
Tuesday, February 16, 2016
ATM Tidak Terlibat Kempen Ketenteraan Di Yemen

Kementerian Pertahanan menafikan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) terlibat atau menyertai sebarang kempen ketenteraan yang
diterajui Arab Saudi untuk menentang pemberontakan di Yemen sebagaimana
digembar-gemburkan menerusi media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebaliknya
ATM hanya menyertai latihan ‘Thunder of the North’ yang merangkumi
pasukan darat, laut serta udara dan melibatkan penyertaan 20 negara
termasuk Malaysia di kawasan latihan Hafar Al Batin, di utara Arab
Saudi.
Katanya, latihan yang diadakan pada 16 Februari hingga 4 Mac depan
itu merupakan latihan ketenteraan pelbagai negara yang telah wujud lebih
15 tahun lalu dan telah diadakan sebelum operasi ketenteraan di Yemen
lagi.
“Latihan ketenteraan ini diadakan di utara Arab Saudi, sementara
Yemen pula terletak di bahagian selatan sempadan Arab Saudi. Jelas
sekali latihan ini tiada kaitan langsung dengan kempen ketenteraan
terhadap Yemen ketika ini.
“Saya konsisten menyatakan bahawa Malaysia menyokong sebarang usaha
membanteras kegiatan militan, tetapi ATM tidak terlibat dengan sebarang
operasi ketenteraan di Yemen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Semalam, sebuah agensi berita Arab Saudi, SPA, melaporkan bahawa
Malaysia turut bersama-sama dengan kira-kira 20 negara lain dalam misi
ketenteraan besar-besaran yang disifatkan sebagai ‘terpenting’.
Menurut Hishammuddin, ATM telah dijemput oleh Arab Saudi untuk
menyertai latihan tersebut dan agensi pertahanan negara itu telah
mengambil kesempatan untuk menimba pengalaman operasi ketenteraan dalam
suasana yang berlainan dengan Malaysia.
Lebih-lebih lagi, kata Hishammuddin, latihan di kawasan teluk itu
merupakan yang pertama kali disertai ATM dan diyakini memberi manfaat
besar serta pengalaman berguna kepada angkatan itu pada masa depan.
“Latihan ini juga memberi peluang kepada ATM untuk lebih memahami
prosedur-prosedur berkaitan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang
mungkin dilaksanakan kelak, khususnya dalam operasi menyelamat dan
membawa keluar warga Malaysia sekiranya berlaku konflik di rantau
tersebut.
“Dalam usaha menjadi sebuah angkatan yang berwibawa di rantau ini,
ATM akan sentiasa mengambil kesempatan dan peluang untuk melatih
warganya dalam pelbagai situasi, suasana dan kawasan sejajar dengan visi
ATM,” ujar beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment