Sunday, February 14, 2016
Golongan Muda Jangan Terlalu Taksub Terhadap Anwar, Kata Bekas Pemimpin PKR
SHAH ALAM : Orang ramai, khususnya golongan muda diingatkan supaya tidak
terlalu taksub dengan individu bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
lebih mementingkan perjuangan individu berbanding soal keharmonian
negara.
Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata,
berdasarkan pemerhatiannya, golongan itu terlalu mudah menaruh simpati
kepada Anwar tanpa melakukan usul periksa terlebih dahulu terhadap
individu yang mahu diangkat menjadi perdana menteri kelak.
"Taksub lah..mudah (taksub), daripada dulu lagi selepas saya keluar
daripada parti pun, saya selalu kata kita jangan taksub dengan dia.
"Kalau dulu masa era saya dulu, kita berjuang untuk dia (Anwar), untuk
keluarkan dia dari penjara. Jadi hari ini, banyaklah yang saya jumpa
kawan-kawan yang lama bersama saya itu, memang mereka sudah kurang dah
tetapi generasi baru ini, mereka ini sudah kira percaya sangat, taksub
sangatlah, jadi bagi pendapat saya, saya nasihatkan hentikanlah taksub,
ketaksuban dia itu, kita pandang pada masa depan negara ini, kita jangan
pandang pada individu seorang sahaja," katanya kepada Antarapos ketika
dihubungi tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemenjaraan Anwar yang genap setahun pada 11 Februari lalu.
Anwar yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, dijatuhi
hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah mendapati beliau bersalah
meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Pemenjaraan Anwar dilihat terus menguburkan karier politiknya dan
mencalar imej era kegemilangannya yang sebelum ini sangat
diagung-agungkan oleh pengikut tegarnya.
Dalam pada itu, Aminah yang selesa membahasakan diri sebagai Kak Min itu
turut menceritakan pengalamannya bersama Anwar ketika bergiat aktif di
dalam parti itu di Pulau Pinang.
Katanya, Anwar adalah individu yang langsung tidak boleh dipercayai.
"Dia (Anwar)...masa saya dalam PKR dulu, pendirian dia itu untuk diri
dia ada, tapi kalau untuk dengan kawan-kawan, contohnya kalau anda pergi
kepada dia dan bercakap-cakap dengan dia, seolah dia percaya apa anda
kata.
"Nanti bila saya pula pergi jumpa dia, saya bercakap dengan dia, dia
lupa pula anda. Dia macam tidak ada pendirian. Dia untuk tarik simpati
orang, kalau pergi kepada dia, dia teringat anda, anda pun ingat syoklah
Datuk Seri macam ini. Bila dia datang kepada saya pula, saya pun rasa
perasan jugalah.
"Jadi dalam pandangan saya sepanjang dengan PKR, dia (Anwar) tidak ada pendirian yang betul lah," katanya.
Bagaimanapun kata Aminah, Anwar bijak menggunakan peluang ada dalam
mempengaruhi orang ramai untuk terus menaruh simpati terhadapnya.
"Tapi dia (Anwar) guna orang macam saya ini untuk dialah, macamtu juga
(Datuk Seri Dr) Wan Azizah, keluarga mereka ni saya nak beritahu, mereka
guna kami untuk kepentingan diri mereka dan keluarga mereka, untuk
simpati kami kepada mereka, untuk berjuang demi mereka," katanya.
"Saya rasakan nampak sudah 'slow' (perlahan)...tetapi dia ini pandai,
orang-orang dia ini pun selalu jumpa dia, dia dekat dalam tetapi dia
dapat info-info daripada orang yang dekat dengan dia," katanya.
"Lagi lima tahun dia hendak keluar itu, kalau kita tengok dari segi usia
dia, memanglah sudah jauhkan, tapi dia punya apa...dia punya aura itu
ada lah lagi," katanya.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang muda sekarang supaya lebih
memberikan tumpuan dalam memacu ekonomi negara berbanding terus bermain
politik.
"Maksud saya, kita kena majukan diri kita dan kita perlu majukan negara
kita, apa...janganlah dekat dia, kalau kita hendak simpati pun, apa dia,
kalau orang-orang yang tahu betul-betul keadaan dia, orang takkan
simpati.
"Jenis kami ni yang sudah keluar lama-lama ni, kita tahulah dia tu jenis macam mana, perjuangan dia itu macam mana," katanya.
Ulang tahun pemenjaraan Anwar baru-baru ini hanya disertai kira-kira 1,000 penyokongnya.
Sementara itu pemimpin yang hadir adalah dari PKR sendiri, DAP dan Parti
Amanah Negara (PAN), manakala tiada seorang pun pemimpin PAS yang
dilihat di hadapan penjara Sungai Buloh untuk memberikan sokongan kepada
Perhimpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat.
Pemimpin PAS dilihat mengambil sikap menjarakkan diri, sekaligus
menunjukkan bahawa era kegemilangan susuk badan bernama Anwar ini
mungkin sudah pudar.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment