Monday, February 15, 2016
Beri Alternatif Untuk Tangani Kebergantungan Kepada Pekerja Asing – Azalina
GEORGE TOWN : Pihak yang membantah cadangan kemasukan
1.5 juta pekerja dari Bangladesh bagi memenuhi sektor pekerjaan 3D
(bahaya, kotor dan sukar) di negara ini diminta untuk memberi alternatif
kepada kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja
asing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan kerana rakyat di negara ini
dilihat kurang berminat dan tidak sanggup bekerja dalam bidang itu.
Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan akan mengkaji cadangan itu
secara berperingkat bagi memastikan ia tidak akan menjejaskan dan
menggugat peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Ini memang perkara sensitif. Ia bukan satu perkara yang mudah. Saya
percaya kerajaan akan melihat perkara ini peringkat demi peringkat.
Justeru, kami minta semua pihak supaya jangan hanya pandai membantah
sebaliknya beri alternatif kepada kerajaan jika tidak bersetuju.
“Saya juga percaya kerajaan mempunyai mekanisme khusus dalam
menangani isu ini terutama dalam memastikan setiap pekerja asing yang
datang ke negara ini akan dihantar pulang bila tiba masanya,” katanya
pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Naib Canselor Universiti
Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
mahu belia tempatan mengambil alih kerja di sektor yang dikategori
sebagai 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar bagi mengurangkan
kebergantungan negara kepada pekerja asing yang kini menguasai sektor
itu, yang melibatkan industri peladangan, perkilangan, pembinaan dan
pembersihan.
Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang berkata ketiadaan
belia tempatan yang sanggup bekerja dalam bidang itu jelas terbukti
apabila industri minyak dan gas terutama membabitkan pekerjaan 3D di
kawasannya turut dikuasai pekerja asing.
“Salah satu cabaran bagi generasi muda ialah mereka tidak minat
kerja-kerja misalnya dalam minyak dan gas yang kerja macam kimpalan,
kerja macam berdiri lapan, 10 jam mereka memang tak minat. Saya banyak
dengar laporan majikan mereka tak boleh tangani tekanan bekerja dalam
persekitaran sedemikian,” katanya.
Justeru, beliau berkata generasi muda perlu menanam sikap patriotik
dan cintakan negara dengan tidak membenarkan orang luar mengambil alih
sektor pekerjaan di negara ini.
Sementara itu, Azalina berkata Biro Tata Negara (BTN) dan USM akan bekerjasama dalam memperkenalkan kandungan baharu modul BTN yang
berkonsepkan negara bangsa dan patriotisme terutama kepada pensyarah
muda dan pelajar.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan pengurusan USM
untuk memasukkan modul yang bersesuaian dalam menerapkan elemen
berkenaan selain bercadang untuk bekerjasama dengan universiti lain
untuk memperkenalkan modul baharu itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment