Tuesday, February 16, 2016
Bersiap Sedia Untuk Kenaikan Tarif Air Di Selangor, KL dan Putrajaya
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menghantar pelan
bisnes tiga tahun yang dijangka melibatkan cadangan tarif baharu air di
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (Span) bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata pelan
bisnes berkenaan mengambil kira kos biaya operasi dan kos biaya modal
pengurusan air di ketiga-tiga kawasan tersebut.
"Bagaimanapun sebarang semakan tarif air yang dicadangkan adalah tertakluk kepada persetujuan Span," katanya pada Isnin.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan aset air kepada Syarikat
Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi projek penggantian paip air dasar
laut ke Pulau Ketam oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Hijau
Teknologi dan Air (KeTHA), Loo Took Gee.
Sejak Oktober lepas, Air Selangor mengambil alih Syabas dan Puncak Niaga
Sdn Bhd sebagai syarikat penyedia perkhidmatan bekalan air kepada
pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Suhaimi berkata kos penyelenggaraan paip air dasar laut baharu ke Pulau
Ketam merupakan antara perkara yang dikaji dalam pelan bisnes Air
Selangor bulan depan.
Loo dalam ucapannya berkata sejak paip ke Pulau Ketam mula dipasang pada
1992 sehingga 2013, kira-kira enam kejadian paip pecah serius berlaku
dan menyebabkan gangguan bekalan air terawat kepada penduduk.
"Bagi menangani masalah paip pecah, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan
RM38 juta untuk kerja-kerja penggantian paip air sedia ada bagi menjamin
keselesaan penduduk Pulau Ketam di samping penjimatan kos
penyelenggaraan jangka masa panjang.
"Perunding dan kontraktor dilantik adalah secara tender terbuka. Projek
ini bermula pada September 2013 dan telah beroperasi bermula 17 Mei
2015," katanya.
Tambah Loo, jajaran projek itu bermula dari Lebuhraya Pulau Indah
sehingga ke Pulau Kelang dengan jumlah panjang 5.8km yang merangkumi
3.8km paip bersaiz 450mm di daratan dan hampir 2km paip keluli lembut
(mematuhi standard American Petroleum Industry) bersaiz 406mm di laut.
Jelasnya, sejak paip baharu beroperasi tahun lepas, lebih 6,000 pengguna
di Pulau Ketam kini menikmati bekalan air secara berterusan dan
berkualiti tanpa sebarang gangguan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment