Sunday, February 14, 2016
Enam 'Tali Barut' Diberkas !!!
KOTA KINABALU : Enam individu termasuk seorang wanita ditahan
pasukan keselamatan kerana dipercayai menjadi 'tali barut' kepada
penjenayah asing untuk melakukan jenayah terutama di negeri ini.
Mereka ditahan bersama 514 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam
operasi bersepadu di kawasan penempatan setinggan di Telipok, di sini.
Polis kini sedang menyiasat hubungan kesemua suspek dengan penjenayah
asing terutama dari selatan Filipina seperti menculik untuk tebusan dan
pengganas Kiram.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, operasi
menahan kesemua enam suspek berusia 19 hingga 50-an dan PATI terlibat
disertai lebih 1,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan
Imigresen dan beberapa agensi lain.
Menurutnya, dalam operasi yang bermula pukul 1 pagi tadi itu, kesemua
enam suspek ditahan secara berasingan dan dipercayai warganegara
Filipina selain mempunyai hubungan kekeluargaan.
“Tangkapan ke atas enam suspek dibuat berdasarkan risikan PDRM, terdapat
dalang pemberi maklumat dan bantuan kepada penjenayah asing untuk
melakukan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.
Yang hadir sama, timbalannya, Datuk Awang Sahari EM Nadzer serta Panglima Angkatan Tugas 450, Datuk Zulkapri Rahmat.
Tambah Abdul Rashid, pihaknya kini memperhalusi lokasi-lokasi lain yang
dipercayai menjadi penempatan dalang kepada penjenayah asing di negeri
ini.
Ditanya mengenai jenis jenayah yang melibatkan mereka, beliau hanya
memaklumkan pelbagai jenayah termasuk pengedaran dadah serta menafikan
penglibatan pengganas.
“Kita menyiasat dari semua sudut termasuk sama ada mereka terlibat dalam
memberi maklumat kepada pengganas Kiram atau menculik untuk tebusan.
Saya harap masyarakat jangan membuat spekulasi serta memberi ruang
kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.
“Polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat tali barut yang menetap
di kawasan lain. Perkara ini sedang kita perhalusi dan mereka akan
diburu pasukan keselamatan,” katanya.
Ditanya lagi sejak bila suspek berlindung di penempatan setinggan yang
kebanyakannya didiami warganegara Filipina itu, beliau tidak menjelaskan
tempoh sebenar tetapi memberitahu pihaknya mendapat maklumat telah lama
namun perlu memperhalusi maklumat tersebut sebelum bertindak.
Tambah Abdul Rashid, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan
mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Dalam operasi bersepadu itu, beliau berkata, 514 PATI terlibat ditahan
selepas pihaknya memeriksa sebanyak 1,537 buah rumah dan 4,794 individu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana sering tampil memberi maklumat kepada pihak polis.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa operasi ini bukan untuk
menyusahkan rakyat sebaliknya demi memastikan keselamatan negara berada
di tahap tertinggi serta kedaulatan negara terpelihara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitter rasminya memuji kejayaan PDRM Sabah itu.
“Syabas PDRM Sabah, ATM, MKN dan lain-lain agensi penguat kuasa gempur
Telipok, Kota Kinabalu, tangkap 506 orang (enam di bawah SOSMA)
dalang-dalang penjenayah asing,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment