangkat sebagai Ahli Majlis Kuala Langat,” katanya
dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah aktivis PKR, Badrul
Hisham Shahrin serta beberapa pemimpin akar umbi PKR Selangor.
Dalam perkembangan sama, Ahli Jawatankuasa Cabang PKR Gombak dan
Selayang, B. Rajandran berkata, Menteri Besar Selangor itu semakin galak
meletakkan orangnya sebagai Ahli Majlis terutama di cabang-cabang PKR
negeri yang menolaknya dalam pemilihan parti yang lalu.
“Dia hanya meletakkan kroni dia, dia tidak ikut apa yang dicadangkan
oleh cabang. Sedangkan kami telah usaha banyak untuk PKR tetapi bagi
Mohamed Azmin, dia hanya mementingkan kepentingan politik peribadi, dia
tidak peduli soal ahli di akar umbi,” dakwanya.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata, Mohamed Azmin telah membunuh
reformasi PKR apabila kepemimpinannya bertindak meluluskan projek
mengecat pintu gerbang bernilai RM9.8 juta, menggantikan sebuah kubah
masjid yang menelan kos RM32.4 juta serta pembinaan pejabat pentadbiran
masjid sama sehingga mencecah RM33.3 juta.
Dakwanya, Mohamed Azmin juga terbabit dalam pengagihan projek
penyelenggaraan jalan raya di Selangor kepada tiga syarikat sebagai
kontraktor utama walaupun salah sebuah daripada syarikat terbabit
mempunyai rekod gagal menyiapkan projek di bawah Jabatan Kerja Raya
(JKR).
“Jika dahulu kita menyerang kerajaan negeri Terengganu kerana membina
Masjid Kristal bagi tujuan pelancongan, mengapa tindakan sama tidak
boleh diambil ke atas Mohamed Azmin yang sanggup membelanjakan RM 65.7
juta hanya untuk sebuah masjid, sedangkan kos sebenar saya percaya jauh
lebih murah,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment